Dr Mahathir Mohamad "susah" untuk memikirkan apa-apa perkara positif yang dilakukan di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim sejak dilantik menjadi perdana menteri dua tahun lalu, apabila ditanya baru-baru ini sama ada tindakan bekas timbalannya itu yang perlu dipuji.
Pemimpin veteran itu berkata beliau amat kenal dengan perwatakannya, menyifatkannya seorang yang bertindak berlawanan daripada ucapannya.
"Apabila dia menjadi perdana menteri, dia melakukan benda yang dia sendiri kata salah. Jadi, kita tak boleh pegang kepada janji dia.
"Ada satu masa satu pendirian, pada masa yang lain pendirian yang bertentangan. Inilah yang kita lihat sikap yang ada pada Anwar.
"Itu yang tak baiklah. Yang baik ni, kita nak fikir susah juga," kata Mahathir yang terkenal dengan pelbagai sindiran terhadap bekas timbalannya yang pernah diangkat sehingga menjadi pemangku perdana menteri lebih dua dekad lalu.
Antara kritikan paling banyak terhadap Anwar ialah dakwaan beliau memungkiri janji pilihan raya, di samping mengambil tindakan yang satu masa dulu ditentang secara keras.
Ia termasuk melantik dirinya sebagai menteri kewangan, melanggar prinsip Pakatan Harapan untuk memisahkan portfolio itu daripada jawatan perdana menteri.
Antara Daim dan Anwar
Dalam wawancara satu jam bersama MalaysiaNow, Mahathir turut ditanya mengenai pengalaman pentadbirannya ketika Anwar menjadi menteri kewangan, dan pada masa sekarang di mana presiden PKR itu sekali lagi menjawat menteri kewangan.
Mahathir melihat perbezaan jelas Anwar dengan bekas-bekas menteri kewangan lain, terutama Daim Zainuddin, orang yang dibawa masuk Mahathir bagi membantunya mengharungi kegawatan ekonomi ketika krisis matawang Asia pada lewat 1990-an.
Mahathir menyifatkan Daim seorang yang tidak bercita-cita tinggi dalam politik, malah tidak berminat dengan jawatan kerajaan.
Menurutnya, Daim yang merupakan ahli perniagaan dipilih sebagai menteri kewangan berdasarkan kepakaran dan kebolehannya dalam bidang kewangan.
Atas sebab itu, kata Mahathir, Daim rela melepaskan jawatannya dengan mudah apabila disuruh berbuat demikian.
"Tetapi (dalam kes) Anwar, parti terpaksa gugurkan dia. Bukan dia letak jawatan sendiri, tetapi kerana dia digugurkan," kata Mahathir.
Anwar dipecat pada 2 September 1998 atas dakwaan rasuah dan moral, mencetuskan krisis politik beberapa tahun yang menyaksikan penyokongnya turun ke jalan raya mendesak Mahathir meletak jawatan.
Mahathir bagaimanapun meletak jawatan lima tahun selepas itu sebaik sahaja ekonomi Malaysia bertambah pulih selepas terkesan dengan krisis ekonomi waktu itu.
Mahathir berkata sikap Anwar yang berubah-ubah terserlah apabila disingkirkan daripada kerajaan.
Bagi Mahathir, sikap yang berubah-ubah dan tidak berpegang kepada janji bakal menjadi punca kejatuhan Anwar.
Beliau turut meramalkan pentadbiran Anwar akan meneruskan amalan "Cash is King" ("wang segala-galanya"), jolokan yang diberi pemimpin veteran itu terhadap kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak sebelum ini.
"Pada Pilihan Raya ke-16 ini, dia sebagai pihak kerajaan, dia akan menggunakan kuasa kerajaan untuk menentukan dia dapat kemenangan.
"Cara halal ataupun tidak halal, dia akan cuba guna kuasa kerajaan. Jadi kita berdepan dengan kemungkinan kuasa dia dikekalkan melalui cara yang tidak menepati prinsip-prinsip demokrasi."