- Iklan -
Berita

'Oi! Bila lagi?' Dr Mahathir sekali lagi cabar Anwar kemuka bukti 'curi duit'

Ia selepas lebih setahun pemimpin veteran itu bersetuju memberikan lanjutan masa dua minggu untuk perdana menteri menjawab samannya.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad (kanan) mengulangi tuntutannya supaya Anwar Ibrahim membuktikan tuduhan terhadapnya.
Dr Mahathir Mohamad (kanan) mengulangi tuntutannya supaya Anwar Ibrahim membuktikan tuduhan terhadapnya.

Dr Mahathir Mohamad hari ini menyasarkan kata-kada pedas terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mengulangi tuntutannya membuktikan dakwaan beliau mencuri wang kerajaan.

Dalam hantaran di media sosial, Mahathir mengingatkan Anwar tentang tempoh masa dua minggu yang dimohonnya dulu untuk menunjukkan bukti tuduhan itu.

"Oi! Bila lagi? Kata nak tunjuk bukti jika diberi masa dua minggu. Sekarang sudah lebih satu tahun," kata bekas perdana menteri berusia 99 tahun itu.

Dalam nada sinis, Mahathir turut mengajak Anwar untuk "sama-sama pergi Switzerland" sekiranya benar dia menyembunyikan kekayaannya di negara itu.

Mahathir berkata ketiadaan respons dari Anwar untuk menyahut cabarannya menunjukkan perdana menteri itu berbohong.

"Sebaliknya pergi kacau anak saya. Tunjuk lah – mereka bagi berbillion kepada saya?

"Tidak tunjuk sampai sekarang. Yang tahu cakap bohong. 

"Buka mulut bohong," kata Mahathir, menggunakan ayat yang kerap kedengaran di media sosial untuk menyerang Anwar.

Pada Mei tahun lalu, Mahathir memfailkan saman menuntut gantirugi RM150 juta dari Anwar atas dakwaan kononnya beliau mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.

Mahathir juga memberikan Anwar tempoh seminggu menarik balik tuduhannya.

Ketika berucap pada Kongres PKR pada Mac tahun lalu, Anwar menyasarkan serangannya terhadap seorang yang pernah berkuasa "22 tahun campur 22 bulan", sambil mempersoalkan Mahathir yang mengeluh kehilangan kuasa politik dan ekonomi orang Melayu.

"Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu dan sekarang apabila hilang kuasa, bicara soal rakyat," katanya.

Susulan saman tersebut, Mahathir bersetuju untuk memberi lanjutan masa dua minggu - sehingga 17 April 2023 - kepada peguam Anwar untuk menjawab notis tuntutannya.

Awal tahun ini, Mahathir sekali lagi mencabar pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasatnya.

Ia selepas Anwar berkata siasatan berhubung rasuah dan salah guna terhadap tokoh bergelar Tun adalah "sukar".

Mahathir bagaimanapun berkata dirinya mudah disiasat kerana tidak lagi memegang kuasa.

"Saya mudah disiasat, kerana kerajaan mempunyai kuasa, saya tak ada kuasa. Yang susah nak siasat ialah perdana menteri dan ketua SPRM," katanya merujuk Azam Baki, ketua pesuruhjaya SPRM yang sebelum ini berdepan tuduhan salah guna kuasa berkait milikan saham.