- Iklan -
BeritaBaru Terbit

PN digesa tolak draf MoU 'pelik' peruntukan sama rata

Peruntukan sama rata merupakan hak rakyat, kata peguam.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Ketua Whip Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan menunjukkan draf MoU yang menurutnya mengandungi beberapa syarat 'pelik'.
Ketua Whip Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan menunjukkan draf MoU yang menurutnya mengandungi beberapa syarat 'pelik'.

Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan supaya menolak cadangan memorandum persefahaman (MoU) yang dikatakan mengenakan syarat kepada ahli Parlimen gabungan itu sebelum peruntukan sama rata diberikan kerajaan.

Peguam Rafique Rashid berkata "syarat pelik" yang dikatakan menjadi sebahagian daripada draf MoU dikemukakan untuk pertimbangan pimpinan PN baru-baru ini, hanya akan mengekang ahli Parlimen pembangkang daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Beliau memberikan contoh syarat mewajibkan ahli Parlimen PN mengisytiharkan harta, sesuatu yang lazimnya dituntut ke atas ahli politik kerajaan dan bukannya pihak pembangkang.

Di samping itu, draf MoU itu meletakkan syarat ahli Parlimen pembangkang tidak akan mencabar kedudukan perdana menteri sehingga tamat penggal, dan berjanji untuk tidak membangkitkan isu yang dikategorikan oleh kerajaan sebagai menyentuh aspek 3R - kaum, agama dan raja.

Rafique berkata syarat tersebut menghalang ahli Parlimen daripada tugas membela rakyat.

"Sekatan yang dikenakan contoh 3R, macam mana (pembangkang) nak cakap tentang rakyat contohnya kebajikan orang Melayu atau sekolah-sekolah agama Islam?" soalnya sambil mengingatkan bagaimana definisi 3R telah disalahtafsirkan sebelum ini.

PN berkata ia akan mengkaji terma draf MoU yang disediakan kerajaan bulan lepas.

Ketua whip gabungan itu, Takiyuddin Hassan, berkata keputusan akan dibuat sebelum persidangan Dewan Rakyat akan datang pada Oktober.

Rafique berkata PN perlu memberitahu kerajaan bahawa peruntukan sama rata menjadi hak ahli Parlimen dan kawasan yang mereka wakili.

Penganalisis veteran Ahmad Atory Hussain berkata syarat yang dicadangkan kerajaan adalah bertentangan dengan demokrasi berparlimen dan kebebasan bersuara.

"Walaupun benda itu pahit tetapi fakta, itu kena hormati. 3R dianggap syarat yang melampau," katanya kepada MalaysiaNow.

"Selain itu, tidak membenarkan jawatan PM dicabar sehingga PRU16 juga dianggap tak demokratik langsung, juga bertentangan dengan perlembagaan." 

Rafique berkata kedudukan perdana menteri diperincikan dalam Perkara 43(4) perlembagaan, yang menyatakan beliau perlu meletak jawatan atau membubarkan Parlimen sekiranya hilang sokongan majoriti ahli Parlimen.

Pemimpin kerajaan mempertahankan langkah mengadakan MoU itu dengan menyebut perjanjian yang ditandatangani pada 2021 antara perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan, yang ketika itu pembangkang.

Perjanjian "keyakinan dan penawaran" (CSA) yang ditanda tangani itu memastikan kelangsungan kerajaan dengan syarat beberapa gesaan pembangkang dipatuhi, termasuk meluluskan undang-undang melarang ahli Parlimen lompat parti.

Bagaimanapun, pengkritik berkata perjanjian di bawah pentadbiran Ismail itu adalah untuk mengelakkan kejatuhan kerajaan di tengah-tengah pandemik Covid-19, dan tidak sesuai dalam keadaan semasa di mana kerajaan mendakwa memiliki sokongan majoriti dua pertiga.

Rafique Rashid.
Rafique Rashid.

Rafique berkata peruntukan kepada ahli Parlimen perlu dibuat tanpa syarat kerana ia hak rakyat dan bukan ahli politik atau parti mereka.

“Peruntukan ini mestilah diberi kepada semua wakil rakyat tanpa sebarang syarat.

"Tiada mana-mana undang-undang pun yang mengatakan perlu buat (MoU) dengan bersyarat," tambahnya.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak bersetuju, dan berkata sistem Parlimen di Malaysia tidak memberi peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang secara automatik.

Katanya, kerajaan lazimnya menyalurkan terus perbelanjaan kepada agensi-agensi yang berperanan menjaga pembangunan dan kebajikan sesebuah kawasan. 

Beliau berkata Ismail mengambil pendekatan berbeza apabila menawarkan perjanjian CSA dengan pembangkang, sambil menambah ia perkara biasa dalam negara demokrasi di mana syarat dikenakan antara parti politik.

"Mereka (PN) tak boleh kata, berilah kepada kami peruntukan tanpa syarat. Itu tidak boleh berlaku dalam negara demokrasi bahkan di negara maju sekalipun," katanya.

Mazlan menolak dakwaan syarat yang dikenakan kerajaan adalah "pelik" dan mempertahankan syarat ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan harta.

Beliau turut mengalu-alukan larangan 3R, sambil menambah bahawa ia juga perlu diperluaskan kepada ahli Parlimen kerajaan.

"Adalah baik bagi PN membuat draf 'counter proposal' kepada kerajaan campuran."