- Iklan -
Berita

Terusan mega digali China merentas Kemboja dibimbangi beri kesan kepada Malaysia

Terusan Funan-Techo sepanjang 180km memberikan China laluan mudah ke Teluk Thailand, di mana Malaysia terlibat projek pembangunan bersama dengan jiran Asean lain.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Gambaran Terusan Funan-Techo apabila siap nanti, salah satu projek dibiayai China di bawah rancangan besar-besaran Inisiatif Jalur dan Jalan. Gambar: Kementerian Ekonomi dan Kewangan Kemboja.
Gambaran Terusan Funan-Techo apabila siap nanti, salah satu projek dibiayai China di bawah rancangan besar-besaran Inisiatif Jalur dan Jalan. Gambar: Kementerian Ekonomi dan Kewangan Kemboja.

Sebuah projek terusan sepanjang 180km di Kemboja dibimbangi akan membawa kepada peningkatan aktiviti ketenteraan China di rantau ini, di samping menjejaskan kepentingan ekonomi Malaysia yang sudah pun terkesan ekoran langkah Beijing mempamerkan kekuatan pertahanannya di sebalik perebutan sumber asli di Laut China Selatan.

Terusan Funan-Techo, projek menelan belanja AS$1.7 bilion yang dibiayai oleh China dan sebahagian daripada cita-cita Inisiatif Jalur dan Jalan untuk menghubungkan tanah besar dengan seluruh dunia, akan menghubungkan ibu negara Kemboja, Phnom Penh dengan pelabuhan laut dalam Sihanoukville di sebelah selatan negara itu.

Apabila siap, terusan selebar 100 meter dan sedalam 5.4 meter itu akan membolehkan kapal kargo seberat sehingga 3,000 tan melaluinya.

Seorang pengkaji tempatan memberi amaran terusan itu boleh meningkatkan keupayaan ketenteraan China di rantau ini, yang sudah pun menyaksikan ketegangan akibat persaingan AS-China, terutamanya di sekitar Pangkalan Tentera Laut Ream di Kemboja, di mana Beijing kini terlibat dengan projek infrastruktur besar-besaran sejak 2020.

"Kerancakan persaingan kuasa besar ini berisiko mendorong tentera laut China untuk mula membuat rondaan di Teluk Thailand atau melakukan aktiviti provokasi terutamanya berdekatan projek hidrokarbon dua hala Malaysia-Vietnam dan projek hidrokarbon pelbagai hala Vietnam-Thailand-Malaysia," kata Ibrahim Abdullah Zaik dari Institut IRIS, badan pemikir bebas yang telah melakukan penyelidikan mengenai kebangkitan China di rantau ini.

Projek tersebut telah dibandingkan dengan rancangan Thailand untuk menghubungkan Segenting Kra - bahagian paling sempit di Semenanjung Malaysia - dengan sebuah laluan darat.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Bangkok cuba memperbaharui rancangan itu, yang pertama kali dicadangkan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra pada 2005 sebelum beliau digulingkan dalam rampasan kuasa tentera.

Jambatan darat itu bertujuan memintas Selat Melaka, sekaligus menjadikan Thailand pusat rantaian bekalan di Asia Tenggara. 

Bagaimanapun, setakat ini beberapa kuasa utama rantau ini termasuk AS, China dan Jepun tidak menunjukkan minat mereka terhadap rancangan itu.

Ibrahim berkata, tidak seperti laluan darat merentasi Segenting Kra, impak yang bakal diterima Malaysia akibat pembinaan Terusan Funan-Techo bukan secara langsung.

"Namun, perebutan China ke atas sumber alam di Teluk Thailand akan menggugat projek minyak dan gas negara di teluk itu,” katanya merujuk kepada perairan di barat daya Laut China Selatan.

Funan-Techo_Map_Eng_MnowMalaysia dan Thailand menjalankan pembangunan bersama seluas 7,250 km persegi di Teluk Thailand, di mana hasil sumber asli dikongsi sama rata.

Malaysia juga terlibat dalam kerjasama penerokaan gas dan minyak dengan Vietnam di bahagian tenggara Teluk Thailand.

Bagaimanapun, dengan terbinanya terusan baharu itu akan membolehkan China mengembangkan sayap ketenteraannya bukan sahaja di wilayah yang menjadi perebutan, tetapi juga di negara yang mejadi sekutu rapat dengan China seperti Kemboja, di samping peluang memulakan pangkalan luar di Asia, kata Ibrahim.

Di samping itu, projek tersebut juga dikhuatiri menambahkan ketegangan antara Washington dan Beijing seiring dengan peningkatan kehadiran tentera laut China di Teluk Thailand, yang tidak jauh dari persisiran Kelantan.

Pada 2019, Kemboja memutuskan untuk menolak tawaran AS untuk kekal di Pangkalan Tentera Laut Ream, langkah yang membuka jalan bagi kehadiran China.

"Sejak itu, Kemboja merobohkan beberapa fasiliti yang dibina oleh AS di pangkalan tersebut, sebagai tanda komitmen mereka kepada Beijing," kata Ibrahim.

Badan pemikir AS, Rand Corp, baru-baru ini berkata terusan itu akan memberi Beijing laluan langsung ke Teluk Thailand dari wilayah China melalui Sungai Mekong.

Sungai Mekong bermula di Dataran Tinggi Tibet dan berakhir di Laut China Selatan. Ia merentasi China dan lima negara Asia Tenggara - Myanmar, Laos, Thailand, Kemboja dan Vietnam.

Menurut penganalisis Rand, Derek Grossman, terusan itu akan memberi Beijing tiga kelebihan strategik: Mengurangkan pergantungan pada Selat Melaka, memberi tentera laut China laluan terus ke Teluk Thailand, dan mewujudkan pengaruh China di wilayah barat Vietnam.

Penganalisis geopolitik Collins Chong dari Universiti Malaya pula berpandangan, walaupun Terusan Funan-Techo meningkatkan kehadiran China di rantau Mekong dan di tanah besar Asia Tenggara, ancaman yang dibawanya akan lebih memberi kesan kepada Vietnam berbanding Malaysia.

"China sudah mempunyai pangkalan Ream dan Komando Teater Selatan yang sudah pun beribu pejabat di Guangdong, di samping pangkalan tentera laut Yulin di Hainan, yang menjadi pangkalan utama untuk Laut China Selatan," katanya.

Kemboja tidak termasuk dalam senarai tujuh negara - Malaysia, China, Brunei, Taiwan, Indonesia, Filipina dan Vietnam - yang terlibat dalam pertelingkahan tuntutan wilayah di Laut China Selatan.

China menghantar aset ketenteraannya di kawasan itu dalam usaha menguatkan tuntutan wilayahnya ke atas seluruh Laut China Selatan, berdasarkan apa yang dipanggil peta "9 garis putus-putus", yang kemudiannya "dikemas kini" kepada "10 garis putus-putus" untuk menuntut kawasan tambahan berhampiran Taiwan.

Peta "9 garis putus-putus" diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tribunal Timbang Tara Tetap di The Hague pada 2016.

Awal bulan ini, China dalam nota bantahannya kepada kedutaan Malaysia di Beijing, menggesa Malaysia menghentikan semua aktiviti di sebuah kawasan kaya minyak di perairan Sarawak.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.