- Iklan -
Berita

BBC bongkar video palsu dakwa penduduk Hindu Bangladesh diserang

BBC Verify mendedahkan fakta sebenar di sebalik dakwaan kononnya berlaku genosid anti-Hindu di Bangladesh.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Antara hantaran klip video yang dikenal pasti oleh BBC sebagai berita palsu kononnya penduduk Hindu menjadi sasaran keganasan di Bangladesh.
Antara hantaran klip video yang dikenal pasti oleh BBC sebagai berita palsu kononnya penduduk Hindu menjadi sasaran keganasan di Bangladesh.

Kumpulan haluan kanan didapati menyebarkan klip video palsu kononnya penduduk minoriti di Bangladesh menjadi sasaran serangan di negara itu, lapor saluran berita Britain, BBC.

Ia susulan protes jalanan yang menumbangkan pentadbiran Sheikh Hasina itu bertukar kepada rusuhan, di mana penunjuk perasaan menyasarkan anggota dan penyokong parti Liga Awami.

Ia mengundang gesaan pelbagai pihak terhadap kerajaan sementara yang diketuai Muhammad Yunus untuk memastikan penduduk Hindu dibela.

Di Malaysia, beberapa pemimpin dan pertubuhan Hindu turut mengadakan protes menggesa Yunus mengambil tindakan terhadap penyerang.

Semalam, Ahli Parlimen DAP V Ganabatirau dan aktivis kontroversi Hindu Arun Dorasamy antara yang hadir dalam majlis solidariti di sebuah kuil di Brickfields, Kuala Lumpur.

"Kami berpegang teguh dalam harapan dan doa kami bahawa Tuhan akan membantu dalam memberikan keamanan dan perlindungan kepada komuniti minoriti di Bangladesh," kata kenyataan dikeluarkan Pertubuhan Hinduhharma Malaysia.

Bagaimanapun, pemeriksaan BBC Verify, unit yang mengkaji fakta di sebalik sesuatu dakwaan berita semasa, mendapati pelbagai video memaparkan keganasan, wanita menangis dan bangunan terbakar digunakan di luar konteks oleh beberapa akaun media sosial dan disebarkan kumpulan ekstremis Hindu yang berpengkalan di India. 

Klip tersebut menuduh kumpulan radikal Islam menjadi dalang di sebalik keganasan terhadap masyarakat Hindu dan kuil mereka.

Antara hantaran yang tular menunjukkan kuil Hindu dibakar oleh "Islamis di Bangladesh", tetapi semakan BBC Verify mendapati bangunan kuil itu, yang dikenal pasti sebagai Kuil Navagraha di Chittagong, tidak mengalami kerosakan.

Sebaliknya, pekerja kuil berkata ia merupakan serangan pada 5 Ogos di pejabat Liga Awami di belakang kuil pada sebelah petang. 

"Mereka mengambil perabot dan membakarnya," kata jurucakap kuil Swapan Das kepada BBC.  

Beberapa mesej di luar sebuah kuil di Brickfields, Kuala Lumpur, yang menyatakan solidariti untuk penganut Hindu Bangladesh di sebalik dakwaan kononnya penduduk minoriti itu menjadi sasaran keganasan.
Beberapa mesej di luar sebuah kuil di Brickfields, Kuala Lumpur, yang menyatakan solidariti untuk penganut Hindu Bangladesh di sebalik dakwaan kononnya penduduk minoriti itu menjadi sasaran keganasan.

Kumpulan haluan kanan turut menyebarkan video mendakwa rumah pemain kriket Bangladesh beragama Hindu dibakar. 

Tetapi BBC Verify mendapati rumah tersebut dimiliki oleh seorang ahli Parlimen daripada Liga Awami yang beragama Islam.

Video bersifat berita palsu itu turut dikongsikan aktivis haluan kanan di Britain, Stephen Yaxley-Lennon atau lebih dikenali sebagai Tommy Robinson, watak yang mendalangi rusuhan anti-Islam di Britain baru-baru ini.

Robinson mendakwa berlaku genosid terhadap masyarakat Hindu di Bangladesh dalam hantarannya berkongsi klip rusuhan di Bangladesh.

Satu video yang dikongsi Robinson menunjukkan seorang wanita merayu agar suaminya dilepaskan, semasa satu serangan yang didakwa dilakukan oleh Islamis terhadap rumah wanita tersebut.

Bagaimanapun, sekumpulan pelajar yang membantu wanita tersebut memberitahu BBC bahawa kes itu membabitkan isu pemilikan tanah yang difailkan di sebuah mahkamah tempatan sejak enam bulan lepas.

Menurut semakan fakta oleh agensi AFP, sememangnya terdapat serangan terhadap harta milik individu beragama Hindu, tetapi ia bersifat politik dan bukan bermotifkan agama.

Lima individu Hindu telah dilaporkan maut sepanjang pergolakan itu, dengan dua daripadanya anggota Liga Awami, menurut Majlis Perpaduan Hindu Budha Kristian Bangladesh. 

Lebih 50 pemimpin Muslim Liga Awami turut dilaporkan terbunuh.

Beberapa penunjuk perasaan beragama Islam bertindak melindungi kuil Hindu selepas dakwaan palsu mengenai serangan terhadap kuil mula tular di internet, yang disifatkan cuba mengapi-apikan konflik antara penganut Hindu dan orang Islam.

"Kami tak termakan dengan hasutan," kata seorang lelaki bernama Moinul, yang mengawal sebuah kuil di Hatharazi, berhampiran Chittagong.

Bangladesh dengan penduduk 170 juta mempunyai minoriti Hindu berjumlah 13 juta.