- Iklan -
Berita

Raja Petra, pengulas politik paling lantang, meninggal dunia

Ulasan dan penulisan RPK membentuk wacana politik di Malaysia selepas kemunculan internet.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Raja Petra Kamarudin memberikan ulasan terakhirnya di YouTube, antara platform yang menjadi pilihan selepas laman webnya disekat oleh kerajaan Malaysia.
Raja Petra Kamarudin memberikan ulasan terakhirnya di YouTube, antara platform yang menjadi pilihan selepas laman webnya disekat oleh kerajaan Malaysia.

Raja Petra Kamarudin, pengkritik kerajaan yang keluar meninggalkan negara bagi mengelak tangkapan lebih sedekad lalu, meninggal dunia pada usia 74 tahun.

Beliau yang terkenal dengan panggilan RPK meninggalkan legasi penulisan dan ulasan politik yang mewarnai wacana politik negara selama lebih dua dekad.

Sehingga ke akhir hayatnya, beliau mengendalikan Malaysia Today, antara laman web yang disekat kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim disebabkan kritikan terhadap pentadbirannya.

RPK yang merupakan kerabat diraja Selangor ialah anak saudara kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pada 2010, beliau meninggalkan Malaysia selepas mendengar khabar angin akan ditangkap sekali lagi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sejak itu, RPK menetap di Manchester, di mana undang-undang British membenarkan orang sepertinya yang dilahirkan di UK sebelum merdeka untuk bermastautin di negara itu.

RPK pernah dipenjarakan dua kali di bawah ISA, kali pertama ketika era reformasi yang menyaksikan beliau memainkan peranan penting mendukung gerakan Anwar.

Meskipun pada awalnya menjadi penyokong tegar Anwar, RPK - seperti ramai individu lain yang pernah bersama pemimpin PKR itu - kemudian menjadi antara pengkritiknya yang paling lantang.

Sejak laman web dan akaun Facebook beliau disekat kerajaan Anwar, RPK giat memuat naik video di pelbagai platform, mengulas pelbagai isu semasa Malaysia.

Antara ulasan terakhir beliau ialah mengenai peringatan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini untuk menarik balik gelaran dan anugerah persekutuan daripada mereka yang terlibat dalam jenayah atau disabitkan kesalahan jenayah.

Dalam temu bual bersama MalaysiaNow tahun lepas, RPK menyelar Anwar kerana menyekat kebebasan bersuara.

Menurutnya, laman webnya pernah disekat di bawah beberapa pentadbiran, termasuk Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak dan Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, RPK berkata beliau tidak pernah disekat oleh pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, meskipun lantang mengkritik pemimpin veteran itu.

RPK berkata laman webnya juga tidak disekat semasa Muhyiddin Yassin mengambil alih kerajaan.

"Nampaknya kerajaan sekarang tidak menghormati kebebasan, terutama sekali kebebasan bersuara. 

“Dan orang yang paling bermusuh dengan kebebasan bersuara ialah Fahmi," katanya merujuk Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.