- Iklan -
Berita

Kemenangan di Nenggiri – kubu Umno selama berdekad tanpa mesin ATM – tidak bermakna 'kebangkitan semula'

Penilaian penerimaan masyarakat Melayu terhadap Umno boleh diukur dengan lebih tepat di negeri Pantai Barat, kata penganalisis.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pelancaran mesin ATM pertama untuk penduduk Nenggiri antara bahan kempen kerajaan persekutuan pada pilihan raya kecil yang baru selesai. Gambar: Facebook
Pelancaran mesin ATM pertama untuk penduduk Nenggiri antara bahan kempen kerajaan persekutuan pada pilihan raya kecil yang baru selesai. Gambar: Facebook

Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di sebuah kawasan yang pernah menjadi kubu kuatnya selama berdekad, dengan tahap pembangunan jauh ke belakang sehinggakan tidak pernah wujud mesin ATM, tidak boleh dianggap kebangkitan semula parti itu setelah ditolak pada dua pilihan raya, kata dua penganalisis politik Melayu.

Ahmad Atory Hussain berkata keputusan pilihan raya Nenggiri perlu dilihat dalam konteks budaya politik di Kelantan yang berbeza dengan negeri-negeri di pantai barat.

"Pengundi boleh mengubah pendirian dengan mudah bergantung kepada isu politik tempatan. Harus diingatkan, Kelantan tiada isu kaum bukan Melayu dan pengundi hampir 95% orang Melayu.

"Apa parti pun menang, orang Melayu yang memerintah," kata pemerhati veteran politik Melayu itu kepada MalaysiaNow.

Ia berbeza dengan negeri-negeri Pantai Barat di mana faktor kaum diambil kira dalam sesuatu pilihan raya.

Sabtu lepas, calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dengan 9,091 undi dan majoriti sebanyak 3,352 undi, menewaskan Mohd Rizwadi dari Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 5,739 undi, dalam apa yang dilihat kemenangan yang jarang berlaku untuk Umno di sebuah kawasan majoriti Melayu ketika penolakan besar-besaran parti itu sejak pilihan raya umum 2022.

Ia juga kali pertama parti penyandang tewas dalam sebuah pilihan raya kecil di bawah pentabiran Anwar Ibrahim. 

Kemenangan di Nenggiri bermakna parti mewakili kerajaan campuran di pusat kini mempunyai tiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan, selain Galas dan Kota Lama.
 
Kempen di Nenggiri, dengan jumlah pengundi Orang Asli yang ramai, menyaksikan Umno yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah menyuruh DAP untuk tidak turut serta, di sebalik sentimen anti-DAP yang masih menebal di kalangan orang Melayu.

Kemenangan itu amat bermakna bagi Umno yang sekian lama ditolak orang Melayu, termasuk baru-baru ini di Sungai Bakap, Pulau Pinang di mana PN terus meningkatkan sokongannya dua tahun selepas Anwar membentuk kerajaan campurannya.

Pemimpin kerajaan menyifatkan kemenangan itu petanda orang Melayu mula kembali ke pangkuan Umno.

Dakwaan itu dipersoalkan Atory, yang tidak melihat penerimaan itu bermula sehingga pilihan raya di Pantai Barat.

"Jika ini pilihan raya Parlimen, BN belum tentu boleh menang," katanya.

Pemerhati politik Azizi Safar berkata kekuatan PAS yang mewakili PN tidak setanding dengan Umno di Nenggiri.

PAS pertama kali bertanding di Nenggiri hanya pada 2018, di mana kerusi itu ditandingi PKR sejak 2004 ketika kedua-dua parti itu dalam pasukan sama menentang Umno.

Sejak 2004, Umno menang di Nenggiri dengan peratusan keluar mengundi lebih 80%.

Bagaimanapun, pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu, peratusan keluar mengundi menjunam kepada 61%, menyaksikan PN mendapat manfaat daripada langkah penyokong Umno untuk tidak mengundi.

Azizi mengingatkan, bilangan undi PN kali ini tidak banyak berubah berbanding tahun lepas. 

"Tetapi kali ini kalah teruk kerana pengundi yang tidak keluar mengundi pada PRN lepas keluar mengundi pada kali ini," kata bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang itu.

Penamaan calon PRK Nenggiri turut menyaksikan tarik-menarik antara Bersatu dan PAS. Bagaimanapun, kompromi dicapai selepas Mohd Rizwadi daripada PAS menyertai Bersatu, tetapi bertanding menggunakan logo PAS.

Atory menyifatkan strategi seperti itu mempermainkan ahli parti komponen.

"Faktor calon perlu diutamakan dan parti politik tidak boleh lagi melakukan perkara yang sama seperti di Kuala Kubu Baharu atau di Sungai Bakap.  

"Bersatu pula perlu berlapang dada dan tidak tamak. Jika tidak, jangan harap PN akan jadi alternatif kepada PH," katanya.

Azizi turut mengingatkan PN yang isu nasional tidak mempengaruhi pengundi tatkala isu tempatan masih belum selesai.

"Di kawasan yang mana mesin ATM pun dah berpuluh tahun tak pernah ada, janji pembangunan masih laku dalam kempen pilihan raya," katanya, merujuk mesin ATM pertama di kawasan itu yang menjadi antara kempen kerajaan.

"Pihak yang banyak sumber dan perkakas yang boleh digunakan untuk berkempen mempunyai peluang lebih besar untuk menang PRK," katanya.