- Iklan -
Berita

Siapa watak 'Kamala Harris' suntik semangat baharu untuk PN?

Walaupun penganalisis bersetuju gabungan itu tidak boleh mengambil mudah sokongan orang Melayu, wujud perbezaan pendapat sama ada Muhyiddin Yassin perlu berundur.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Perikatan Nasional masih mempunyai kelebihan dari segi sokongan Melayu, tetapi terdapat perdebatan mengenai keperluan gabungan itu menyuntik semangat baharu.
Perikatan Nasional masih mempunyai kelebihan dari segi sokongan Melayu, tetapi terdapat perdebatan mengenai keperluan gabungan itu menyuntik semangat baharu.

Adakah populariti Perikatan Nasional (PN) semakin merosot? Jika ya, patutkah gabungan itu mencari seorang pengganti yang boleh menyuntik nafas baru seperti mana Kamala Harris memberikan impak kepada Demokrat di Amerika Syarikat?

Keputusan Presiden Joe Biden menarik diri daripada pemilihan presiden kini dilihat keputusan terbaik diambil Demokrat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, memberi semangat baharu dalam perjuangan mereka menyekat Donald Trump kembali ke tampuk kuasa.

Pencalonan Naib Presiden Kamala Harris memberikan saingan hebat kepada Trump yang sebelum ini dilihat popular.

Perkembangan itu mungkin menimbulkan perbandingan di banyak negara, di mana kelesuan politik menular di kalangan rakyat disebabkan pemimpin sama mewarnai kedua-dua kerajaan dan pembangkang selama beberapa dekad.

Di Malaysia, kedua-dua seteru politik paling utama ketika ini - Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin - sudah menjangkau usia 77 tahun, di mana mereka akan berusia 80 tahun menjelang pilihan raya umum akan datang.

Di sebalik Anwar yang aktif menggunakan kuasa pentadbiran untuk menguatkan posisi politiknya, perdebatan mula kedengaran di kalangan penyokong PN mengenai masa depan gabungan itu sekiranya tiada usaha dilakukan untuk menampilkan muka baharu mencabar kerajaan sedia ada.

Pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri menjadi peringatan supaya PN tidak mengambil mudah sokongan padu yang pernah diterima - dan masih diterima - daripada majoriti orang Melayu.

Kempen PRK itu turut menyaksikan Muhyiddin mempertahankan dirinya daripada serangan mengenai ucapannya yang mengimbas kembali peristiwa di sebalik tabir yang membawa kepada pelantikan Anwar sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum lalu.

Penganalisis politik Liew Wui Chern berkata Muhyiddin dan PN rata-rata berdepan dilema sama seperti yang dihadapi Demokrat ketika Biden masih menjadi calon presiden.

Beliau berpendapat walaupun ada keperluan peralihan kuasa, ia bukan sesuatu yang perlu dilakukan segera.

Menurutnya, terdapat kekurangan alternatif yang lebih baik daripada Muhyiddin, walaupun terdapat beberapa calon yang berpotensi.

"Dalam Bersatu, tokoh seperti Azmin Ali dan Hamzah Zainudin dan dalam PAS, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar boleh menjadi pilihan yang ampuh," Liew dari Universiti Tunku Abdul Rahman, memberitahu MalaysiaNow.

Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin (tiga dan empat dari kiri) antara tokoh berpengaruh dalam Bersatu.
Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin (tiga dan empat dari kiri) antara tokoh berpengaruh dalam Bersatu.

Bersatu baru-baru ini menyaksikan beberapa pemimpin utamanya menyokong apa yang dipanggil sebagai pelan perdamaian untuk menyatupadukan parti itu.

Pelan itu mengesyorkan Muhyiddin kekal sebagai presiden, manakala timbalannya Ahmad Faizal Azumu akan memberi laluan kepada Hamzah, setiausaha agung parti yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Ia antara usaha merapatkan saf antara penyokong Hamzah dan Azmin, dua tokoh yang sebelum ini beralih daripada parti yang telah lama dikaitkan dengan mereka, dengan membawa bersama mereka penyokong setia yang penting kepada parti.

Bagaimanapun, pemerhati politik James Chin berpandangan ketiadaan Muhyiddin akan mencetuskan perebutan kuasa dalam Bersatu.

Menurutnya, Muhyiddin sepatutnya kekal dengan pendiriannya sebelum ini untuk berundur, sambil menambah bahawa "kini sudah terlambat kerana pilihan raya umum dijangka diadakan lebih awal".

Chin mengingatkan kembali matlamat asal penubuhan Bersatu untuk menggantikan Umno.

"Apa sahaja Bersatu lakukan perlu mengambil kira apa yang terjadi dalam Umno."

Penganalisis politik Rabi'ah Aminudin percaya sudah tiba masanya Muhyiddin memberi laluan kepada muka baharu.

Katanya ia tidak akan menjejaskan imej Muhyiddin kerana beliau sudah pun diiktiraf sumbangannya kepada Bersatu, membina parti itu sehingga menjadi bahagian penting ekosistem politik Malaysia.

"Namun saya fikir parti itu boleh memberi ruang kepada pemimpin lain untuk mengemudi parti tersebut terutamanya apabila PAS selaku rakan dalam PN dilihat lebih dominan daripada segi pengaruh di peringkat akar umbi," Rabi’ah yang mengajar sains politik di Universiti Islam Antarabangsa, memberitahu MalaysiaNow.

Pada pilihan raya 2022, PAS memenangi kerusi terbanyak di Parlimen.

Bagaimanapun, parti Islam itu yang pernah menjadi sekutu hampir semua parti utama di negara ini, tidak pernah menyatakan hasrat mengetuai sebarang gabungan yang disertainya.

Rabi'ah berkata pengganti Muhyiddin mempunyai tugas besar.

"Pemimpin baru ini perlu menguatkan akar umbi Bersatu dan hala tuju kerana naratif baru perlu dibawa, tidak cukup hanya bergantung kepada sentimen Melayu."

Muhyiddin_PN_Mnow_110823Muhyiddin dilantik perdana menteri bagi mengisi kekosongan ditinggalkan selepas peletakan jawatan mengejut Dr Mahathir Mohamad pada 2020, ketika pandemik Covid-19 masih di peringkat awal.

Pada Ogos 2021, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan sekumpulan ahli Parlimen menarik balik sokongan kepada Muhyiddin, menyebabkan beliau tiada pilihan tetapi berundur selepas 17 bulan menerajui Malaysia dalam mengharungi krisis Covid-19.

Pemerhati politik Melayu Ahmad Atory Hussain berkata kegagalan Bersatu di Nenggiri memberikan isyarat ketara tentang keperluan perubahan kepimpinan dalam PN.

Atory memberi amaran kerajaan Anwar akan terus berkuasa, senario yang tidak ingin dilihat gabungan PN yang terpaksa bergelut dengan pelbagai tekanan undang-undang oleh kerajaan dalam usaha mengekang kemaraannya.

"Jika tiada perubahan daripada Muhyiddin kepada pemimpin-pemimpin muda, maka nampaknya Anwar jugalah yang akan mentadbir Malaysia selepas pilihan raya umum nanti, walaupun kepimpinan Anwar sangat tidak popular di kalangan rakyat," tambahnya.

Nur Ayuni Mohd Isa dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata PN perlu memberi laluan kepada seorang pemimpin PAS sebagai calon perdana menteri gabungan itu.

Katanya Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan pilihan tepat, disebabkan latar belakang profesionalnya sebagai jurutera aeroangkasa di samping pemimpin berusia 54 tahun mewakili generasi baru kepimpinan PAS.

"Samsuri mempunyai kelayakan dan pengalaman, serta latar belakang beliau daripada golongan teknokrat," kata Nur Ayuni dari Jabatan Kerajaan dan Pengajian Tamadun UPM.

Liew bagaimanapun berkata, sikap berhati-hati masyarakat bukan Islam terhadap PAS, ditambah dengan sentimen Islamofobia yang masih meluas, menyukarkan seorang perdana menteri dari PAS dicalonkan dalam masa terdekat.

"Pelbagai pemboleh ubah kekal, jadi untuk sekarang, Muhyiddin kekal piihan terbaik untuk perdana menteri memandangkan beliau tidak mempunyai pengganti seperti Biden yang mempunyai Kamala."