- Iklan -
Berita

Aktivis bawa poster 'sensitif' kritik BlackRock ditahan di himpunan pro-Palestin anjuran kerajaan

Mythreyar Mutturamalinggam berkata dia dan rakannya hanya berdiri memegang plakad yang tertera nama "BlackRock'.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Mythreyar Mutturamalinggam dan rakannya memegang sepanduk mengkritik perjanjian kerajaan membabitkan syarikat milik BlackRock pada himpunan di Bukit Jalil malam tadi, sejurus sebelum mereka ditahan. Gambar: X
Mythreyar Mutturamalinggam dan rakannya memegang sepanduk mengkritik perjanjian kerajaan membabitkan syarikat milik BlackRock pada himpunan di Bukit Jalil malam tadi, sejurus sebelum mereka ditahan. Gambar: X

Dua aktivis pro-Palestin ditahan pada perhimpunan pro-Palestin anjuran kerajaan di Bukit Jalil malam tadi kerana mempamerkan sepanduk yang menyeru Putrajaya membatalkan perjanjian membawa masuk sebuah firma milik dana pelaburan kontroversi terkait Israel, BlackRock menjadi rakan kongsi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). 

Mythreyar Mutturamalinggam dan seorang lagi aktivis wanita berdiri memegang plakad menyeru kerajaan untuk menolak perjanjian yang melibatkan BlackRock, sebelum ditahan pihak polis di Axiata Arena, Bukit Jalil. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, Mythreyar berkata pihak polis memberitahunya perkataan "BlackRock" pada sepanduknya adalah "sensitif".

Katanya dia dan rakannya dibenarkan masuk ke arena itu selepas melalui pemeriksaan keselamatan di pintu masuk stadium.

Menurutnya mereka yang hadir turut membawa plakad masing-masing.

"Kami tak laung, kami tak bising dan kami tak buat apa-apa provokasi. Kami pegang plakad, kemudian kami keluar. (Kemudian) pengawal keselamatan dan polis tarik plakad kami itu." 

Mythreyar, yang melakukan mogok lapar selama seminggu pada bulan lepas bagi membantah rancangan menjual saham MAHB kepada syarikat milik BlackRock, berkata mereka kemudiannya dibawa ke pondok polis bergerak yang berdekatan, di mana mereka disoal mengenai sepanduk yang dipamerkan.

Menurutnya, polis berkata perkataan BlackRock adalah dilarang dibawa masuk ke dalam himpunan itu. 

"Saya cuma nak tanya, pegang plakad dan protes senyap di Malaysia pun tak boleh ke? 

"Kami dikelilingi polis, dianggap macam penjenayah. Apa salah kami? Adakah hak bersuara sudah tiada lagi di Malaysia? Hak untuk menunjukkan rasa ketidakpuasan dalam isu BlackRock ini salah? 

"Saya pun tertanya kenapa perkataan itu sangat sensitif untuk pihak berkuasa?" 

MalaysiaNow sedang cuba mendapatkan respons pihak polis.

Sementara itu, Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) menyelar tindakan polis menahan Mythreyar dan rakannya.

Jurucakap SSP, Tian Chua berkata sokongan kepada Palestin boleh dilakukan dalam pelbagai cara terutama dengan memboikot syarikat-milik Zionis dan yang ada kaitan dengan Israel. 

"Sepatutnya kerajaan mendengar suara masyarakat yang mahukan tindakan yang lebih berkesan," katanya kepada MalaysiaNow.

Tian Chua menyifatkan sekatan ekonomi sangat memberi kesan kepada Israel dan sekutunya.

Penjawat awam dikerah

Sementara itu, perhimpunan malam tadi menyaksikan kerahan puluhan ribu penjawat awam, dengan setiap jabatan diminta menghantar beberapa orang wakil untuk memenuhi Arena Axiata di Bukit Jalil.

himpunanpalestin_040824Difahamkan memo dihantar beberapa hari sebelum acara itu, yang diadakan ketika pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim bergelut dengan bantahan yang semakin meningkat terhadap keputusan menjual saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat milik penuh BlackRock.

Di bawah rancangan itu, GIP akan mengambil alih 30% kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB bersama-sama Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan diterajui Anwar.

Sumber di beberapa kementerian memberitahu MalaysiaNow bahawa kehadiran wakil dari setiap jabatan kerajaan diwajibkan.

Bas turut disediakan untuk membawa mereka ke himpunan itu, di mana pemimpin kerajaan menyampaikan ucapan menunjukkan sokongan Putrajaya terhadap perjuangan Palestin, sambil memuji Anwar sebagai ikon perjuangan Palestin.

Isu BlackRock dilihat antara cabaran utama Anwar sejak dilantik sebagai perdana menteri, di sebalik tuduhan beliau lebih mesra dengan Amerika Syarikat dan Israel berdasarkan kenyataan lampau, termasuk wawancaranya dengan Wall Street Journal pada 2012 yang memetiknya sebagai berkata akan "menyokong usaha mempertahankan keselamatan Israel".

Pengkritik dan pakar penerbangan memberi amaran bahawa menjadikan sebuah syarikat asing untuk menguruskan pengurusan pintu masuk negara menimbulkan risiko keselamatan, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan BlackRock, pengurus dana global berpangkalan di New York yang terkenal dengan peranannya memperkasakan ekonomi Israel dan industri senjatanya.