- Iklan -
Berita

Dinafikan status 'pelarian', rakyat Palestin berdepan trauma harian hidup sebagai pendatang haram

Laungan menyokong perjuangan Palestin tidak dicerminkan dalam kisah pelarian Palestin mengharungi kehidupan mencabar di Malaysia.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Nazeem, seorang rakyat Palestin yang tinggal di Malaysia sejak 2017, menyara hidup menjadi tukang masak di sebuah restoran tetapi terpaksa bergelut dengan cabaran disebabkan statusnya sebagai pelarian tidak diiktiraf kerajaan.
Nazeem, seorang rakyat Palestin yang tinggal di Malaysia sejak 2017, menyara hidup menjadi tukang masak di sebuah restoran tetapi terpaksa bergelut dengan cabaran disebabkan statusnya sebagai pelarian tidak diiktiraf kerajaan.

Rakyat Palestin yang tinggal di Malaysia masih dibelenggu pelbagai rintangan seperti pelarian lain walaupun kerajaan Malaysia terkenal dengan sokongan dan solidaritinya terhadap perjuangan Palestin.

MalaysiaNow mendapati ada di kalangan pelarian Palestin yang sentiasa hidup dalam ketakutan, dan mendakwa berdepan ugutan dan eksploitasi terutama dari pegawai penguatkuasa imigresen dan polis.

Ia adalah situasi yang berlawanan sekali di sebalik usaha terbaru kerajaan campuran Anwar Ibrahim menunjukkan sokongan kepada perjuangan Palestin dengan membawa masuk seramai 127 warga Palestin dari Gaza untuk diberikan rawatan di Malaysia.

Antara yang terkesan ialah Nazeem, yang bekerja di sebuah restoran di Cyberjaya, Selangor.

Nazeem (bukan nama sebenar), seorang penduduk Gaza, tiba di Malaysia pada usia 18 tahun pada 2017, selepas menamatkan persekolahan menengah tinggi.

Perjalanannya mengambil wang yang banyak kerana terpaksa melobi kerja daripada kumpulan-kumpulan tertentu.

Sehingga kini, Nazeem pernah bekerja sebagai buruh binaan dan pembantu kedai makan.

"Saya kenal berapa orang Arab yang boleh bantu carikan kerja. Saya berpura-pura konon ayah saya mengenali mereka. Setiap malam saya belanja mereka minum sehinggalah duit saya habis. 

"Saya beritahu yang saya dah tak ada duit dan tak boleh minta lagi dengan ayah saya. Jadi mereka carikan saya kerja," Nazeem memberitahu MalaysiaNow.

Nazeem merupakan antara ribuan pelarian di Malaysia yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), tetapi masih dinafikan hak kemanusiaan sebagai pelarian.

Menurut UNHCR Malaysia, setakat Jun 2024, seramai 630 orang daripada 190,370 orang pelarian berdaftar yang mencari perlindungan daripada perang dan keganasan di negara mereka adalah rakyat Palestin.

Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967, namun mendapati sukar menyekat kemasukan pelarian yang kerap dibenarkan atas dasar kemanusiaan.

Disebabkan statusnya sebagai pelarian tidak diiktiraf kerajaan, Nazeem sukar untuknya mendapatkan kerja dan tempat tinggal, dan terpaksa beberapa kali berpindah atau menumpang di rumah kenalan. 

Nazeem tidak menafikan rakyat Malaysia ikhlas membantu Palestin.

"Bayangkan diberitahu yang anda adalah gelandangan, penumpang. Saya tahu. Kami semua tahu. Kenapa cakap lagi?"

Bagaimanapun, apa yang dilaluinya setiap hari tidak mencerminkan sejak lapan tahun berada di sini mengecewakannya. 

Masalah paling utama dihadapinya ialah gangguan anggota polis setiap kali dia berjalan kaki pulang dari kerja. 

Nazeem dan rakan-rakannya sudah biasa didatangi anggota polis yang meronda kawasan kejiranannya di mana dia akan ditunjukkan isyarat berhenti sebelum diminta kad pengenalan diri. 

Setiap kali ia berlaku, dia dan rakan-rakannya memberitahu bahawa mereka sedang pulang dari tempat kerja yang terletak hanya seberang jalan.

"Apabila saya beritahu bahawa saya pelarian Gaza dan ada kad UNHCR, meraka akan terus beritahu sudah, jangan cakap pasal Gaza. Ini Malaysia. 

"Kamu datang sini untuk cari pelindungan. Kamu tak ada rumah. Kamu orang asing, mana boleh kerja," kata Nazeem, menyenaraikan ayat yang biasa didengarinya. 

Nazeem berkata pengalaman itu memberi kesan emosi dan mental. 

"Bayangkan diberitahu yang anda adalah gelandangan, penumpang. Saya tahu. Kami semua tahu. Kenapa cakap lagi?" 

"Jika hari ini keluarga saya mati di Palestin, esok saya akan bunuh diri," kata Nazeem yang sudah tidak tahan dengan trauma yang dialaminya.

"Kenapa saya nak hidup macam ini?"

Ketika ditemui MalaysiaNow di tempat kerjanya, seorang rakan Nazeem, juga seorang rakyat Palestin, mendakwa terpaksa membayar RM150 kepada seorang anggota polis dua hari sebelumnya. 

"Dia minta pasport, tapi saya tak ada pasport ketika itu. Dia kemudian buat semakan dengan imigresen dan bertanya kenapa tiada kemas kini. Kemudian dia menuduh itu salah saya. Akhirnya saya hulurkan wang dan saya dilepaskan," katanya.

MalaysiaNow sedang cuba mendapatkan reaksi pihak polis mengenai dakwaan itu.

Impian berkecai

Nazeem bukan satu-satunya penduduk Gaza yang berdepan masalah itu.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 20 orang rakan pelarian dari kampung halamannya dinafikan status pelarian UNHCR. 

Sebuah himpunan pro-Palestin anjuran kerajaan Malaysia pada 4 Ogos.
Sebuah himpunan pro-Palestin anjuran kerajaan Malaysia pada 4 Ogos.

Bagaimanapun, dia tiada pilihan selain bekerja keras untuk membolehkan wang dikirim kepada keluarga. 

Ibu dan adik beradik perempuannya tinggal di Tebing Barat, manakala ayah dan abangnya masih berada di Semenanjung Gaza. 

Nazeem berkata dia menggunakan khidmat "orang-orang Hamas" di Malaysia, sambil menambah pelarian Palestin di negara ini mengenali mereka. 

"Mereka hantar wang itu kepada keluarga anda dan ambil 50% daripada jumlah itu. Sebaik sahaja duit itu sampai kepada keluarga, mereka akan ambil pula RM50. 

"Tiada sesiapa yang boleh persoalkan, kenapa, bagaimana dan bila. Jika anda tak suka, tak perlulah hantar wang kepada keluarga." 

Kini, sudah 11 tahun Nazeem tidak berjumpa ayah dah abangnya.

Malah trauma yang dilaluinya menyebabkan dia tidak mahu lagi berjumpa ayahnya dalam keadaan sekarang, kerana mahu mengingati memori ketika ayahnya masih muda.

Nazeem masih menyimpan impian melanjutkan pelajarannya untuk memenuhi cita-citanya menjadi peguam atau saintis. 

Tetapi dia tiada pilihan selain menjalankan rutin kehidupannya setiap kali bangun tidur: mandi, salin baju, pergi ke pasar, masuk dapur restoran, masak.

"Tak ada sesiapa yang akan benar-benar membantu anda."

Menurutnya, adalah sukar untuknya menghantar wang kepada ibunya kerana pelbagai rintangan yang dihadapi setiap hari.

"Mak telefon minta duit. Saya jawab, 'Maaf mak, waktu di Malaysia berbeza, dan saya perlu ke Kuala Lumpur'. 

"Kemudian terserempak pula dengan polis dan terpaksa menyorok selama empat jam. Kemudian mak telefon lagi.

"Begitulah setiap hari. Tiada sesiapa yang tolong kami."