- Iklan -
Berita

Mesej Islamofobia dalam buku komik jadi tumpuan selepas KDN batal pengharaman

Ia mengundang kecaman orang ramai yang mempersoalkan Putrajaya membenarkan buku itu di pasaran.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Kandungan buku komik karya Hew Kuan Yew yang menggambarkan umat Islam dipengaruhi elemen keganasan.
Kandungan buku komik karya Hew Kuan Yew yang menggambarkan umat Islam dipengaruhi elemen keganasan.

Pelbagai pihak mempersoalkan langkah Kementerian Dalam Negeri membatalkan pengharaman terhadap sebuah karya komik walaupun kandungannya bukan sahaja mengagung-agungkan negara China, tetapi juga cuba memberikan persepsi negatif mengenai umat Islam.

Buku "Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama" hasil karya penyokong tegar DAP Hew Kuan Yew itu pernah diharamkan di bawah pentadbiran pertama Pakatan Harapan (PH) pada 2019, walaupun kandungan buku itu turut menyelitkan pujian terhadap Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu.

Selain rasa kurang senang orang ramai dengan pujian meninggi terhadap negara China, di samping propaganda politik yang menyerang bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor, buku komik itu juga memuatkan kandungan yang cuba menggambarkan umat Islam sebagai pengganas.

Antaranya ialah menampilkan seorang lelaki berserban dan berkopiah, dengan kapsyen yang mendakwa belia Islam di rantau Asia Tenggara terpengaruh dengan kumpulan pengganas.

Ia mengundang pertanyaan oleh Lim Sian See, seorang pengulas politik yang berkait rapat dengan Najib.

"Masa dulu, Najib adalah antara orang pertama yang bangkitkan isu ini sehingga kerajaan PH 1.0 terpaksa larangkan komik tersebut sebab Najib tak senang bahawa komik ini sedang dihantar kepada semua sekolah di Malaysia ketika itu.

"Komik tersebut juga memberi bayangan yang orang Islam adalah penyokong keganasan apabila salah satu helaian yang tersebar menunjukkan yang penduduk Uighur yang berada di Xinjiang merupakan parti pemisah dan merupakan pengganas di China," kata Lim, merujuk kepada minoriti Islam yang kerap menjadi sasaran Beijing.

Ia mencetuskan pelbagai komen yang mempersoalkan tindakan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution membatalkan pengharaman itu.

"DAP tabur keganasan boleh, kebebasan bersuara... Bila Melayu bersuara... patrol car datang kutip," tulis Mohd Fadillah Aman, merujuk ugutan yang pernah dibuat Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tidak lama dulu terhadap pengguna media sosial yang mengkritik kerajaan.

Beberapa pengguna mencabar Umno, yang antara paling lantang menggesa kerajaan mengharamkan buku tersebut, menyatakan pendirian parti itu sekarang.

"Apakah Umno dapat semak dan imbang melainkan jadi pak turut DAP? Akar umbi harap maklum," tulis Hadi Hashim. 

Buku itu diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia dalam versi Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Walaupun mengalami pertukaran kerajaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) jarang menarik balik perintah pengharaman penerbitan yang dianggapnya boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan awam, alasan yang kerap digunakan dalam melarang buku, filem dan karya seni.

Hasil kerja Hew itu mempromosikan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), rancangan besar-besaran Beijing untuk membina pembangunan infrastruktur di seluruh dunia bagi meluaskan pasaran dan pengaruh negara itu.

Penceritaan dalam buku itu pula menggunakan dua watak kucing yang memuji wawasan China di samping mengagung-agungkan sejarah dan tamadunnya.

Hew, penyokong tegar DAP yang terkenal dengan panggilan "Superman Hew", pernah terpalit pelbagai kontroversi disebabkan ucapan berbaur perkauman.

Pada 2016, dia dirakam dalam sebuah video  menggesa rakyat Sarawak untuk “menggunakan Melayu untuk 'skru' Melayu" semasa kempen pilihan raya di negeri itu. 

Walaupun meletak jawatan daripada DAP, Hew masih terus mempromosikan parti itu.

Hew kembali menjadi tumpuan apabila klip ucapannya semasa kempen pilihan raya umum 2022 menjadi tular.

Klip itu menunjukkan Hew menyeru masyarakat Cina untuk mengeksploitasi perpecahan dalam kalangan orang Melayu dengan memberi mereka "tumbukan maut" pada pilihan raya umum, di samping menggesa masyarakat Cina meraikan perpecahan Melayu.

"Sekarang biarkan Melayu yang nak ketuanan Melayu, Melayu yang balut kepala yang nak ketuanan Islam, maksudnya PAS yang jah**** itu," kata Hew dalam klip video yang tular itu disertai sarikata Melayu.

"Sekarang mereka berpecah belah, kita kena bersatu,” katanya, sambil mengacungkan penumbuknya.

Sementara itu, PAS Selangor melahirkan "rasa dukacita, kecewa dan penentangan yang keras" terhadap langkah KDN membatalkan pengharaman buku Hew.

"Selain itu, karya ini juga membawa mesej salah faham terhadap Islam dan menormalisasikan racun Islamofobia dalam negara ini. 

"Pastinya ia adalah satu fitnah yang berniat jahat dan prejudis terhadap perjuangan umat Islam yang memperjuangkan hak asasi bagi hidup mereka," kata Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad.