- Iklan -
Berita

Kebanjiran barangan, percambahan syarikat warga China cetus kebimbangan peniaga tempatan

Dengan laluan darat yang lebih pantas menghubungkan Asia Tenggara dengan China, peniaga memberi amaran 'penjajahan ekonomi'.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi

Kebimbangan yang semakin meningkat terhadap peluasan China ke negara-negara jiran yang memberi impak terhadap pasaran tempatan kini turut berlaku di Malaysia, di mana peniaga tempatan dan pemerhati industri memberi amaran tentang "penjajahan ekonomi".

Ia di sebalik usaha Beijing menguatkan cengkamannya terhadap rantaian bekalan di seluruh dunia, iaitu antara hasil Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), sebuah projek besar-besaran menghubungkan China dengan bandar-bandar yang sebelum ini hanya boleh diakses melalui udara dan laut.

Kini, hasil pertanian dan barangan pengguna yang murah dari China boleh diangkut dengan mudah melalui kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan beberapa negara Asia Tenggara.

Di Thailand, pemilik perniagaan menyuarakan kebimbangan mengenai produk China yang memasuki negara itu melalui kereta api berkelajuan tinggi, yang menyaksikan hasil pertanian seperti epal, anggur, pear, oren, brokoli, kubis, lada dan cendawan pada harga yang lebih murah daripada keluaran tempatan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan pelancaran kereta api kargo baharu dikendalikan oleh China Railway, membolehkan barangan diangkut dari Yunnan, China ke Petaling Jaya, Selangor dalam tempoh 10 hari, separuh daripada masa perjalanan kapal kargo dari Kunming, pusat pengangkutan China.

Persatuan perdagangan, ahli perniagaan dan akademik yang bercakap dengan MalaysiaNow berkata dominasi China kini jelas bukan sahaja dalam perniagaan dalam talian, tetapi juga dalam sektor makanan dan runcit, yang mendatangkan impak buruk terhadap perusahaan kecil dan sederhana.

"Ini paling jelas dapat dilihat dalam sektor peruncitan," kata William Ng, presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta).

Ng berkata penguasaan Cina dalam sektor runcit menjadi bertambah mudah apabila pemilik hartanah lebih suka menyewa kepada syarikat asing, yang bersedia membayar kadar sewa lebih tinggi.

"Tetapi ramai yang hilang selepas beberapa bulan perniagaan merudum walaupun menggunakan produk makanan yang sudah siap dibuat dari luar negara. 

"Ia mengakibatkan pemilik premis mempunyai anggaran sewa yang tidak realistik yang tidak boleh dibayar oleh pemain tempatan, manakala pelanggan pula terdedah dengan mutu makanan yang boleh dipertikaikan," katanya kepada MalaysiaNow.

Kebimbangan ini timbul di tengah-tengah laporan peningkatan mendadak warga China yang menetap di Malaysia sejak dua tahun lalu, mengambil manfaat daripada pelbagai insentif seperti pengecualian visa selama 30 hari dan syarat lebih longgar di bawah Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H), program kerajaan untuk menarik dana asing dengan menawarkan permit bermastautin dan menjalankan perniagaan.

The Financial Times baru-baru ini melaporkan bilangan warga China yang menetap di Malaysia meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua tahun, iaitu kini antara 150,000 dan 200,000, daripada 82,000 pada 2022.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata, tidak seperti pendatang lain, kehadiran masyarakat Cina tempatan menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan rakyat China yang menurutnya "mudah hilang".

"Itulah yang menyebabkan jumlah mereka banyak, kerana kita tidak boleh kenal pasti warganegara asal dengan orang pendatang," katanya dalam wawancara bersama MalaysiaNow baru-baru ini. 

Restoran milik rakyat China

Seorang ahli perniagaan memberitahu MalaysiaNow mengenai restoran milik warga China yang semakin bercambah.

Beliau memberi contoh restoran "mee tarik" yang lengkap dengan tanda "halal" kerajaan, iaitu sijil yang mengambil masa panjang untuk diluluskan melalui proses permohonan dan syarat yang rumit.

Terdapat peningkatan mendadak rakyat Cina yang menetap di Malaysia selepas tiba di Malaysia melalui pelbagai insentif ditawarkan kerajaan.
Terdapat peningkatan mendadak rakyat Cina yang menetap di Malaysia selepas tiba di Malaysia melalui pelbagai insentif ditawarkan kerajaan.

"Di Setia Alam (Shah Alam) contohnya, ada dua buah restoran mee tarik berstatus halal yang dimiliki oleh warga China. Mereka mahu tarik pelanggan Melayu kerana restoran bukan halal tidak rancak di Malaysia," kata ahli perniagaan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hamdan.

Situasi serupa di Thailand menyebabkan pihak berkuasa di Bangkok mula mengambil tindakan terhadap restoran milik warga China yang melanggar peraturan tempatan, berikutan aduan bahawa rakyat tempatan kerap bertindak sebagai ejen untuk menutupi perniagaan haram dimiliki orang asing.

Sementara di Indonesia, pihak berkuasa terpaksa mengambil langkah melindungi peniaga tempatan yang berdepan saingan sengit akibat kebanjiran produk China.

Tahun lalu, Indonesia mengharamkan perniagaan dalam talian di platform media sosial termasuk TikTok, mengambil kira kepentingan melindungi perniagaan kecil tempatan.

Ia juga bakal memperkenalkan cukai sehingga 200% ke atas barangan seperti kasut, pakaian, kosmetik dan pinggan mangkuk yang diimport.

Awal tahun ini, Malaysia mula mengenakan cukai jualan sebanyak 10% ke atas barang bernilai rendah (LVG), yang melibatkan barangan import berharga kurang dari RM500.

Bagaimanapun, Ng berkata peniaga menggunakan pelbagai helah mengelak cukai itu.

"Pasaran e-dagang terkemuka memasukkan cukai LVG ke dalam kos penghantaran atau dalam dicetak terlalu kecil, jadi ramai pembeli dalam talian Malaysia tidak sedar mereka dicukai kerana membeli daripada penjual luar negara," katanya, merujuk kepada aplikasi beli-belah dalam talian berpengkalan di China seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Mohd Zulariffin Md Maarof, pengarah sebuah akademi e-dagang di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), berkata cabaran dihadapi peniaga dalam talian ditambah apabila pengilang China yang menjadi pembekal mereka mula bertapak di Malaysia dan menjual terus kepada pembeli.

"Mereka mempunyai gudang-gudang yang dijual di platform seperti Lazada, Shopee dan TikTok Shop," kata Zulariffin, pengarah urusan Export Oversea Academy di bawah UTHM.

Beliau berkata syarikat China yang tidak fasih bahasa Melayu mengupah penduduk tempatan untuk menjual produk mereka dalam sesi "live" di aplikasi beli-belah.

Zulariffin memberi contoh sebuah gudang milik syarikat China yang menempatkan lebih 20 bilik untuk mengadakan siaran langsung.

Menurutnya, penjual tempatan tidak mampu bersaing dengan syarikat e-dagang China yang mempunyai modal yang besar.

Katanya, perlu ada langkah melindungi peniaga tempatan, seperti mana di Amerika Syarikat yang meletakkan syarat lebih ketat kepada penjual dalam talian dari luar negara.

"Jika tiada dasar perlindungan, kita akan terkesan dengan 'penjajahan ekonomi daripada penjual luar negara. Kita belum mempunyai kemahiran yang tinggi dan modal yang besar untuk bersaing."

Ng bersetuju, dan mencadangkan kerajaan mengenakan modal berbayar yang lebih tinggi untuk syarikat runcit milik asing, iaitu kadar semasa RM500,000 kepada RM2 juta.

Katanya pihak berkuasa juga perlu melarang perjanjian milikan saham secara proksi dan mengehadkan perniagaan dimiliki warga asing kepada bandar-bandar dengan jumlah penduduk yang sekurang-kurangnya satu juta. 

"Apa-apa dasar perlindungan perlu dilaksanakan dengan cermat, wajib disemak semula selepas lima tahun dan tidak menyasarkan penjual daripada mana-mana negara spesifik.

"IKS kita tiada masalah bersaing secara sihat. Tetapi bagaimana mungkin sesetengah peniaga asing boleh menjual produk dengan penghantaran percuma dari luar negara pada kos yang lebih rendah daripada kurier domestik kita? 

"Kombinasi subsidi kerajaan, kebanjiran stok dan produk bermutu rendah merosakkan persaingan dengan peniaga tempatan," katanya.