- Iklan -
BeritaBaru Terbit

'Mengejutkan': Kumpulan peguam kutuk tindakan polis tangkap penunjuk perasaan pro-Palestin di KL

Lawyers for Liberty mempersoalkan polis kerana menahan mereka yang lantang mengutuk pembunuhan beramai-ramai.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Kedutaan AS di Kuala Lumpur kerap menjadi tumpuan protes dianjurkan oleh kumpulan pro-Palestin.
Kedutaan AS di Kuala Lumpur kerap menjadi tumpuan protes dianjurkan oleh kumpulan pro-Palestin.

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) mengecam penahanan beberapa individu di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur hari ini selepas mengadakan tunjuk perasaan membantah sokongan Washington dalam pengeboman besar-besaran dilancarkan Israel di Lubnan dan Gaza.

"Di seluruh dunia, mereka yang di pihak benar mengutuk pembunuhan beramai-ramai di Palestin.

"Adalah mengejutkan apabila penunjuk perasaan di Malaysia pula ditahan secara tidak sah kerana menentang pembunuhan beramai-ramai," kata Pengarah LFL, Zaid Malek.

Beliau menolak alasan polis bahawa kumpulan itu menyertai "perhimpunan haram", sambil menambah istilah itu tidak wujud dalam Akta Perhimpunan Aman.

"Konsep 'perhimpunan haram' dalam undang-undang kita sudah dimansuhkan selepas pindaan kepada Akta Polis. Apakah polis dan kerajaan tidak menyedari perkara ini?" soal Zaid.

Polis hari ini menahan tujuh orang yang berkumpul selama kira-kira sejam berhampiran Kedutaan AS di Jalan Ampang untuk membantah sokongan Washington terhadap Israel susulan serangannya yang mengakibatkan ratusan orang awam terkorban di Lubnan.

Ia bukan kali pertama polis Malaysia mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan pro-Palestin, langkah yang dilihat bertentangan dengan dasar Malaysia selama berdekad menyokong perjuangan Palestin.

Pada Jun, polis menahan tiga aktivis yang menunjuk perasaan semasa acara sambutan Hari Kemerdekaan AS di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Sebelum itu, pada Februari, aktivis PSM Harmit Singh ditahan kerana cuba menyerahkan memorandum di Kedutaan AS.

Zaid berkata perhimpunan awam tidak boleh dianggap "haram" kerana ia dijamin oleh perlembagaan di bawah Perkara 10(1)(b).

"Ini bermakna tangkapan polis ke atas tujuh individu itu tidak mempunyai asas undang-undang dan bercanggah dengan perlembagaan. Kami menyeru polis membebaskan mereka serta merta tanpa syarat," katanya.

Zaid turut berkata Akta Perhimpunan Aman juga tidak memberi kuasa kepada polis untuk menangkap penunjuk perasaan dengan alasan "perhimpunan haram".