- Iklan -
Berita

'Jumpa di Bali' — Syarikat kerajaan di bawah PMO bawa staf bercuti ramai-ramai ke Bali

Pelaburan Hartanah Berhad berkata ia tanda penghargaan kepada kakitangan atas 'kerja keras dan dedikasi anda'.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
PHB merupakan salah satu daripada lebih 40 entiti dibiayai dana awam di bawah Pejabat Perdana Menteri.
PHB merupakan salah satu daripada lebih 40 entiti dibiayai dana awam di bawah Pejabat Perdana Menteri.

Sebuah syarikat pengurusan hartanah berkait kerajaan yang diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO) akan membawa stafnya bercuti ke Bali, Indonesia dengan semua kos ditanggung, dalam apa yang mungkin menimbulkan persoalan mengenai tadbir urus yang baik.

MalaysiaNow difahamkan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), yang dipertanggungjawabkan menguruskan aset hartanah untuk meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam hartanah komersial, akan membawa stafnya bercuti ke pulau peranginan itu pada bulan depan.

Sumber memberitahu MalaysiaNow, PHB akan membelanjakan RM2,450 setiap orang untuk percutian itu, iaitu pertama kali perjalanan ke luar negara dianjurkan untuk pekerjanya.

Ketika dihubungi, jurucakap PHB mengesahkan rancangan percutian itu, tetapi berkata ia belum dimuktamadkan.

"Kami ada bajet setiap tahun. Untuk yang ini, kami masih memuktamadkannya, belum ada apa-apa yang 'firm'. Biasanya nak tengok dulu beberapa cadangan sebab kita pakai travel agent," Nadia Hadi, ketua jabatan strategi korporat PHB, memberitahu MalaysiaNow ketika dihubungi.

"Kita risau, tak tahu niat orang yang beritahu maklumat itu. Kita tak buat bayaran apa-apa lagi," tambahnya.

Menurut Nadia, "boleh kata lebih 100 staf" yang biasanya menyertai program seumpama itu.

Beliau menyifatkan sesuatu yang biasa bagi syarikat menganjurkan acara sedemikian.

"Kita ni link (berkait) dengan kerajaan, tetapi ditadbir sebagai syarikat profesional. Tak adalah kita membazir-bazir tu."

'Bawa pakaian selesa, pelindung matahari'

Bagaimanapun, e-mel kepada kakitangan yang dilihat MalaysiaNow menunjukkan percutian ke Bali itu sudah dimuktamadkan, di mana peserta diberitahu untuk menyediakan pasport dan barang-barang mereka.

"Percutian ini adalah tanda penghargaan pihak pengurusan PHB kepada semua warga kerja di atas kerja keras dan dedikasi anda," menurut e-mel tersebut.

"Bawa pakaian yang selesa, pelindung matahari, dan semangat pengembaraan anda!"

Minggu lepas, Kelab Sukan dan Rekreasi PHB menganjurkan percutian ke Port Dickson, di mana pekerja menginap selama tiga hari di hotel bertaraf lima bintang Thistle Port Dickson, dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti pantai, pertandingan dan persembahan.

"Selain daripada aktiviti rekreasi ini, ada jugalah diselitkan inisiatif CSR seperti menanam kira-kira 500 pokok bakau," kata sumber kepada MalaysiaNow.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri mempengerusikan lembaga pemegang amanah PHB.

Dalam bajet 2024, beliau mengumumkan PHB akan diletakkan di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), sebuah lagi entiti di bawah PMO.

PHB merupakan salah satu daripada lebih 40 entiti dibiayai awam yang diletakkan di bawah sayap PMO. 

Ia bertanggungjawab menguruskan lebih 20 aset bernilai kira-kira RM10 bilion di samping saham Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bernilai kira-kira RM5 bilion melibatkan pelanggan kerajaan seperti Perbadanan Nasional Berhad, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Permodalan Nasional Berhad.

Pada Jun, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dilaporkan berkunjung ke pejabat PHB di Shah Alam, menghabiskan masa tiga jam menyiasat beberapa aduan mengenai pengurusan kewangan. Tiada maklumat baru dilaporkan sejak itu.

Minggu lalu, MalaysiaNow mendedahkan rancangan dua syarikat milik kerajaan Selangor untuk mengadakan mesyuarat lembaga pengarah mereka di Perth, Australia, di mana Menteri Besar Amirudin Shari akan menyertai pengarah dan eksekutif tertinggi dalam "retreat" empat hari mulai 23 Ogos.

Salah satu syarikat tersebut, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, bagaimanapun mempertahankan rancangan itu, menyifatkannya sebahagian "delegasi teknikal" untuk mengkaji sektor hartanah.

Syarikat itu turut mendakwa ia masih di peringkat cadangan dan menunggu kelulusan lembaga pengarahnya.