- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Peguam bidas kenyataan 'semberono' Anwar pertahan ketiadaan tindakan selepas 115 hari pemandu pekak ditumbuk

Ia bukan kes pembunuhan yang rumit, kata Lawyers for Liberty.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pemandu Grab Ong Ing Keong mengesat air mata ketika menceritakan bagaimana dia diserang seorang pegawai yang mengiringi rombongan diraja, dalam sidang akhbar oleh LFL pada 14 Ogos, 2024.
Pemandu Grab Ong Ing Keong mengesat air mata ketika menceritakan bagaimana dia diserang seorang pegawai yang mengiringi rombongan diraja, dalam sidang akhbar oleh LFL pada 14 Ogos, 2024.

Peguam hak asasi manusia mengecam kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang cuba mempertahankan kegagalan pihak berkuasa membawa pertuduhan terhadap individu yang menyerang seorang pemandu e-hailing kurang upaya empat bulan lalu, walaupun insiden itu dirakam dengan jelas oleh kamera dashcam.

Lawyers for Liberty (LFL) mempersoalkan kenyataan "semberono" Anwar yang mengatakan siasatan serangan ke atas pemandu Grab, Ong Ing Keong "mengambil masa" dan "masih belum ditutup", sambil mengingatkan perdana menteri bahawa kes tersebut tidak rumit dan mempunyai bukti yang jelas.

"Ini bukan kes pembunuhan yang rumit atau skandal kewangan besar yang memerlukan banyak masa. Anwar nampaknya tidak mempunyai jawapan, tetapi hanya mengelak," kata jurucakap LFL Zaid Malek, yang juga peguam mewakili Ong.

Zaid mengingatkan Anwar bahawa polis telah melengkapkan siasatan dan kertas siasatan sudah dihantar kepada Peguam Negara.

"Respons Anwar ini berlawanan dengan tadbir urus baik dan gagal memberikan penjelasan kepada orang ramai mengapa kes serangan yang begitu mudah tidak disusuli pendakwaan terhadap pegawai polis yang disyaki itu walaupun 115 hari telah berlalu. Suspek juga dikenal pasti polis dan serangan itu telah dirakam," katanya.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Anwar mempertahankan kelewatan membawa pertuduhan ke atas orang yang menyerang Ong.

"Kita sebuah negara yang mengamalkan hukum, segala tindakan mesti berlandaskan fakta, bukti yang jelas. Setelah selesai polis siasat, kes akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk putuskan mana-mana pihak didakwa atau tidak, dan ini semuanya mesti berdasarkan fakta," katanya.

Aktivis OKU dan pemandu Grab di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 5 Sept 2024, selepas menyerahkan memorandum menggesa Anwar Ibrahim memastikan keadilan untuk Ong Ing Keong.
Aktivis OKU dan pemandu Grab di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 5 Sept 2024, selepas menyerahkan memorandum menggesa Anwar Ibrahim memastikan keadilan untuk Ong Ing Keong.

Kenyataan tersebut dua minggu selepas kira-kira 200 organisasi dan aktivis mewakili orang kurang upaya, pertubuhan hak asasi, ahli akademik dan pemandu e-hailing menggesa perdana menteri  campur tangan bagi memastikan keadilan bagi Ong, yang diserang pada 28 Mei di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Rakaman dashcam kejadian itu menunjukkan Ong menunggu penumpangnya di luar Hotel St Regis apabila didatangi seorang lelaki yang memarahinya dan mengarahkannya mengalihkan kereta bagi memberi laluan kepada rombongan  pemangku sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atau TMJ.

Ong yang pekak kemudian menurunkan cermin keretanya untuk bercakap dengan seorang dipercayai pegawai polis, sebelum lelaki itu tiba-tiba bertindak menumbuk mukanya.

Ong menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur selepas mengalami lebam pada bibir menyebabkan kesukaran untuk makan.

Kemarahan awam meningkat selepas pendedahan bahawa seorang "wakil istana" telah cuba memujuk Ong menarik balik laporan polis yang dibuat di balai polis Brickfields.

Ong turut menolak dakwaan Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, bahawa dia menarik balik laporan polisnya kerana menganggap insiden itu "salah faham".

Ong sebaliknya mendedahkan seorang pegawai polis memberinya pilihan sama ada menerima sejumlah wang daripada wakil istana, atau telefonnya dirampas jika kes itu dibawa ke mahkamah.

Zaid Malek.
Zaid Malek.

Zaid berkata rakyat sewajarnya bimbang apabila pengiring polis yang menyerang Ong masih tidak dihadapkan ke mahkamah.

Beliau membuat perbandingan dengan pertuduhan dan sabitan yang dikenakan pada kadar yang "pantas" dalam kes melibatkan pengkritik kerajaan.

"Kenapa tidak begitu dalam kes Ong Ing Keong?" soalnya.

"Bagaimana PM terdetik meminta orang ramai mengelak daripada membuat spekulasi mengenai perkara itu, sedangkan tiada dakwaan dibuat walaupun wujud bukti jelas.

"PM gagal memahami betapa kegagalan membawa pertuduhan itu memberikan kesan besar kepada keyakinan orang awam terhadap sistem keadilan kita. Respons semberono beliau hanya menimbulkan lebih banyak persoalan," tambahnya.

Zaid berkata, sebagai ketua kerajaan, Anwar bertanggungjawab memastikan kedaulatan undang-undang.

"Keadilan tidak berfungsi secara tertutup, dan oleh itu orang ramai berhak memantau tindak tanduk pihak berkuasa dan kerajaan. Kebimbangan orang ramai terhadap kelewatan kes serangan Ong Ing Keong tidak boleh dianggap sebagai ketidaksabaran semata-mata; ia adalah luahan rasa tidak puas hati terhadap sistem keadilan dan sama ada undang-undang dipakai sama rata atau tidak, tanpa rasa takut atau pilih kasih," kata Zaid, sambil menambah bahawa siasatan juga mesti menumpukan dakwaan polis membiarkan wakil istana menekan Ong menarik balik laporannya.