- Iklan -
Berita

Pakar ingatkan Putrajaya kesan di sebalik kempen agresif tarik rakyat China

Tumpuan kepada China sama ada dalam pelancongan atau pelaburan membawa bersamanya pelbagai cabaran kepada negara seperti Malaysia.

MalaysiaNow
5 minit bacaan
Kongsi
Putrajaya menyasarkan lima juta pelancong China untuk tahun 2024.
Putrajaya menyasarkan lima juta pelancong China untuk tahun 2024.

Sejak pelantikan Tiong King Sing selaku menteri bertanggungjawab pelancongan, Putrajaya dilihat menumpukan usaha menarik jutaan pelancong dari China.

Tiong dilihat menumpukan usahanya bukan sahaja menarik pelancong dari China, tetapi juga mempromosikan negara itu di kalangan rakyat Malaysia, dan kerap menghadiri sesi bersama orang kenamaan China dan pertubuhan memperjuangkan kepentingan China.

Hanya tujuh bulan selepas dilantik menjadi menteri pelancongan, Tiong terpalit dengan kontroversi apabila cuba campur tangan dalam kes seorang wanita warga China yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kerana gagal memenuhi syarat visa.

Baru-baru ini, Tiong berkata kerajaan menyasarkan seramai lima juta pelancong China ke Malaysia tahun ini.

Minggu lepas, Tiong mengajak Malaysia meneladani budaya perpaduan yang diamalkan di China.

"Tidak boleh dinafikan China telah meletakkan dirinya sebagai rakan perdagangan global yang utama. Budaya perpaduan dan kerjasama ini bermanfaat untuk negara kita dan dunia amnya,” katanya dipetik akhbar The Star.

Fokus menteri pelancongan Tiong King Sing terhadap China telah menimbulkan tanda tanya di sebalik peningkatan mendadak rakyat China yang menetap di Malaysia. Gambar: Facebook
Fokus menteri pelancongan Tiong King Sing terhadap China telah menimbulkan tanda tanya di sebalik peningkatan mendadak rakyat China yang menetap di Malaysia. Gambar: Facebook

China antara negara yang rakyatnya paling ramai melancong ke negara asing. 

Pada 2019, jumlah pelancong dari China ke negara lain mencecah hampir 155 juta, hampir tiga kali ganda berbanding pada 2010. Walaupun pandemik Covid-19 yang menyaksikan kerajaan China masih menutup sempadannya lama selepas negara lain menamatkan sekatan perjalanan, dianggarkan lebih 87 juta rakyat China melancong ke luar negara pada 2023.

Menurut angka diterbitkan platform statistik global Statista, musim sambutan Tahun Baru Cina pada Februari tahun ini menyaksikan pelancongan rakyat China ke luar negara melonjak dengan kira-kira 3.6 juta perjalanan hanya dalam tempoh 10-17 Februari.

Malaysia antara negara paling ramai menerima pelancong China, dan ini dijangka terus meningkat dengan pengecualian visa kepada warganegara China sehingga 30 hari.

Walaupun pelancongan menguntungkan Malaysia dari segi ekonomi, namun trend penghijrahan rakyat China merupakan kebimbangan yang semakin dirasai.

Akhbar The Financial Times baru-baru ini melaporkan mengenai trend kebanjiran warga China ke Malaysia, dan menganggarkan bilangan mereka yang menetap di negara ini meningkat dua kali ganda sejak tiga tahun lalu, daripada 82,000 pada 2022, kepada 150,000 hingga 200,000.

Selain pengecualian visa, pelbagai insentif di bawah Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H), iaitu program kerajaan menarik rakyat asing membawa masuk dana dengan kemudahan visa jangka panjang, turut dilihat menggalakkan lebih ramai rakyat China memutuskan untuk menetap di Malaysia.

Sebelum ini, proses permohonan MM2H diletakkan di bawah kuasa Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, langkah Putrajaya meletakkan MM2H di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang diterajui seorang menteri yang agresif mempromosikan China di Malaysia, menyaksikan pelonggaran syarat penyertaan program itu.

Malaysia antara negara paling ramai menerima pelancong China, dan ini dijangka terus meningkat dengan pengecualian visa kepada warganegara China sehingga 30 hari.
Malaysia antara negara paling ramai menerima pelancong China, dan ini dijangka terus meningkat dengan pengecualian visa kepada warganegara China sehingga 30 hari.

Walaupun peserta MM2H tidak lagi diberikan penduduk tetap (PR), mereka kini boleh datang dengan membawa bersama deposit tetap sebanyak RM5 juta, di mana mereka boleh tinggal sehingga 20 tahun termasuk diberikan permit kerja.

Pakar berpendapat penghijrahan semakin ramai warga China ke Malaysia membawa cabaran tersendiri kepada negara.

Mereka berpandangan ia akan membawa implikasi pada sektor hartanah dan pemilikan rumah, di mana pemaju akan lebih berminat membina hartanah mewah berbanding rumah mampu milik yang lazimnya dicari rakyat tempatan, di samping perubahan demografi dan kesan domino lain.

Penyelidik Wafiq Azman berkata antara kemudahan MM2H ialah pemilikan hartanah, di samping membawa membawa tanggungan yang ramai untuk tinggal bersama.

"Perubahan demografi yang cepat boleh menyebabkan ketegangan sosial jika integrasi antara pendatang baru dan penduduk tempatan tidak diuruskan dengan baik," kata Wafiq dari Institut IRIS. 

Wafiq berkata di bawah kementerian Tiong, syarat MM2H yang satu masa dulu ketat di bawah JIM, kini lebih longgar. 

Hubungan diplomatik Malaysia dan China telah memasuki usia separuh abad tahun ini, dan kini, seperti negara lain, China juga rakan dagang terbesar Malaysia. 

Beberapa kerjasama ekonomi termeterai antara kedua-dua negara antaranya projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kerjasama Geely-Proton di samping projek kontroversi Forest City di Johor.

Peningkatan jumlah rakyat China di Malaysia didorong beberapa factor antaranya pendidikan, pekerjaan dan pelaburan. 

Pengalaman Singapura

Malaysia bukan satu-satunya negara yang menjadi destinasi pilihan warga China, dan negara seperti Thailand dan Singapura turut menjadi tarikan utama.

Bagaimanapun, Singapura berdepan cabaran tersendiri dengan kebanjiran rakyat China, meskipun negara itu majoritinya berbangsa Cina.

Kehadiran warga Cina yang kaya-raya tidak disenangi penduduk Singapura apabila ada modal yang dibawa masuk ke negara itu merupakan hasil daripada aktiviti haram. Tindakan golongan kaya China menunjuk-nunjukkan kekayaan mereka juga mendatangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan warga tempatan.

Di Malaysia, kerajaan mengenakan harga minimum hartanah yang boleh dijual kepada warga asing. 

Biarpun begitu, ia tidak menjadi penghalang kepada warga China kaya daripada membeli hartanah.

"Peningkatan penghijrahan warga China ke Malaysia boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam pasaran hartanah dan meningkatkan harga rumah secara drastik," kata Wafiq.

Seorang lagi penganalisis, Samirul Ariff Othman, berkata penghijrahan warga China ke Singapura menjadi pengajaran kepada negara Asia Tenggara lain.

Bilangan pekerja dari China di Malaysia turut meningkat seiring dengan trend semakin ramai rakyat China memilih menetap di negara ini.
Bilangan pekerja dari China di Malaysia turut meningkat seiring dengan trend semakin ramai rakyat China memilih menetap di negara ini.

"Rantau ini mesti mengimbangi manfaat ekonomi dengan isu harga rumah, integrasi budaya, jurang ekonomi dan persaingan pasaran kerja.

"Thailand, sebagai contoh, telah melihat peningkatan kedatangan migran Cina dalam sektor pelancongan dan hartanah, yang membawa kepada keuntungan ekonomi tetapi juga kenaikan harga hartanah dan isu integrasi budaya. Vietnam telah mengalami dinamik yang serupa, dengan pelaburan Cina merangsang pertumbuhan sambil juga menimbulkan cabaran social," katanya kepada MalaysiaNow.

Samirul, bekas penyelidik kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, pekerja mahir China juga memberikan saingan sengit kepada pekerja tempatan dalam beberapa industri di Singapura.

Di Malaysia, beliau memberikan contoh projek ECRL yang kononnya menjanjikan peluang pekerjaan rakyat tempatan.

"Apa yang diketahui ialah kehadiran pekerja dari China yang sedang mengusahakannya. Kita juga tertanya-tanya jika kontrak tambahan kepada firma tempatan dikira sebagai 'penciptaan peluang pekerjaan' dan jika begitu,berapa banyak daripada kerja-kerja itu berkait dengan industri kereta api.

"Memalukan jika rupanya penyertaan tempatan hanyalah sekadar kontrak catering, pembekalan simen dan penyumberan pekerja asing," katanya.

Dalam pada itu, profesor pelancongan dan ekonomi tingkah laku dari UiTM, Mohd Hafiz Hanafiah, berkata meskipun penekanan kepada pelancong China adalah strategik mengikut pasaran semasa, ia juga membawa risiko.

"Kebergantungan berlebihan kepada satu pasaran boleh menyebabkan ketidakstabilan jika terdapat perubahan ekonomi atau politik di negara tersebut," katanya, memberikan contoh pandemik Covid-19 yang menyebabkan sekatan perjalanan dari China, seterusnya penurunan drastik pelancong di seluruh dunia.

Jelas beliau, usaha memartabatkan pelancongan negara perlu disokong dengan kehadiran pelancong dari pasaran lain seperti India, Eropah, dan negara-negara Asia Tneggara.

"Jangan mengharapkan hanya pada satu segmen. Kementerian pelancongan perlu mengamalkan konsep portfolio pasaran - bahagi-bahagikan risiko portfolio anda," tambah Hafiz.