- Iklan -
Berita

Lebih banyak persoalan selepas Khazanah benarkan firma asing di Subang walaupun 'ruang terhad'

Pemain industri menolak hujah persaingan, dan mendakwa syarikat tempatan diketepikan daripada memajak hangar.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Sebuah pesawat bersedia mendarat di Lapangan Terbang Subang.
Sebuah pesawat bersedia mendarat di Lapangan Terbang Subang.

Keputusan dana milik kerajaan Khazanah Nasional memajak dua hangar kepada SIA Engineering Company (SIAEC), yang kehadirannya mengakibatkan pekerja mahir meninggalkan sebuah firma kejuruteraan pesawat tempatan sehingga menimbulkan masalah kepada Malaysia Airlines, kini mengundang persoalan lain yang bukan hanya menyentuh syarikat penerbangan negara itu.

Keputusan tersebut mengejutkan ramai pemain industri yang mempersoalkan mengapa syarikat penyeliaan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tempatan tidak menjadi pilihan walaupun selama ini memohon untuk pajakan hangar di Lapangan Terbang Subang.

Menurut sumber penerbangan kepada MalaysiaNow, antara firma MRO yang terbabit ialah syarikat tempatan seperti Asia Aerotechnic Sdn Bhd dan Raya Airways, selain syarikat asing seperti Kawasaki Robotics dari Jepun dan Lufthansa Technik dari Jerman.

Mereka turut melahirkan rasa tidak puas hati pihak berkuasa terus membenarkan firma MRO asing beroperasi di Lapangan Terbang Subang yang berdepan kekurangan ruang.

"Syarikat-syarikat tempatan ada juga meminta tanah untuk membina hangar, tetapi tidak diberikan," seorang sumber penerbangan yang tidak mahu dikenali memberitahu MalaysiaNow.

Salah satu syarikat MRO asing yang beroperasi di Lapangan Terbang Subang ialah ExecuJet MRO Services, yang menjalankan kerja penyelenggaraan untuk pesawat Bombardier dan Gulfstream.

Awal bulan ini, MalaysiaNow melaporkan mengenai masalah yang menimpa Malaysia Airlines selepas syarikat MRO yang menjalankan kerja penyelenggaraan pesawatnya berdepan kekurangan tenaga kerja.

Lebih 60 pekerja termasuk juruteknik dan jurutera kapal terbang dilaporkan meletak jawatan selepas menjadi buruan SIAEC yang menawarkan gaji lebih tinggi.

Ia menyebabkan kelewatan dan pembatalan penerbangan Malaysia Airlines, di samping masalah teknikal yang mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga pesawat terpaksa patah balik pada bulan lepas.

Pengkritik menganggap keputusan Khazanah untuk memajak dua hangar di Subang kepada SIAEC suatu langkah yang hanya merugikan mereka sendiri, ketika syarikat penerbangan miliknya mula pulih daripada kesan pandemik Covid-19 dan tragedi melibatkan MH370 dan MH17 pada 2014.

Keputusan itu mencetuskan perdebatan tentang garis halus yang memisahkan usaha memecahkan monopoli dalam memastikan perkhidmatan lebih baik dan melindungi kepentingan negara, terutamanya apabila ia berkait dengan kelangsungan sebuah syarikat penerbangan yang mempunyai nilai sentimental kepada rakyat.

Sumber industri penerbangan berkata kehadiran syarikat MRO asing telah menyebabkan firma tempatan menjadi pilihan kedua bagi banyak syarikat penerbangan antarabangsa.

"Syarikat MRO yang lebih kecil semakin pupus," katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau mempersoalkan hujah yang mempertahankan kehadiran syarikat MRO global sebagai persaingan yang sihat.

"Kita sudah ada saingan secara sihat sebelum ini. Soalnya adakah persaingan sihat yang dibawa dengan kemasukan SIAEC ini. Jangka panjang mungkin ya, tetapi adakah syarikat-syarikat kecil tempatan boleh bertahan untuk jangka masa panjang?"

Katanya, sikap terbuka Malaysia membenarkan syarikat asing bersaing dengan pemain tempatan tidak dibalas kepada syarikat Malaysia di luar negara termasuk di Singapura.

"Sebaliknya, amat mudah untuk Malaysia membuka ruang kepada syarikat MRO asing bertapak."

Menurutnya, syarikat tempatan menawarkan perkhidmatan berdaya saing kepada pelanggan antarabangsa, dan Malaysia sebenarnya merupakan pilihan utama di rantau ini.

"Jika kita tanya pelanggan dari Syarikat Amerika dan Australia mengapa mereka memilih Malaysia, jawapannya adalah kerana kos yang berkesan, keadaan keselamatan yang baik untuk pesawat mereka diselenggara secara berkali-kali," katanya.

"Adakah perkhidmatan di Malaysia murah? Tidak juga, tetapi mereka meyakini kita."

Penganalisis Asyraf Farique berkata perlu ada pertimbangan sama ada sesuatu sektor itu kritikal sebelum membukanya kepada pemain asing.

"Jika ia bercanggah dengan keperluan nasional, akibat daripada 'pencurian-bakat' atas alasan gaji yang lebih tinggi, maka negara kerugian," kata Asyraf dari badan pemikir IRIS Institute.

Beliau mengingatkan ramai dalam sektor penerbangan menamatkan pengajian dengan bantuan biasiswa kerajaan seperti tajaan Mara kepada pelajar Institut Teknologi Penerbangan Malaysia di Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT).

Asyraf berkata Malaysia tidak seharusnya tunduk kepada "keuntungan segera", sebaliknya perlu menggunakan kepakaran tenaga kerja, kedudukan geografi dan  sempadan wilayahnya yang luas untuk memupuk ekosistem aeroangkasa yang lebih strategik.

Bagaimanapun, pengasas kolej penerbangan Malek Packeer berkata kehadiran SIAEC akan memberi manfaat kepada Malaysia kerana pelanggan antarabangsa syarikat itu akan datang ke Malaysia untuk penyelenggaraan pesawat mereka.

"SIAEC sebagai contoh, boleh bawa kapal terbang mereka sendiri ke Subang jika kapasiti tidak mencukupi di Singapura," katanya merujuk kepada Singapore Airlines.