- Iklan -
Berita

Malaysia ikut raja berperlembagaan, kata kumpulan peguam kecam siasatan hasutan terhadap Muhyiddin

Lawyers for Liberty mengingatkan PH bagaimana mereka menentang keras dakwaan di bawah Akta Hasutan terhadap Karpal Singh yang mengkritik Sultan Perak dalam isu yang serupa.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyapa wartawan yang berkumpul di luar Istana Negara, ketika pemimpin politik keluar masuk untuk mengemukakan bukti sokongan bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022.
Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyapa wartawan yang berkumpul di luar Istana Negara, ketika pemimpin politik keluar masuk untuk mengemukakan bukti sokongan bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022.

Kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) mengecam penggunaan Akta Hasutan terhadap Muhyiddin Yassin selepas polis memulakan siasatan terhadap pengerusi Perikatan Nasional itu berhubung ucapannya mempersoalkan keputusan bekas Yang di-Pertuan Agong untuk tidak melantiknya sebagai perdana menteri walaupun selepas mengumpul sokongan majoriti ahli Parlimen.

Pengarah LFL, Zaid Malek mengingatkan kerajaan bahawa Agong adalah tertakluk kepada sistem raja berperlembagaan dan tidak terlepas daripada "penelitian atau perbincangan umum" dalam menjalankan tanggungjawabnya di bawah perlembagaan untuk melantik perdana menteri.

Beliau berkata kerajaan campuran diketuai Pakatan Harapan (PH) kini menuju "arah yang bertentangan" apabila menghalang sebarang penelitian dalam pelaksanaan kuasa perlembagaan Agong.

"Ini pada asasnya berlawanan dengan tadbir urus demokrasi," katanya.

"Peranan dan tugas Agong dipandu oleh Perlembagaan Persekutuan dan pematuhan kepada perlembagaan memerlukan penelitian terhadap tindakan Agong. Ia tidak menjadi satu kesalahan, dan juga bukan dianggap 'derhaka' seperti yang didakwa sesetengah ahli politik yang tidak bertanggungjawab di pihak kerajaan."

Bercakap dalam program ceramah PN semasa kempen pilihan raya kecil Nenggiri baru-baru ini, Muhyiddin mengimbas kembali pilihan raya umum pada 2022.

"Kalau ikut kiraan, kita jadi kerajaan, betul tak? Saya waktu itu sekali lagi diberikan sokongan, ada 115 ahli parlimen sokong saya.

Muhyiddin Yassin (kiri) berkata beliau menganggap sesuatu yang luar biasa apabila tidak dijemput mengangkat sumpah walaupun selepas menunjukkan bukti sokongan majoriti selepas PRU15 dulu.
Muhyiddin Yassin (kiri) berkata beliau menganggap sesuatu yang luar biasa apabila tidak dijemput mengangkat sumpah walaupun selepas menunjukkan bukti sokongan majoriti selepas PRU15 dulu.

"Kalau ikut kiraan perlembagaan, saya sudah ada jumlah yang lebih untuk menjadi perdana menteri. Ini bukan mengungkit, tapi ini rekod sejarah. Tapi entah macam mana, Yang di-Pertuan Agong waktu itu tak ajak jemput saya pergi istana angkat sumpah.

"Siapa Yang di-Pertuan Agong dulu? Pahang," kata Muhyiddin merujuk kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. "Kita tak nak cerita apa-apa buruk. Tapi yang itu, bagi saya agak luar biasa. Tapi tak apalah."

Pada pilihan raya umum ke-15 itu, PH memenangi 82 kerusi, diikuti PN (73), Barisan Nasional (30), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), dan masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Parti Bangsa Malaysia, manakala dua kerusi dimenangi calon bebas. Satu lagi kerusi iaitu Padang Serai dimenangi PN dalam pilihan raya diadakan tidak lama selepas PRU.

Susulan itu, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri mengemukakan 115 akuan berkanun daripada ahli Parlimen yang menyokongnya sebelum tarikh akhir ditetapkan istana bagi pemimpin gabungan politik membuktikan sokongan mereka.

Sultan Abdullah kemudian dilaporkan tidak mengambil kira 115 akuan berkanun itu, sebaliknya mengarahkan semua pemimpin politik hadir ke Istana Negara.

Muhyiddin kemudiannya berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan Agong agar bergabung dengan Anwar Ibrahim untuk membentuk "kerajaan perpaduan" bersama PH.

Pihak istana kemudiannya menamakan Anwar sebagai perdana menteri, yang menerima sokongan GPS selepas gabungan Sarawak itu berkata akan akur dengan siapa sahaja yang dipilih Agong.

Menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Agong perlu melantik seseorang yang pada pertimbangannya mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen.

LFL berkata peruntukan itu jelas menunjukkan Agong mesti melantik seorang perdana menteri yang pada hematnya mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

"Maka bertitik tolak daripada itu, perbincangan mengenai keputusan Agong terhadap sokongan majoriti tidak boleh dilarang atau disekat," kata kumpulan itu.

Ia turut mengingatkan Anwar dan PH bagaimana mereka menentang keras penggunaan Akta Hasutan.

“Pemimpin PH seolah-olah lupa bagaimana mereka bersatu di belakang mendiang Karpal Singh yang didakwa di bawah Akta Hasutan kerana menyoal Sultan Perak dalam menentukan sokongan kepada menteri besar Perak ketika itu, Nizar Jamaludin.

"Kini mereka menukar rentak apabila berkuasa, dan ini sesuatu yang terang-terangan tidak berprinsip."

Zaid Malek.
Zaid Malek.

Zaid menggesa pemimpin kerajaan "terutamanya daripada PH" mengambil pengajaran daripada pertuduhan yang dikenakan ke atas Karpal dan menghapuskan Akta Hasutan.

"Undang-undang era kolonial yang lapuk ini tidak ada tempat dalam sebuah negara yang berperlembagaan dan demokratik. Bila mana kedaulatan undang-undang diguna pakai, tiada pihak boleh terlepas daripada penelitian."

Antara pemimpin DAP yang menggesa Muhyiddin disiasat di bawah Akta Hasutan ialah Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat Muhyiddin ini di sisi undang-undang jenayah negara Malaysia berunsur satu penghasutan dan penghinaan kepada institusi diraja yang boleh membangkitkan kemarahan rakyat terhadap institusi diraja," kata Rayer dalam laporan polis dipetik portal mesra PH, Malaysiakini.