- Iklan -
Berita

Aktivis Palestin dedah syarikat tempatan terlibat hantar bahan letupan ke Israel

Bahan letupan itu dimuatkan dalam 8 buah kontena, menurut BDS Malaysia.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Nazari Ismail (tengah, depan) bersama Tian Chua dan aktivis lain di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul selepas membuat laporan mengenai syarikat tempatan terlibat dalam penghantaran kargo ke Israel.
Nazari Ismail (tengah, depan) bersama Tian Chua dan aktivis lain di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul selepas membuat laporan mengenai syarikat tempatan terlibat dalam penghantaran kargo ke Israel.

Sekumpulan aktivis pro-Palestin hari ini mendedahkan sebuah syarikat tempatan telah menguruskan penghantaran lapan kontena bahan letupan ke Israel berdasarkan maklumat yang diterima dari luar negara.

Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia berkata kapal kargo MV Kathrin yang membawa bahan itu akan bertolak dari Vietnam ke Singapura sebelum tiba di Bar, Montenegro pada 27 September. 

"Bahan letupan ini akan digunakan oleh Israel untuk membunuh warga Palestin," kata Presiden BDS Malaysia, Nazari Ismail, selepas membuat laporan polis mengenai kargo bahan letupan ke Israel di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Nazari berkata pergerakan kapal itu sudah disekat oleh pihak berkuasa Namibia daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan mereka dalam perjalanan ke Bar kerana melanggar Konvensyen Genosid dan seruan dari Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Tambahnya, MV Kathrin turut dikendalikan sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

"Ini adalah sesuatu perkara yang amat mengejutkan. Macam mana ini boleh berlaku?" 

Nazari berkata perbuatan itu jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan berlawanan dengan solidariti yang ditunjukkan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin. 

Beliau memberi amaran sebarang bentuk penglibatan membekalkan senjata kepada Israel adalah sama dengan bersekongkol dalam genosid, jenayah kemanusiaan dan jenayah perang terhadap rakyat Palestin. 

Perkembangan itu berlaku ketika kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim masih enggan membatalkan perjanjian kontroversi membabitkan penjualan saham dalam syarikat milik kerajaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat milik BlackRock, pengurus dana yang dituduh bersubahat dengan jenayah perang Israel.

Sebelum ini, Anwar dibidas aktivis Palestin susulan kenyataannya bahawa Malaysia tidak dapat memutuskan hubungan dagang dengan syarikat yang mesra dengan Israel.

"Bagaimana dengan syarikat yang ada operasi di US, Jerman, China tapi ada kaitan dengan Israel? Tak ada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkan kerana akan menjejaskan ekonomi negara," kata Anwar.

Tidak lama selepas Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza, Anwar mengumumkan semua kapal milik negara Zionis itu dilarang menggunakan pelabuhan di negara ini sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Bagaimanapun, empat bulan selepas pengumuman itu, MalaysiaNow melaporkan sebuah kapal kargo milik syarikat Israel, ZIM Rotterdam, telah berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April sebelum berlepas sehari kemudian menuju ke Pelabuhan Shantou, China.

Susulan itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihak berkuasa Malaysia tidak boleh menghalang kapal itu berlabuh disebabkan ia telah bertukar milik kepada sebuah syarikat di Hong Kong dan dinamakan semula MV Rotterdam.