- Iklan -
Berita

SPRM akui wujud dokumen dimohon Daim

Dokumen FIR penting dalam usaha bekas menteri kewangan itu melawan pertuduhan SPRM terhadapnya.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Daim Zainuddin yang kelihatan uzur, ketika hadir di mahkamah pada 29 Januari 2024.
Daim Zainuddin yang kelihatan uzur, ketika hadir di mahkamah pada 29 Januari 2024.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui wujudnya sebuah dokumen memuatkan butiran aduan berhubung siasatannya terhadap Daim Zainuddin, tetapi enggan mengemukakannya walaupun ia penting dalam usaha bekas menteri kewangan itu membela diri melawan pertuduhan terhadapnya.

Peguam SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin hari ini mengakui kewujudan laporan maklumat pertama (FIR) itu kepada hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, tetapi berkata pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk menggunakannya dalam kes yang dibawa terhadapnya.

FIR merupakan dokumen disediakan memuatkan butiran aduan dan kesalahan yang sedang disiasat.

Di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah, SPRM dikehendaki mengemukakan dokumen itu.

"Aduan tersebut adalah relevan untuk memastikan suatu perbicaraan adil bagi pertuduhan tersebut selaras dengan hak saya di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan," kata Daim dalam afidavit yang difailkan bulan lepas.

Daim Zainuddin, dilihat di sini membentangkan belanjawan ketika menjawat menteri kewangan, merupakan antara bekas pemimpin kerajaan yang menjadi sasaran pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Daim Zainuddin, dilihat di sini membentangkan belanjawan ketika menjawat menteri kewangan, merupakan antara bekas pemimpin kerajaan yang menjadi sasaran pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Daim, bekas ahli perniagaan yang dilantik menjadi menteri kewangan ketika era Dr Mahathir Mohamad, memainkan peranan penting dalam mengemudi pemulihan ekonomi Malaysia susulan krisis kewangan Asia lewat tahun 1990-an.

Beliau antara bekas pemimpin kerajaan dan personaliti yang menjadi sasaran Anwar Ibrahim sejak pemimpin Pakatan Harapan itu dilantik sebagai perdana menteri berikutan keputusan parlimen tergantung pada pilihan raya umum yang lalu.

Sejak memulakan siasatan yang mendapat liputan meluas, SPRM telah membekukan akaun bank milik Daim di samping syarikat dan hartanah yang dikaitkan dengannya.

Siasatan itu seiring dengan pelbagai laporan diterbitkan media pro-kerajaan yang menuduh Daim menyorok kekayaan di luar negara.

Bagaimanapun, awal tahun ini, Daim hanya didakwa atas kesalahan gagal melengkapkan borang pengisytiharan hartanya kepada SPRM.