- Iklan -
Berita

Mahkamah tolak permohonan syarikat pengimport telur mulakan prosiding hina mahkamah terhadap Azmin

Hakim menolak kedua-dua permohonan syarikat J&E Advance Tech Sdn Bhd dengan kos.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohamed Azmin Ali.
Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohamed Azmin Ali.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak dua permohonan sebuah syarikat pengimport telur untuk memulakan prosiding menghina mahkamah dalam kes samannya terhadap Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Hakim Leong Wai Hong menolak kedua-dua permohonan J&E Advance Tech Sdn Bhd dengan kos RM5,000 setiap satu. 

Peguam Azmin, Zarifah Zuhayra Zakaria berkata, mahkamah bersetuju bahawa draf kenyataan saksi yang dikemukakan dalam kandungan 39 oleh plaintif tidak melalui proses undang-undang untuk diterima sebagai bukti.

"Permohonan plaintif untuk memanggil semula Azmin sebagai saksi adalah bertujuan untuk menunjukkan semula draf penyata saksi di Kandungan 39 tersebut kepada beliau, tetapi ia tidak pernah diakui di mahkamah sebagai satu keterangan kerana ia tidak melalui proses yang ditetapkan oleh undang-undang berkenaan kebolehterimaan sesuatu penyata saksi," Zarifah dari Tetuan Zharif Nizamuddin memberitahu MalaysiaNow.

Permohonan kedua yang ditolak membabitkan kebenaran prosiding komital terhadap Azmin selaku defendan, yang mendakwa ada penipuan dalam keterangan Azmin.

"Bagi membuktikan apa yang dinyatakan dalam permohonan, plaintif perlu menunjukkan kandungan 39 (enclosure 39) itu bercanggah dengan pernyataan saksi yang telah diterima dan ditandakan di mahkamah. Tetapi oleh kerana kandungan 39 tidak boleh dikira sebagai bukti, tiada dokumen yang boleh digunakan merumuskan percanggahan dalam pernyataan Azmin," katanya.

Pada 14 April lalu, syarikat pengimport telur itu memfailkan saman terhadap Azmin, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri 
yang juga Adun Hulu Kelang, susulan ucapannya berhubung perolehan kontrak secara rundingan terus daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India.

Syarikat berkenaan merujuk kepada ucapan Azmin di sebuah ceramah PAS pada 11 Mac 2023.

Syarikat itu yang diberikan kebenaran khas mengimport telur turut menghantar surat tuntutan kepada Presiden MCA, Wee Ka Siong atas ucapannya di Dewan Rakyat mempertikaikan kontrak mengimport telur itu. 

Azmin sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa beliau mempersoalkan proses import telur dan bukannya syarikat berkenaan.

Beliau juga menyebut nama ahli perniagaan Deepak Jaikishan dalam ucapan itu kerana foto Deepak bersama seorang menteri dalam sebuah pesawat.

Menurut kenyataan saksi pemimpin Bersatu itu, ucapannya juga tidak menyebut nama J&E Advance Tech Sdn Bhd.

MalaysiaNow pada Mac tahun lalu memetik sebuah blog yang memuat naik beberapa keeping gambar memaparkan Deepak dalam penerbangan bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden MIC M Saravanan.

Sementara itu, Zarifah berkata proses pemfailan hujahan selepas bicara akan bersambung yang mana plaintif dan defendan akan memfailkan hujahan balas masing-masing sebelum 17 September. 

Pada 16 Oktober, mahkamah akan mendengar hujahan lisan. 

"Menurut Yang Arif, berkemungkinan besar mahkamah akan memberikan keputusan pada hari itu juga," kata Zarifah.