- Iklan -
Berita

Serangan ke atas pemandu pekak: PM digesa siasat 'kegagalan ketara' pihak berkuasa

Memorandum menggesa Anwar Ibrahim menubuhan suruhanjaya inkuiri menyiasat pihak berkuasa yang masih gagal memberi keadilan kepada Ong Ing Keong.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Ong Ing Keong dan peguam Zaid Malek (empat dan lima dari kiri) bersama aktivis OKU dan penyokong yang memegang sepanduk di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Ong Ing Keong dan peguam Zaid Malek (empat dan lima dari kiri) bersama aktivis OKU dan penyokong yang memegang sepanduk di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Hampir 200 organisasi dan individu mewakili pelbagai lapisan masyarakat seperti orang kurang upaya, aktivis hak asasi manusia, ahli akademik dan pemandu e-hailing hari ini menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk campur tangan bagi memastikan nasib seorang pemandu e-hailing yang kurang upaya dibela, lebih tiga bulan selepas diserang seorang pegawai pengiring diraja.

Dalam memorandum itu, mereka menuntut penjelasan daripada Anwar mengenai ketiadaan sebarang tindakan terhadap lelaki yang menyerang pemandu Grab pekak Ong Ing Keong pada 28 Mei lalu, ketika dia menunggu mengambil penumpang di sebuah hotel.

Mereka turut mempersoalkan ketiadaan apa-apa tindakan terhadap pegawai polis yang cuba memaksa Ong menarik balik laporannya, walaupun sebelum ini Ketua Polis Negara Razarudin Husain memberi jaminan tindakan akan diambil.

Pemandu Grab Ong Ing Keong (kanan) bersama Anthony Chong, pengerusi Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia, di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Pemandu Grab Ong Ing Keong (kanan) bersama Anthony Chong, pengerusi Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia, di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

"Kegagalan mendakwa individu-individu yang terlibat di dalam kes ini telah menjatuhkan keyakinan terhadap sistem keadilan negara kita," menurut memorandum ditandatangani oleh 36 pertubuhan dan 150 individu mewakili pelbagai latar belakang.

"Hal ini menimbulkan persoalan sama ada undang-undang di Malaysia dilaksanakan secara adil dan selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang."

Anwar kini berada di Rusia untuk lawatan rasmi.

Peguam Ong, Zaid Malek enggan menyerahkan memorandum itu kepada pegawai rendah, dan meminta agar salah seorang timbalan perdana menteri atau menteri di Jabatan Perdana Menteri menerimanya sendiri.

Katanya ia bagi memastikan kes itu dipandang serius oleh kerajaan.

"Malangnya itu tidak boleh diaturkan, walaupun saya nyatakan hasrat kami berjumpa orang berkuasa ialah sebab sudah beberapa kali Ong terpaksa buat perkara seperti ini untuk mendapatkan keadilan. Kami ingin buat langkah terakhir menutup buku, dan bawa perjalanan kes ini supaya mengikut lunas undang- undang," Zaid memberitahu media menemani Ong dan beberapa individu lain menyerahkan memorandum itu.

Memorandum itu akhirnya diterima setiausaha sulit kanan Anwar, Aznur Hafeez Kaswuri, yang berkata akan memastikan ia mendapat perhatian perdana menteri, kata Zaid.

Suruhanjaya inkuiri

Memorandum itu menggesa perdana menteri membentuk sebuah suruhanjaya inkuiri untuk menyiasat "kegagalan ketara" pihak berkuasa dalam mengendalikan kes Ong.

Ia turut menuntut penjelasan mengenai sikap berdiam diri Pejabat Peguam Negara, yang masih belum membawa apa-apa dakwaan jenayah.

Di samping itu, ia menggesa siasatan dilakukan terhadap seorang "wakil istana" yang menurut Ong cuba memaksanya menarik balik laporan yang dibuatnya di balai polis Brickfields selepas kejadian itu.

Pada 14 Ogos, kumpulan peguam Lawyers For Liberty (LFL) mendedahkan rakaman video dashcam insiden itu yang mencetuskan kemarahan awam.

Klip dua minit itu menunjukkan seorang lelaki menjerit kepada Ong yang sedang menunggu mengambil penumpang di luar Hotel St Regis di Kuala Lumpur.

Ong kemudian menurunkan cermin keretanya untuk bercakap dengan seorang dipercayai pegawai polis, sebelum lelaki itu tiba-tiba bertindak menumbuk mukanya.

Peguam N Surendran berkata, video tersebut sudah ada dalam simpanan polis sebaik sahaja hari kejadian pada 28 Mei lalu.

Susulan klip itu, Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia, atau Suhakam, menggesa polis memperincikan bentuk tindakan yang diambil terhadap pegawai yang menyerang Ong.

Ia sebagai respons terhadap dakwaan Razarudin bahawa polis sudah pun mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai berkenaan.

Bagaimanapun, Razarudin kemudiannya menjelaskan tindakan tatatertib itu berhubung kes yang tiada kaitan, iaitu mengenai kegagalan pegawai itu mengisytiharkan harta.

Razarudin turut dikritik peguam kerana mengatakan polis tidak boleh menjalankan penyiasatan dalaman terhadap pegawai itu kerana bimbang berlaku "double jeopardy", disebabkan dia dikenakan siasatan jenayah.

Zaid Malek.
Zaid Malek.

"Double jeopardy" ialah istilah yang merujuk situasi di mana seorang didakwa dua kali atas kesalahan sama.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Zaid berharap Ong akhirnya akan mendapat keadilan yang sewajarnya memandangkan isu itu kini diangkat untuk perhatian perdana menteri.

"Isu ini perlu dilihat bukan sahaja daripada lensa apa yang berlaku kepada Ong, tetapi juga untuk mengelakkan perkara sama berlaku, bukan sahaja kegagalan siasatan, tetapi juga bagaimana dia dilayan sewaktu dia cuba mendapatkan bantuan di balai polis."