- Iklan -
Berita

'Macam-macam disumbat' – Susahnya belajar Bahasa Melayu sekolah rendah

Silibus rumit menghalang usaha menarik minat kanak-kanak terhadap Bahasa Kebangsaan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pakar berkata pelbagai konsep yang cuba disampaikan dalam pembelajaran Bahasa Melayu peringkat sekolah rendah akan hanya menghilangkan minat pelajar terhadap Bahasa Kebangsaan.
Pakar berkata pelbagai konsep yang cuba disampaikan dalam pembelajaran Bahasa Melayu peringkat sekolah rendah akan hanya menghilangkan minat pelajar terhadap Bahasa Kebangsaan.

Subjek Bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM satu masa dulu dianggap antara yang paling rumit untuk lulus dengan cemerlang, disebabkan pelbagai cabang dan peraturan tatabahasa yang menguji pelajar sebelum keluar alam persekolahan.

Bagaimanapun, kini nampaknya kesusahan yang ditanggung pelajar Tingkatan 5, turut dialami kanak-kanak pada tahun pertama persekolahan, menyebabkan ramai ibu bapa yang melahirkan rasa bimbang mereka hilang minat belajar Bahasa Kebangsaan.

Beberapa ibu bapa dan guru yang menghubungi MalaysiaNow merungut bagaimana silabus Bahasa Melayu peringkat sekolah rendah tidak terlepas daripada topik terlalu tinggi dan tidak sesuai dengan kemampuan murid, susulan laporan sebelum ini yang mendedahkan silibus matematik dan sains yang hanya mematikan motivasi pelajar di usia muda.

Seorang pakar pendidikan Bahasa Melayu, Zamri Mahamod menyatakan rasa terkilan dengan topik pantun yang diselitkan dalam buku Tahun 1.

"Macam manalah murid nak buat pantun empat kerat? Mereka tak tahu pun struktur pantun seperti ritma atau jumlah perkataan dalam satu baris," kata Zamri, profesor di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

MNow-BukuTeks-BM-02"Bolehkah murid menyatakan maksud empat kerat?" soal beliau, merujuk antara jenis puisi dalam kesusasteraan Melayu. 

"Arasnya terlalu tinggi dan laras bahasa tidak sesuai untuk murid Tahun 1,' katanya kepada MalaysiaNow.

Pemeriksaan buku teks Bahasa Melayu sekolah rendah oleh MalaysiaNow mendapati konsep isi "tersirat" dan "tersurat" turut diselitkan untuk murid Tahun 1 hingga 3. 

Zamri mempersoalkan bagaimana murid di usia itu mampu mengamati maksud "tersirat".

Katanya, simpulan bahasa dan penjodoh bilangan yang tidak sepatutnya diajar kepada pelajar Tahun 1.

Begitu juga, adalah terlalu awal untuk mengajar "ayat pasif" kepada murid Tahun 2.

Selain itu, murid Tahun 1 juga diajar menyunting teks.

Isu sama turut melanda buku teks untuk Sekolah Jenis Kebangsaan.

"Kalau murid bukan Melayu ini tidak minat Bahasa Melayu, walaupun silibusnya lebih rendah daripada sekolah kebangsaan, mereka tidak boleh ikut," katanya.

Konteks

Satu lagi masalah ialah penggunaan konteks yang tidak sesuai dengan pengalaman murid.

Zamri memberi contoh situasi di sebuah lapangan terbang yang dimuatkan dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 1.

Beberapa isu turut dikesan dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 6.

Contohnya, ditunjukkan kempen rumah selamat di Pulau Langkawi, yang mana murid menghadapi masalah memahami apa yang ingin disampaikan pada halaman tersebut, menyebabkan mereka sukar menjawab soalan berkaitan maknanya.

"Murid lihat gambar, kemudian macam mana hendak berikan makna tersirat dan tersurat mengenai apa yang ada di sebalik gambar itu?

"Begitu juga dengan topik mengenai perkelahan (halaman 89). Tak semua murid pernah mengalami perkelahan.

"Akhirnya gurulah yang perlu menjadi kreatif untuk membawa mesej perpaduan yang cuba disampaikan pada muka surat itu," katanya.

Pada tahun 2013, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diperkenalkan dalam sistem pendidikan, manakala Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) disemak semula pada 2017.

KSSR bertujuan menekankan pembelajaran KBAT dengan silibus lebih padat dan menyeluruh.

Bagaimanapun, pengkritik berkata ia matlamat tersebut gagal.

Bahkan, penulis akademik, Asmah Alias, berkata ia mengakibatkan pelajar tertekan sehingga berlaku keciciran dalam  pelajaran.

Bekas guru itu memberi contoh aktiviti dan topik Tahun 3, yang mana murid mempelajari tentang syair, simpulan bahasa dan dialog, di samping pembinaan ayat menggunakan simpulan bahasa dan kata perintah, selain mempelajari ayat yang diimlakkan.

Buku teks Bahasa Melayu Tahun 3 pula memuatkan topik berkaitan ekonomi dan pertanian.

"Pelajar di peringkat sekolah rendah harus diberi kefahaman asas yang kukuh. Penguasaan 3M adalah perkara paling utama dan topik berat hendaklah diperkenalkan secara berperingkat, bukanlah disumbat secara semberono tanpa menimbang keupayaan pelajar," kata Asmah.

Beliau berkata ia berlainan dengan sistem pendidikan di negara maju yang lebih mengutamakan kemahiran asas pelajar seterusnya membangunkan EQ dan IQ pelajar secara berperingkat.

Asmah, yang berpengalaman lebih satu dekad menulis buku akademik, berkata beliau berhenti menulis kerana tuntutan kandungan KBAT kerana bertentangan dengan kefahamannya. 

"Jika boleh menyampaikan ilmu dengan cara mudah, mengapa perlu menyusahkan?"