- Iklan -
Berita

Kehadiran firma Singapura di Subang cetus kebimbangan masa depan Malaysia Airlines selepas pakar tempatan jadi buruan

Malaysia Airlines sekali lagi dilanda masalah di sebalik kekurangan pekerja yang dikatakan menjadi buruan SIA Engineering Company.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Sebuah pesawat Malaysia Airlines berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang. Syarikat itu baru-baru ini terpaksa mengurangkan kekerapan penerbangan ke 13 destinasi.
Sebuah pesawat Malaysia Airlines berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang. Syarikat itu baru-baru ini terpaksa mengurangkan kekerapan penerbangan ke 13 destinasi.

Sektor penerbangan Malaysia dikatakan bergolak lagi biarpun kontroversi masih berlarutan berhubung penjualan saham syarikat pengurusan lapangan terbang milik kerajaan kepada sebuah firma milik pengurus dana mesra Israel.

Ia berlaku di sebalik cakap-cakap berlaku "penghijrahan" kakitangan MAB Engineering - syarikat yang menjalankan penyelenggaraan pesawat Malaysia Airlines - ke sebuah syarikat Singapura yang baru-baru ini dibenarkan beroperasi di Subang yang dikatakan menawarkan gaji lebih tinggi.

Difahamkan lebih 60 pekerja yang terlibat dalam penyeliaan, pembaikan dan baik pulih semua pesawat Malaysia Airlines telah bertindak meletak jawatan selepas menjadi "buruan" SIA Engineering Company (SIA EC), sebuah firma penyelenggaraan pesawat yang dimiliki Singapore Airlines.

Ia menyebabkan kelewatan dan pembatalan beberapa penerbangan Malaysia Airlines, Firefly dan Amal, di samping isu teknikal yang memaksa sekurang-kurangnya tiga penerbangan berpatah balik baru-baru ini.

Malaysia Airlines, yang mula menyaksikan pemulihan di sebalik peningkatan penumpang udara sedunia selepas tamatnya pandemik Covid-19, turut dipaksa mengurangkan kekerapan penerbangan ke 13 destinasi antarabangsa disebabkan "kekangan rantaian bekalan dan cabaran tenaga kerja".

Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan  kekurangan jurutera pesawat dan komponen mekanikal sebagai punca masalah operasi penerbangan Malaysia Airlines, di mana 63 jurutera meletak jawatan secara mengejut dari MAB Engineering.

Pengumuman Loke itu menerima kecaman bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong, yang menuduhnya gagal mencari penyelesaian.

Wee berkata masalah itu sudah jelas apabila dana kekayaan negara Khazanah Nasional meneruskan perjanjiannya membenarkan SIAEC menggunakan kemudahan hangar di Subang.

"Anak kamu sendiri Malaysia Airlines, anak syarikat Khazanah, apa implikasinya tindakan ini? Sedar atau tidak memberi kesan dan kesan sengit kepada Malaysia Airlines di tanah sendiri. Lebih-lebih lagi SIAEC beroperasi sejak awal tahun ini, lihatlah iklan (kerja kosong) bagaimana mereka menarik pekerja tempatan kita untuk bekerja dengan mereka," kata Wee.

SIAEC_jobs_linkedinLaman LinkedIn milik SIAEC memuatkan iklan jawatan kosong bagi jurutera kapal terbang, juruteknik, eksekutif teknologi maklumat dan petugas penyelengara, antara beberapa jawatan lain yang ditawarkan.

Kedua-dua MAB Engineering dan Malaysia Airlines dimiliki Khazanah, yang berpaut kepada syarikat penerbangan itu walaupun dua tragedi pada 2014 - kehilangan pesawat MH370 dan peristiwa MH17 ditembak jatuh - serta wabak Covid-19 yang menggegarkan industri penerbangan seluruh dunia.

Khazanah juga memiliki satu lagi komponen utama sektor penerbangan negara - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) - yang terpalit kontroversi berhubung penjualan satu pertiga kepentingannya kepada Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah syarikat milik BlackRock, pengurus dana AS yang berdepan tuduhan bersubahat dalam jenayah perang Israel.

Walaupun krisis terbaharu tidak ada kaitan dengan pembunuhan beramai-ramai di Palestin, ia menunjukkan garis halus yang memisahkan usaha memecahkan monopoli dalam memastikan perkhidmatan lebih baik dan melindungi kepentingan negara, terutamanya apabila ia berkait dengan kelangsungan sebuah syarikat penerbangan yang mempunyai nilai sentimental kepada rakyat.

Anthony Loke melancarkan sebuah kempen promosi AirAsia pada Disember 2022, sebulan selepas pelantikannya sebagai menteri pengangkutan.
Anthony Loke melancarkan sebuah kempen promosi AirAsia pada Disember 2022, sebulan selepas pelantikannya sebagai menteri pengangkutan.

Ahli politik pembangkang menyalahkan kerajaan kerana membenarkan operasi SIAEC, menyifatkannya sejenis "gula-gula" yang merugikan Malaysia.

"Kegilaan apakah ini? Kita bukan tolak pelaburan tapi bak pepatah Melayu: kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan! Adakah benar ada kospirasi nak menjahamkan Malaysia Airlines dari dalam?" soal Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Loke juga dikritik pengguna media sosial yang mempersoalkan mengapa hanya sekarang kerajaan mewajibkan syarikat penerbangan membuat bayaran balik penuh untuk kelewatan penerbangan susulan masalah dihadapi Malaysia Airlines, walaupun syarikat lain sudah lama tidak mengendahkan pelbagai aduan penumpang untuk memulangkan wang mereka akibat pembatalan penerbangan.

Manakala jurucakap portfolio pengangkutan PN, Khairil Nizam Khirudin, menuntut penjelasan daripada pengerusi Khazanah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sambil mendakwa langkah mengundang SIAEC menjejaskan struktur ekosistem penerbangan negara.

Penyokong kerajaan bagaimanapun berkata perjanjian dengan SIAEC diadakan pada April 2022 sewaktu kerajaan terdahulu, melalui sebuah memorandum persefahaman memajak dua hangar di Lapangan Terbang Subang kepada syarikat itu untuk tempoh 15 tahun.

'Perlu terima persaingan'

Pakar berbeza pandangan mengenai kehadiran SIAEC.

Germal Singh Khera, bekas pengarah pembangunan di Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, berkata kehadiran SIAEC harus dilihat sebagai satu bentuk pelaburan.

Menurutnya, tidak salah membenarkan syarikat itu menggunakan kemudahan di Subang, selagi ia mematuhi peraturan pemilikan tempatan 51% yang dikenakan terhadap entiti asing.

Beberapa pemain industri mengalu-alukan persaingan dalam sektor penyeliaan, pembaikan dan baik pulih kapal terbang.
Beberapa pemain industri mengalu-alukan persaingan dalam sektor penyeliaan, pembaikan dan baik pulih kapal terbang.

"Selagi mereka mematuhinya, tidak ada kesalahan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, Germal mengakui MAB akan terkesan apabila syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia kini mempunyai alternatif untuk penyelenggaraan kapal terbang mereka.

"MAB perlu bersaing dengan mereka. Pelanggan akan memilih berdasarkan tawaran siapa lebih baik dari segi penyelenggaraan brek, tahap penyelenggaraan, kualiti dan sebagainya.

"Kita tidak boleh hidup di zaman lampau, di mana segala-galanya bersifat monopoli," katanya sambil menambah bahawa persaingan seperti itu perlu dialu-alukan.

Pakar pengangkutan Rosli Azad Khan berkata masalah di MAB bukan perkara baharu dan adalah disebabkan gaji tidak menarik dan latihan kakitangan yang tidak memadai.

Katanya, ramai pekerja mahir tempatan telah berpindah ke syarikat penerbangan terkemuka seperti Qatar Airways dan Emirates.

"Penghijrahan bakat dalam sektor penerbangan adalah isu kritikal yang sedang berlaku dalam negara. Bukan sahaja dengan MAB tetapi dalam sektor-sektor lain," kata Rosli kepada MalaysiaNow.

"Inilah harga yang perlu dibayar rakyat Malaysia disebabkan kejahilan dan keangkuhan politik kita sendiri.

'Berita buruk' untuk pelan penjanaan semula Lapangan Terbang Subang

Asyraf Farique dari badan pemikir Iris Institute berkata kehadiran SIAEC bukan sahaja meletakkan Malaysia Airlines pada kedudukan yang tidak menguntungkan, tetapi turut membantutkan rancangan memajukan industri aeroangkasa tempatan.

Lapangan Terbang Subang menjadi nadi kepada pelan penjanaan industri aeroangkasa.
Lapangan Terbang Subang menjadi nadi kepada pelan penjanaan industri aeroangkasa.

Beliau merujuk Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor 2020-2030 yang antara matlamatnya melahirkan lebih ramai bakat tempatan dalam sektor itu.

"Tetapi apa yang berlaku ialah sebaliknya, bakat tempatan diambil oleh syarikat asing," kata Asyraf.

Menurutnya, Singapura pada masa ini bersaing dengan Malaysia untuk menjadi hab penerbangan serantau dan kerajaan perlu memilih pelabur dengan teliti agar tidak menjejaskan rancangan penjanaan semula Lapangan Terbang Subang.

"Singapura ingin terus mengekalkan dominasi serantau mereka terhadap kawalan pengurusan ruang udara di Asia Tenggara," katanya.

Asyraf berkata walaupun syarikat asing yang beroperasi pada masa ini masih dalam fasa pelaburan modal dan pengambilan pekerja, mereka boleh berkembang sehingga merugikan pemain tempatan.