- Iklan -
Berita

Lupakah peristiwa "Karpal derhaka", soal kumpulan peguam bidas tuduhan hasutan terhadap Muhyiddin

Lawyers for Liberty berkata Malaysia bukan bersandarkan sistem raja feudal.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin menjadi tokoh pembangkang terkini dikenakan dakwaan di bawah Akta Hasutan.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin menjadi tokoh pembangkang terkini dikenakan dakwaan di bawah Akta Hasutan.

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berhubung ucapannya baru-baru ini yang mempersoalkan keputusan bekas Yang di-Pertuan Agong melantik Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dua tahun lalu.

LFL sekali lagi mengingatkan pihak yang menggesa tindakan terhadap Muhyiddin bahawa Malaysia mengikut sistem raja berperlembagaan, di mana tindak tanduk raja dalam menjalankan tugasnya boleh menjadi bahan perbincangan umum.

Ia menyifatkan pendakwaan Muhyiddin di bawah Akta Hasutan sebagai satu lagi contoh Pakatan Harapan (PH) memungkiri janjinya memansuhkan penggunaan akta yang satu masa dulu disifatkan zalim oleh gabungan itu. 

Ia turut mengingatkan PH bagaimana pemimpinnya sendiri pernah dihadapkan tuduhang di bawah Akta Hasutan kerana mengkritik keputusan Agong. 

"Lupakah mereka bagaimana mendiang Karpal Singh dicop sebagai 'derhaka' kerana mempersoalkan Sultan Perak pada 2008?" kata pengarah LFL Zaid Malek, merujuk kepada krisis politik Perak selepas pilihan raya umum ke-12 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat, gabungan bersama PKR, PAS dan DAP yang ditubuhkan sebelum PH. 

"Atau bagaimana ia dituduh tidak setia kepada Agong kerana mempersoalkan keputusan mengisytiharkan darurat pada 2021?" 

Muhyiddin hari ini mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang berkenaan ucapannya di Felda Perasu ketika kempen pilihan raya kecil Nenggiri baru-baru ini.

Dalam ucapannya, presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional itu mengimbas kembali apa yang berlaku di sebalik tabir selepas keputusan tergantung pilihan raya umum ke-15 pada November 2022.

"Kalau ikut kiraan, kita jadi kerajaan, betul tak? Saya waktu itu sekali lagi diberikan sokongan, ada 115 ahli parlimen sokong saya.

"Kalau ikut kiraan perlembagaan, saya sudah ada jumlah yang lebih untuk menjadi perdana menteri. Ini bukan mengungkit, tapi ini rekod sejarah. Tapi entah macam mana, Yang di-Pertuan Agong waktu itu tak ajak jemput saya pergi istana angkat sumpah.

"Siapa Yang di-Pertuan Agong dulu? Pahang," kata Muhyiddin merujuk kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. "Kita tak nak cerita apa-apa buruk. Tapi yang itu, bagi saya agak luar biasa. Tapi tak apalah."

Zaid berkata tindakan mempersoalkan atau mengkritik pelaksanaan kuasa perlembagaan oleh Agong bukanlah berbentuk "hasutan" memandangkan peranan Agong adalah sebagai raja berpelembagaan, dan bukannya pemerintah feudal. 

"Oleh itu, penggunaan kuasanya boleh dibahaskan, dipersoalkan atau dikritik. Ini adalah asas sistem raja berperlembagaan kita."