- Iklan -
Berita

Pemuda saman PM serangan seks didakwa selepas nafi miliki dadah, pistol ditemui polis

Yusoff Rawther percaya dirinya menjadi mangsa individu yang menyimpan dendam terhadapnya.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Yusoff Rawther dibawa ke mahkamah selepas hampir seminggu dalam tahanan polis.
Yusoff Rawther dibawa ke mahkamah selepas hampir seminggu dalam tahanan polis.

Muhammed Yusoff Rawther, lelaki yang sedang menunggu perbicaraan kes saman serangan seksual terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dibawa ke mahkamah hari ini selepas kira-kira seminggu dalam tahanan polis.

Yusoff, 31, cucu kepada aktivis hak pengguna terkemuka Allahyarham SM Mohamed Idris, diiringi ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur oleh dua anggota polis bertopeng.

Yusoff sebelum ini menafikan dua pistol dan 305g ganja yang didakwa polis ditemui di dalam keretanya adalah miliknya.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, kesalahan yang tidak boleh diikat jamin, dan membawa hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan.

Menurut peguam Rafique Rashid, Yusoff percaya pistol dan ganja itu diletakkan di dalam keretanya oleh "pihak-pihak yang mempunyai dendam atau permusuhan" dengannya.

"Yusoff amat risau tentang keselamatan beliau apatah lagi kes-kes sivil beliau terkait dengan individu-individu berpengaruh masih berjalan. Kes-kes ini mempunyai sensitivitinya tersendiri.

"Keluarga Yusoff berdiri teguh menyokongnya dan berharap pihak PDRM profesional dalam melaksana tugas mereka," kata Rafique.

YusoffRawther_20240912_Mnow

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menetapkan perbicaraan penuh berhubung saman Yusoff terhadap Anwar berhubung dakwaan serangan seksual terhadapnya akan bermula pada 16 Jun tahun depan.

Pada 14 Julai 2021, Yusoff, yang merupakan bekas pembantu penyelidik Anwar di sebuah pejabat bungalow di Petaling Jaya pada 2018, memfailkan saman mendakwa beliau telah diserang presiden PKR itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum beliau memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson. 

Anwar mendakwa Yusoff berbohong berhubung serangan seksual yang berlaku kepadanya.

Yusoff juga telah memfailkan saman sivil terhadap bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menuntut gantirugi kecederaan yang dialami selepas didakwa diserang di pejabat Anwar di Petaling Jaya pada 2018.

Pada Oktber 2022, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, membayar ganti rugi RM200,000 kepada Yusoff susulan saman fitnah berkait kenyataannya mengenai saman terhadap Farhash.