- Iklan -
Berita

Suhakam selar sikap peguam negara 'berdiam diri' kes pemandu pekak ditumbuk

Suruhanjaya itu berkata kes Ong Ing Keong adalah contoh bagaimana hak asasi manusia diabaikan bagi golongan terpinggir.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyelar sikap Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dilihat masih berdiam diri dalam kes melibatkan seorang pemandu e-hailing kurang upaya, yang diserang empat bulan lalu oleh seorang pegawai pengiring rombongan diraja.

Ia sehari selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kecaman kerana cuma mempertahankan kegagalan pihak berkuasa membawa pertuduhan jenayah terhadap individu terbabit.

Suhakam berkata ia "amat kecewa dengan sikap berdiam diri" Peguam Negara dalam kes melibatkan Ong Ing Keong, yang diserang di luar sebuah hotel pada 28 Mei.

"Sekiranya peguam negara merangkap pendakwa raya mengambil pendirian untuk tidak mendakwa pegawai polis tersebut, beliau mesti mengumumkannya kepada orang ramai dengan menyatakan alasan jelas.

"Insiden itu didakwa berlaku pada Mei 2024, hampir empat bulan lalu. Tetapi, malangnya, sehingga hari ini, tiada pendakwaan dibawa terhadap pegawai polis tersebut," kata Suhakam dalam satu kenyataan.

"Peguam Negara tidak perlu diingatkan bahawa keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan kepada Ong, orang yang didakwa sebagai mangsa. Di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan – dan ini termasuk Ong," kata Suhakam, yang turut mengingatkan insiden itu merupakan kes yang mudah di bawah Kanun Keseksaan.

Semalam, Anwar tampil mempertahankan kelewatan mendakwa individu yang menyerang Ong, kenyataan yang dikecam kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL).

LFL menyelar sikap "semberono" Anwar yang berkata siasatan terhadap serangan ke atas Ong "mengambil masa" dan "masih belum ditutup", sambil menambah ia kes yang jelas dengan bukti yang jelas.

"Ini bukan kes pembunuhan yang rumit atau skandal kewangan besar yang memerlukan banyak masa. Anwar nampaknya tidak mempunyai jawapan, tetapi hanya mengelak," kata jurucakap Zaid Malek, yang juga peguam mewakili Ong.

Rakaman dashcam kejadian itu menunjukkan Ong menunggu penumpangnya di luar Hotel St Regis apabila didatangi seorang lelaki yang memarahinya dan mengarahkannya mengalihkan kereta bagi memberi laluan kepada rombongan  pemangku sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atau TMJ.

Ong yang pekak kemudian menurunkan cermin keretanya untuk bercakap dengan seorang dipercayai pegawai polis, sebelum lelaki itu tiba-tiba bertindak menumbuk mukanya.

Ong menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur selepas mengalami lebam pada bibir menyebabkan kesukaran untuk makan.

Kemarahan awam meningkat selepas pendedahan bahawa seorang "wakil istana" telah cuba memujuk Ong menarik balik laporan polis yang dibuat di balai polis Brickfields.

Ong turut menolak dakwaan Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, bahawa dia menarik balik laporan polisnya kerana menganggap insiden itu "salah faham".

Ong sebaliknya mendedahkan seorang pegawai polis memberinya pilihan sama ada menerima sejumlah wang daripada wakil istana, atau telefonnya dirampas jika kes itu dibawa ke mahkamah.

Suhakam berkata apa yang dialami Ong merupakan sebahagian daripada "pengabaian berterusan mengenai isu hak asasi melibatkan golongan yang terdedah".

Menurutnya, peguam negara memikul tanggungjawab perlembagaan dan moral untuk menangani isu itu tanpa berselindung.

"Berdiam diri bukan pilihan untuk peguam negara," kata suruhanjaya itu.