- Iklan -
BeritaBaru Terbit

'Pesta vape' undang kritikan di sebalik keraguan komitmen kerajaan jaga kesihatan awam

Seorang bapa melahirkan rasa kesal dengan pihak berkuasa yang membenarkan acara itu lengkap dengan jurujual berpakaian seksi dan hadiah vape percuma.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Jurujual berpakaian seksi dan pemberian vape percuma antara tarikan di Anty Expo, ekspo mempromosi vape yang diadakan di Pusat Konvensyen Pameran Antarabangsa Mines baru-baru ini. Gambar: Instagram Anty Expo
Jurujual berpakaian seksi dan pemberian vape percuma antara tarikan di Anty Expo, ekspo mempromosi vape yang diadakan di Pusat Konvensyen Pameran Antarabangsa Mines baru-baru ini. Gambar: Instagram Anty Expo

Seorang bapa melahirkan rasa terkejut dengan penganjuran sebuah "pameran perdagangan" untuk produk vape, lengkap dengan jurujual berpakaian seksi dan pemberian vape percuma, di sebalik kritikan terhadap komitmen kerajaan untuk melindungi kesihatan awam.

"Bagaimana acara sebegitu dibenarkan di Malaysia?" soal Loh Kim Seng yang menulis kepada MalaysiaNow.

Loh merujuk Ekspo Industri Tembakau Baharu Asia (Anty Expo) yang diadakan di Pusat Konvensyen Pameran Antarabangsa Mines dari 8 hingga 9 September.

"Setahu saya, syarikat rokok tidak dibenarkan mempromosikan produk mereka secara terbuka. Jadi mengapa syarikat vape dibenarkan mengadakan ekspo penuh meriah mempromosikan jenama yang bersaing seolah-olah ianya telefon pintar?"

Sebuah papan iklan untuk acara tersebut menyatakan ia terbuka kepada orang awam yang berumur 18 tahun ke atas.

Menurut laman web acara tersebut, ia bertujuan menghimpunkan "elit industri global untuk membincangkan hala tuju masa depan industri tembakau baharu".

"Kenyataan itu sarat dengan jargon, tetapi seseorang hanya perlu melawati media sosial rasmi acara itu untuk mendapati acara itu sebenarnya pameran perdagangan untuk industri vape.

"Berdasarkan catatan di akaun media sosial itu, ia seperti sebuah karnival, lengkap dengan penganjur berpakaian kurang sopan, hadiah cabutan bertuah dan pemberian vape percuma," kata Lim.

Sejak Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil alih pada 2022, industri tembakau dan vape mendapat manfaat daripada keputusan kerajaannya untuk tidak melaksanakan Generasi Penamat (GEG), undang-undang yang melarang penjualan rokok dan vape kepada mereka yang lahir pada tahun 2007 ke atas dalam usaha mencapai generasi bebas rokok menjelang 2040.

Keputusan kontroversi pada tahun lalu oleh menteri kesihatan ketika itu Dr Zaliha Mustafa, untuk mengeluarkan nikotin cecair daripada Senarai Racun, merumitkan usaha membasmi tabiat merokok di mana penjualan terbuka produk vape dibenarkan.

Pada Jun, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengumumkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, yang melarang penjualan dan pembelian produk tembakau, barangan merokok atau pengganti tembakau kepada golongan di bawah umur 18 tahun, akan berkuat kuasa tahun ini.

"Dengan matlamat sebegitu, mengapa kerajaan membenarkan ekspo produk vape diadakan secara terang-terangan? Mengapa pemberian percuma produk vape dibenarkan?" soal Lim.

Beliau menggesa tindakan tegas diambil terhadap penganjur.

"Tetapi sekiranya terdapat kelompongan undang-undang yang membenarkan acara itu diadakan, maka undang-undang dan peraturan berkaitan perlu diperketatkan."

MalaysiaNow telah menghubungi Dzulkefly untuk mendapatkan maklum balas.

Baru-baru ini, kumpulan kesihatan awam Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial melahirkan rasa terkejut dengan langkah Putrajaya memasukkan hasil cukai daripada produk vape yang dikutip sejak empat tahun lalu ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan, walaupun sebelum ini berjanji memperuntukkan separuh daripadanya untuk inisiatif berkaitan kesihatan.

Ia susulan pengumuman Anwar bahawa kerajaan mengutip RM141.1 juta hasil cukai vape, termasuk RM58.55 juta daripada produk cecair vape yang mengandungi nikotin bagi tempoh 2021 hingga 2024.

Beliau sebelum ini berkata separuh daripada hasil cukai vape akan diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan, dalam usaha meredakan kritikan terhadap kerajaan yang menunda undang-undang anti rokok yang ditentang syarikat tembakau.