- Iklan -
Berita

Firma milik kerajaan Selangor tak jadi ke Australia selepas laporan

Jurucakap MB Selangor menuduh MalaysiaNow menerbitkan 'berita palsu'.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Antara eksekutif kanan dan ahli lembaga pengarah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd milik kerajaan negeri, yang juga termasuk ahli politik PH.
Antara eksekutif kanan dan ahli lembaga pengarah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd milik kerajaan negeri, yang juga termasuk ahli politik PH.

Dua syarikat milik kerajaan negeri Selangor telah membatalkan rancangan menerbangkan pengarah dan eksekutif tertinggi mereka ke Perth, Australia untuk "retreat" selama empat hari, di mana mesyuarat lembaga pengarah juga akan diadakan buat pertama kali di luar negara.

Bulan lepas, MalaysiaNow mendedahkan rancangan oleh Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd, yang akan turut disertai Menteri Besar Amirudin Shari, bertolak daripada amalan sebelum ini mengadakan mesyuarat lembaga pengarah dalam negara.

Bagaimanapun, berikutan kritikan orang ramai termasuk di media sosial, KHSB berkata perjalanan itu hanyalah di peringkat "cadangan" dan "masih belum mendapat sebarang kelulusan lembaga pengarah".

Ini diikuti penafian Amirudin yang mendakwa tidak mengetahui apa-apa tentang perkara itu.

Malah, seorang jurucakap Amirudin ketika dihubungi menuduh MalaysiaNow menyebarkan berita palsu.

"Berita yang dilaporkan itu adalah palsu," kata Jay Jay Clement Dennis.

"Macam mana boleh ada yang pergi kalau benda yang diberitakan adalah tidak benar?" 

KHSB sebelum ini mempertahankan cadangan mengadakan mesyuarat lembaga pengarahnya di Perth sambil mendakwa rombongannya bukan semata-mata untuk tujuan itu, sebaliknya merupakan "delegasi teknikal" mengkaji sektor hartanah.

"Sebarang laporan yang ingin memberikan gambaran bahawa KHSB hanya ingin berkunjung ke luar negara semata-mata untuk mengadakan Mesyuarat Lembaga Pengarah di luar negara adalah jelas sebuah fitnah yang berniat jahat serta bertentangan dengan logik," katanya.

Mengikut jadual program yang dilihat oleh MalaysiaNow, peserta sepatutnya menaiki dua penerbangan berasingan Malaysia Airlines semalam (23 Ogos).

Ahli sekretariat yang menganjurkan program dirancang berlepas pada sebelah pagi, manakala "VIP, ahli lembaga pengarah dan pengurusan" menaiki penerbangan lain pada sebelah malam.

Kedua-dua syarikat dijadualkan mengadakan mesyuarat lembaga mereka secara berasingan pada hari pertama.

Tiada apa dijadualkan pada hari kedua, iaitu hari Ahad, melainkan jamuan makan malam dihadiri Amirudin dan pegawai kanan kerajaan Selangor.

Keesokan harinya, peserta akan dibawa ke "lawatan tapak" sebagai sebahagian daripada "lawatan teknikal" sebelum dibawa bersiar ke Fremantle, sebuah tarikan pelancong di Australia Barat.

Antara eksekutif kanan dan ahli lembaga pengarah KHSB dan Central Spectrum ialah beberapa ahli politik PH.

Semakan di laman web kedua-dua syarikat itu menunjukkan sekurang-kurangnya 25 orang membentuk lembaga pengarah dan pasukan pengurusan, tidak termasuk Amirudin dan anggota sekretariat.

Mereka termasuk Adun PH Rajiv Rishyakaran (DAP) dan Azmizam Zaman Huri (PKR), setiausaha sulit Amirudin, Mohd Hidayat Mohd Sauffi, di samping ahli politik PKR Saipolyazan Mat Yusop, Kamarul Baharin Abbas dan Yahya Mat Sahri.

Minggu lalu, sebuah syarikat berkaitan kerajaan di bawah Pejabat Perdana Menteri membatalkan program "retreat" ke Bali untuk semua kakitangannya, dua minggu selepas MalaysiaNow mendedahkan butiran rancangan itu.

Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) turut mendakwa ia masih di peringkat cadangan dan menunggu kelulusan lembaga pengarahnya.

Bagaimanapun, e-mel dihantar kepada staf pada bulan Jun menunjukkan percutian itu sudah dimuktamadkan, di mana mereka diminta menyediakan pasport dan barang-barang mereka.

"Percutian ini adalah tanda penghargaan pihak pengurusan PHB kepada semua warga kerja di atas kerja keras dan dedikasi anda," menurut e-mel itu.

"Bawa pakaian yang selesa, pelindung matahari, dan semangat pengembaraan anda!"

PHB merupakan salah satu daripada lebih 40 entiti dibiayai awam yang diletakkan di bawah sayap PMO. 

Ia bertanggungjawab menguruskan lebih 20 aset bernilai kira-kira RM10 bilion.

Pada Jun, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dilaporkan berkunjung ke pejabat PHB di Shah Alam, menghabiskan masa tiga jam menyiasat beberapa aduan mengenai pengurusan kewangan. Tiada maklumat baru dilaporkan sejak itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri mempengerusikan lembaga pemegang amanah PHB.

Dalam bajet 2024, beliau mengumumkan PHB akan diletakkan di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), sebuah lagi entiti di bawah PMO.