- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Bimbang alahan serius dan bicara saman Anwar, peguam rayu penjara jamin keselamatan Yusoff

Pemuda berusia 31 tahun itu kini direman di Penjara Sungai Buloh, seminggu selepas polis mendakwa dadah dan senjata api ditemui di dalam keretanya.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Yusoff Rawther ketika dibawa ke mahkamah pada 12 September 2024.
Yusoff Rawther ketika dibawa ke mahkamah pada 12 September 2024.

Peguam kepada Muhammed Yusoff Rawther - yang kini ditahan reman selepas menghadapi tuduhan mengedar dadah - telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa penjara untuk memastikan keselamatan anak guamnya, dengan memaklumkan tentang alahan makanan di samping perbicaraan saman sivil serangan seksual terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam surat kepada pengarah Penjara Sungai Buloh hari ini, Rafique Rashid meminta jaminan kesihatan dan keselamatan anak guamnya di penjara.

Beliau turut memohon budi bicara pihak berkuasa supaya dapat menempatkan Yusoff di klinik penjara bagi membolehkan pemantauan yang lebih teliti terhadap keadaan kesihatan dan keperluan pemakanan beliau dipenuhi.

"Anak guam kami tidak boleh mengambil makanan yang mengandungi laktosa, gluten, atau makanan laut (shellfish) kerana makanan yang serius," kata Rafique dalam surat yang dihantar oleh firma guamannya, sambil menambah Yusoff mempunyai alahan kepada makanan pedas, terutama yang mengandungi cili.

"Kegagalan untuk mematuhi diet ini boleh menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan Anakguam kami, yang boleh membahayakan nyawanya."

Rafique Rashid.
Rafique Rashid.

Rafique turut merujuk kepada saman sivil Yusoff terhadap Anwar, yang dijadualkan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jun tahun depan.

"Oleh yang demikian, adalah penting agar keselamatan anakguam kami dijamin sepanjang tempoh tahanan, agar beliau dapat hadir dan mengambil bahagian dalam perbicaraan tersebut tanpa sebarang masalah kesihatan atau keselamatan," tambahnya.

Yusoff, 31, ditahan pada 6 September lepas selepas polis mendakwa menemui dua pistol dan 305g ganja di dalam keretanya yang diletakkan di luar Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur, mengikut kertas pertuduhan.

Beliau didakwa semalam mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, kesalahan yang tidak boleh dijamin dan membawa kepada hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan.

Yusoff, yang kelihatan berjanggut tebal ketika diiringi ke mahkamah oleh dua pegawai polis bertopeng, kedengaran melemparkan kata-kata penghinaan terhadap Anwar.

Yusoff menafikan pistol dan dadah yang didakwa polis ditemui di dalam keretanya, dan berkata ia diletakkan oleh pihak yang menyimpan dendam dan bermusuhan dengannya.

“Satu perkara yang menarik adalah, Yusoff Rawther telah berkata, 'I am innocent, this is due to someone in power' (saya tidak bersalah, ini disebabkan orang berkuasa)," Rafique memetik kata-kata Yusoff ketika bercakap kepada pemberita di luar Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.

Yusoff dan ahli keluarganya telah membuat dua laporan polis dan menamakan beberapa individu yang perlu disiasat. Bagaimanapun, polis masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai status laporan itu.

Pada 14 Julai 2021, Yusoff, yang merupakan bekas pembantu penyelidik Anwar di sebuah pejabat bungalow di Petaling Jaya pada 2018, memfailkan saman mendakwa beliau telah diserang presiden PKR itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang menyaksikan Anwar kembali ke Dewan Rakyat empat tahun selepas disabitkan kesalahan liwat.

Anwar mendakwa Yusoff berbohong berhubung serangan seksual yang berlaku kepadanya.

Yusoff juga telah memfailkan saman sivil terhadap bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menuntut gantirugi kecederaan yang dialami selepas didakwa diserang di pejabat Anwar di Petaling Jaya pada 2018.

Pada Oktober 2022, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, membayar ganti rugi RM200,000 kepada Yusoff susulan saman fitnah berkait kenyataannya mengenai saman terhadap Farhash.