- Iklan -
Berita

'Adakah kerana mangsa bukan Islam atau kerana libatkan istana?' Pemimpin Amanah bidas orang politik 'bisu' kes pemandu pekak ditumbuk

Bekas timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin mahu partinya mengambil pendirian tegas termasuk menilai semula penyertaannya dalam kerajaan campuran.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Pengasas bersama Amanah, Hanipa Maidin berkata parti itu perlu mengadakan sidang khas untuk mempertimbangkan semula penyertaannya dalam kerajaan.
Pengasas bersama Amanah, Hanipa Maidin berkata parti itu perlu mengadakan sidang khas untuk mempertimbangkan semula penyertaannya dalam kerajaan.

Seorang pemimpin kanan Amanah membidas pihak berkuasa kerana gagal memastikan keadilan kepada seorang pemandu kurang upaya yang diserang anggota pengiring rombongan diraja empat bulan lalu, sambil menggesa parti yang diasaskannya bersama itu mempertimbangkan keluar kerajaan persekutuan sebagai tanda bantahan.

Hanipa Maidin, bekas ahli Parlimen Sepang yang pernah menjawat timbalan menteri undang-undang di bawah kerajaan Pakatan Harapan dipimpin Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, turut mempersoalkan sikap ahli Parlimen yang selama ini lantang bersuara di Parlimen dalam pelbagai isu tetapi kini membisu dalam mempertahankan nasib Ong Ing Keong, pemandu e-hailing pekak yang dipukul ketika menunggu penumpang di Hotel St Regis, Kuala Lumpur.

"Orang-orang yang lantang dalam Parlimen seperti RSN Rayer (Jelutong) tak bersuara," katanya dalam temu bual bersama MalaysiaNow, di mana beliau meluahkan kekecewaan bukan sahaja mengenai kegagalan melaksanakan reformasi tetapi juga sikap partinya yang tidak bersuara berkenaan pelbagai isu di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Hanipa, peguam terkemuka PAS sebelum menyertai Mohamad Sabu dan sekumpulan pemimpin lain untuk menubuhkan Amanah pada 2015, turut menyelar Perikatan Nasional (PN) kerana rata-rata berdiam diri daripada mempersoalkan kegagalan peguam negara membawa pertuduhan walaupun wujud bukti video yang jelas kejadian yang berlaku pada 28 Mei itu.

"Saya tak nampak orang PAS cakap, orang Bersatu cakap. Saya tak tahulah adakah kerana mangsa ini adalah seorang bukan Islam atau kerana ia melibatkan institusi diraja?" kata Hanipah.

Menurutnya, perkara itu menunjukkan kegagalan sistem keadilan.

"Kalau orang OKU kita tak boleh bela, maksudnya sebagai pemimpin, kita tak boleh menyuarakan hak mereka.

"Ahli Parlimen, sebagai orang-orang yang ada pengaruh, tiba-tiba tak boleh bercakap."

Beliau berkata kerajaan bertanggungjawab melindungi orang seperti Ong yang merupakan daripada golongan yang terdedah.

"Mana-mana kerajaan, Madani ke apa-apa, bagi saya, ia mesti boleh melindungi OKU. Sebab OKU ialah orang paling terdedah (vulnerable). Kalau kamu tak boleh melindungi mereka, melindungi kepentingan mereka dan memberi keadilan kepada mereka, ada sesuatu yang tak kena."

'Kelazatan kuasa'

Hanipa berkata Amanah perlu mengadakan sidang khas bagi membincangkan pendirian parti berhubung perkara itu, termasuk mempertimbangkan sama ada perlu keluar kerajaan sebagai tanda membantah cara isu itu diuruskan.

"Kuasa itu lazat. Kuasa mutlak sememangnya lazat (Power is delicious. Power is absolutely delicious)," katanya merujuk pepatah "power corrupts and absolute power corrupts absolutely" (kuasa membinasakan dan kuasa mutlak membinasakan sepenuhnya).

Pendirian tegas Hanipah beberapa hari selepas Anwar tampil mempertahankan kelewatan membawa pertuduhan terhadap lelaki yang telah pun dikenal pasti, di mana polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) seminggu selepas kejadian.

"Isunya kamu nak dakwa atau tidak dakwa, senang je. Kalau betul kamu tak mahu dakwa, letak jawatanlah. Gantikan dengan orang yang ada keberanian untuk dakwa."

Anwar berkata siasatan melibatkan serangan ke atas Ong "mengambil masa" dan "masih belum ditutup", kenyataan yang mengundang kecaman Lawyers for Liberty (LFL), kumpulan hak asasi yang antara paling lantang menuntut tindakan terhadap penyerang.

"Ini bukan kes pembunuhan yang rumit atau skandal kewangan besar yang memerlukan banyak masa. Anwar nampaknya tidak mempunyai jawapan, tetapi hanya mengelak," kata jurucakap LFL Zaid Malek.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) turut menyatakan kekecewaan terhadap "sikap berdiam diri" Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

"Insiden itu didakwa berlaku pada Mei 2024, hampir empat bulan lalu. Tetapi, malangnya, sehingga hari ini, tiada pendakwaan dibawa terhadap pegawai polis tersebut," kata Suhakam minggu lepas.

Pemandu Grab Ong Ing Keong mengesat air mata ketika menceritakan bagaimana dia diserang seorang pegawai yang mengiringi rombongan diraja, dalam sidang akhbar oleh LFL pada 14 Ogos, 2024.
Pemandu Grab Ong Ing Keong mengesat air mata ketika menceritakan bagaimana dia diserang seorang pegawai yang mengiringi rombongan diraja, dalam sidang akhbar oleh LFL pada 14 Ogos, 2024.

Sambil bersetuju dengan pendirian LFL, Hanipa berkata Anwar seharusnya boleh mengubah situasi tersebut.

"Kalau saya jadi perdana menteri, saya akan katakan kamu (wartawan) kena tanya peguam negara, jangan tanya saya."

Rakaman dashcam kejadian itu menunjukkan Ong menunggu penumpangnya di luar Hotel St Regis apabila didatangi seorang lelaki yang memarahinya dan mengarahkannya mengalihkan kereta bagi memberi laluan kepada rombongan  pemangku sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atau TMJ.

Ong yang pekak kemudian menurunkan cermin keretanya untuk bercakap dengan seorang dipercayai pegawai polis, sebelum lelaki itu tiba-tiba bertindak menumbuk mukanya.

Ong menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur selepas mengalami lebam pada bibir menyebabkan kesukaran untuk makan.

Kemarahan awam meningkat selepas pendedahan bahawa seorang "wakil istana" telah cuba memujuk Ong menarik balik laporan polis yang dibuat di balai polis Brickfields.

Ong turut menolak dakwaan Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, bahawa dia menarik balik laporan polisnya kerana menganggap insiden itu "salah faham".

Ong sebaliknya mendedahkan seorang pegawai polis memberinya pilihan sama ada menerima sejumlah wang daripada wakil istana, atau telefonnya dirampas jika kes itu dibawa ke mahkamah.

Peguam negara perlu letak jawatan

Hanipa berkata adalah menyedihkan apabila hanya kumpulan seperti LFL, selain ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Karim, yang secara terbuka membela nasib Ong.

Beliau melahirkan rasa terkilan atas kelewatan itu memandangkan Tunku Ismail sendiri telah menuntut keadilan untuk Ong dan tindakan diambil terhadap penyerangnya.

Hanipa menggesa Terrirudin meletak jawatan.

"Isunya kamu nak dakwa atau tidak dakwa, senang je. Kalau betul kamu tak mahu dakwa, letak jawatanlah. Gantikan dengan orang yang ada keberanian untuk dakwa."

Katanya, beliau boleh memahami sekiranya kelewatan disebabkan dokumen siasatan berulang-alik antara peguam negara dan polis.

Namun, kata Hanipah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

"Seksyen 323, bagi saya, kes yang amat mudah, bila dua kali (siasat) pun, bagi saya dah nampak pelik, kecuali polis acuh tak acuh. Kalau kamu siasat dengan betul, tak ada masalah.

"Tetapi menurut kenyataan ketua polis negara, dia sudah kembalikan semula penyiasatan yang kedua (kepada Jabatan Peguam Negara)."

"Maknanya, tak ada lagi respon daripada Jabatan Peguam Negara yang mengatakan ada lagi siasatan yang tidak tidak lengkap," kata Hanipah, sambil menambah tanggungjawab kini terletak di atas bahu peguam negara.