- Iklan -
Berita

Hannah Yeoh dikecam selepas tampil bangga bersama bintang badminton Thailand yang menewaskan Malaysia

Pengguna media sosial menyelar menteri belia dan sukan kerana tidak sensitif sambil mengingatkannya tentang tujuan beliau berada di Paris.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bergambar bersama jaguh Thailand Kunlavut Vitidsarn; dan Lee Zii Jia (kanan) tidak dapat mengawal kesedihannya selepas kekalahannya kepada Vitidsarn.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bergambar bersama jaguh Thailand Kunlavut Vitidsarn; dan Lee Zii Jia (kanan) tidak dapat mengawal kesedihannya selepas kekalahannya kepada Vitidsarn.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menjadi sasaran kecaman orang ramai selepas memuat naik hantaran memuji jaguh badminton Thailand Kunlavut Vitidsarn, yang menewaskan bintang badminton Malaysia, Lee Zii Jia pada Sukan Olimpik yang sedang berlangsung di Paris.

Yeoh, yang mengiringi atlet Malaysia di Paris, memuat naik foto dirinya dan Vitidsarn di Instagram, yang mencetuskan beberapa siri komen mengingatkannya mengapa dia berada di Sukan Olimpik.

Vitidsarn menewaskan Jii Zia pada separuh akhir perseorangan lelaki, sebelum tewas kepada juara bertahan dari Denmark, Viktor Axelson pada perlawanan akhir, meletakkannya di tempat kedua dengan memenangi pingat perak.

Yeoh yang tampil berdiri di sebelah Vitidsarn mengucapkan tahniah kepada pemain itu dan menulis: "Saya sangat menikmati gaya badmintonnya. Sangat tenang dan tenteram. Saya kini peminat baharunya!" tulisnya dalam catatan Instagram, disertakan dengan beberapa gambar dia bersama bintang Thailand itu.

"Menteri tone deaf (buta nada)," demikian respons pengguna Instagram @aijklmnop123. 

"Atlet kamu yang berjuang untuk negara baru sahaja meluahkan bagaimana kekalahan itu menghancurkan hatinya dan ini kamu meraikan pula lelaki yang menghancurkan impiannya. Kamu memang seorang menteri sukan yang cemerlang. Tak akan undi lagi orang ini."

"Tak sesuai la YB untuk expose benda ni. Awakmenteri, bawak nama Malaysia, kalau awak orang biasa, it's okay. Please delete," kata seorang lagi.

Pengguna lance_v_ks menasihati Yeoh: "Kamu harus simpan (gambar) ini untuk diri sendiri dan keluarga. Ini tidak sensitif."

"Macam tak berapa cerdik la kau ni menteri! Jaga la hati player Malaysia dulu sebelum kau nak post caption camtu. Otak cetek," kata pink_galangal.

Sementara itu, pengkritik DAP yang lantang Shamsher Singh Thind mengingatkan Yeoh tentang tugas rasminya di Paris.

"Hannah Yeoh, anda berada di Paris atas tugas rasmi (tak kisahlah apa), dan bukan untuk mengambil gambar bersama atlet di sana, lebih-lebih lagi yang menumbangkan atlet kami. Apa yang kamu mengarut nak jadi peminatnya?" tulis Shamsher, yang sebelum ini dituduh oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia "membuli" Yeoh kerana hantaran Facebook mempersoalkan keputusan kerajaan Selangor memberikan kontrak kepada sebuah syarikat diterajui suami pemimpin DAP itu.

Shamser berkata Yeoh sepatutnya membayar sendiri kos perjalanan ke Paris, sambil menambah bahawa hantaran Instagram itu bersifat "kebudak-budakan".

Sebuah laman perbincangan popular Facebook, Malaysian Chinese News, melabelkan Yeoh "tak malu".

"Orang ramai mengeluh mengenai ketidakcekapannya dan dia pula berani menyiarkan sesuatu seperti ini? Dia meraikan saingan kita dan nak jadi fan girl.

"Kamu pergi ke sana untuk bertugas, bukan jadi peminat negara saingan," katanya.

Sementara itu, @Shahifahsharil berkata kritikan itu bukan mempersoalkan semangat kesukanan, tetapi disebabkan Yeoh dihantar ke Paris atas kapasitinya sebagai menteri yang menjaga atlet negara.

"Jadilah peminat, lakukan apa yang anda suka, tetapi mungkin tak perlu kecoh dan memadailah untuk kegunaan peribadi. Bukannya susah."

Ramai pengguna Instagram, seperti @Zarulzahem, berkata tindakan Yeoh itu melampau, dan perlu ada "rasa hormat kepada pasukan kebangsaan".

Seramai 26 atlet Malaysia bertanding dalam 11 acara sukan pada Sukan Olimpik tahun ini.

Malaysia telah memperoleh dua pingat gangsa, masing-masing dalam acara perseorangan badminton dan beregu lelaki.

Terdahulu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Mohamad Norza Zakaria turut terpalit kontroversi dan menerima kecaman selepas dilihat bersama isteri dan anak lelakinya menyaksikan salah satu acara sukan di Paris. 

Ia di sebalik kuota terhad untuk jurulatih dan kakitangan sokongan, termasuk jurulatih badminton wanita Nova Armada yang tidak dapat mengiringi pemain badminton kebangsaan Goh Jin Wei ke Paris.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.