- Iklan -
Berita

'Mana anak kami?' Ibu bapa sangkal dakwaan tak tuntut kanak-kanak terlibat dalam serbuan Ops Global

Mereka sebaliknya berkata, pihak polis dan JKM enggan memberi kerjasama dan tidak memaklumkan keadaan anak-anak mereka.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Dua ibu ini mendakwa mereka masih tidak dibenarkan melawat anak-anak mereka yang dibawa keluar dari rumah jagaan GISBH semasa Ops Global.
Dua ibu ini mendakwa mereka masih tidak dibenarkan melawat anak-anak mereka yang dibawa keluar dari rumah jagaan GISBH semasa Ops Global.

Ibu bapa anak-anak yang diselamatkan pihak berkuasa dalam siri serbuan di pusat jagaan milik Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) menafikan dakwaan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain bahawa mereka tidak menuntut anak-anak mereka setelah hampir sebulan.

Mereka menzahirkan rasa kecewa kerana masih tidak dimaklumkan mengenai nasib anak-anak mereka sehingga hari ini. 

Salah seorang daripada mereka ialah ibu tunggal yang hanya mahu dikenali sebagai Nur.

Anaknya ditahan di Nilai, Negeri Sembilan, dan menurut Nur, dia hanya dihubungi pegawai penyiasat (IO) polis setelah tiga hari anaknya dibawa oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya diberitahu oleh IO bahawa anak saya ada di JKM Putrajaya. Tetapi apabila saya tiba, saya diberitahu pegawai di sana anak saya tiada. Saya kemudian pergi ke JKM Cyberjaya dan Klang, juga tiada di sana.

"Saya kemudian diberikan nombor telefon untuk dihubungi namun panggilan saya tidak dijawab," katanya kepada MalaysiaNow.

Menurutnya, dirinya ditendang seperti bola apabila pihak berkuasa seakan-akan berlepas tangan.

"IO kata kes sudah diserah pada pihak JKM, tetapi JKM pula kata kes masih dalam siasatan polis," tambahnya.

Serbuan polis di rumah-rumah jagaan GISBH dilakukan di bawah "Ops Global", di mana pihak berkuasa mendapati hampir 600 kanak-kanak berusia tujuh bulan hingga 17 tahun menjadi mangsa pengabaian, amang seksual dan perbuatan cabul seperti liwat.

GISBH merupakan konglomerat perniagaan yang lahir daripada sisa kumpulan Al-Arqam yang pernah diharamkan kerajaan pada 1994 susulan fatwa yang mengisytiharkan ajarannya terpesong daripada Islam.

Ia kini disiasat mengikut beberapa akta termasuk Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran dan Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Razarudin berkata terdapat ibu bapa yang tidak mengakui kanak-kanak yang diselamatkan adalah anak kandung mereka memandangkan GISBH mendakwa mereka terdiri daripada anak yatim. 

"Kebanyakan anak-anak ini adalah anak ahli yang tidak tahu bahawa anak mereka telah diselamatkan. Mungkin juga mereka tidak mahu tampil kepada kita untuk mengaku ini anak-anak mereka disebabkan GISBH mengaku bahawa anak-anak ini anak-anak yatim," kata Razarudin. 

Nur bagaimanapun bukan ahli GISBH.

Menurutnya, anaknya yang berusia 10 tahun ditempatkan di asrama dan sekolah dikendalikan kumpulan itu tanpa sebarang masalah.

Dia mempertikaikan istilah 'diselamatkan' yang digunakan dalam laporan media dankenyataan pihak berkuasa.

"Apa maksud proses selamatkan itu? Sampai sekarang satu 'update' pun tiada. Anak saya ditempatkan di mana pun saya tak tahu, walhal saya dah pergi jumpa polis dan JKM.

"Sekali pun tak beri kami jumpa, bagi saya hubungi anak saya. Saya tak tahu anak saya hidup atau tidak. Saya minta JKM berilah kerjasama," kata Nur.

Seorang bapa kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang ditahan di Bukit Beruntung, Selangor turut bimbang kerana masih tidak dapat menghubungi anaknya selepas tiga minggu.

Menurutnya, pada hari serbuan, dia merancang membawa anaknya pulang untuk sambutan hari keluarga, namun mendapati asrama tersebut telah kosong.

Bekas kakitangan GISBH itu berkata dia telah diminta hadir ke balai untuk memberi keterangan, selain diberitahu untuk menunggu panggilan dalam tempoh seminggu.

"Selepas itu barulah pegawai polis memberitahu saya yang saya perlu berhubung dengan JKM. Saya sudah beri semua maklumat yang diperlukan: surat nikah, surat beranak, MyKid dan sebagainya.

"JKM pula memaklumkan mereka sudah mendapat perintah mahkamah untuk menjaga anak kami selama dua bulan. Mengapa perlu tambah dua bulan?

"Apa guna kami datang beri maklumat untuk tuntut anak. Takkan itu tak dikira menuntut?" soalnya.

Menurutnya, isterinya yang sarat mengandung berdepan kemurungan kerana tidak tahu keadaan anak lelakinya itu.

"Isteri saya meracau dan menangis hampir tiap-tiap malam mengenangkan nasib anak," katanya.

MalaysiaNow sedang cuba mendapatkan respon pihak polis dan JKM berhubung dakwaan itu.

'Mereka datang minta baju anak-anak'

Seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, menceritakan hari terakhir dia melihat tiga orang anaknya, masing-masing berusia 2, 8 dan 11 tahun.

Seorang bapa yang anak lelakinya berusia tujuh tahun diambil pihak berkuasa dalam serbuan September 11 di sebuah pusat jagaan di Bukit Beruntung, Selangor, berkata dia masih tidak dapat berjumpa anaknya sejak itu.
Seorang bapa yang anak lelakinya berusia tujuh tahun diambil pihak berkuasa dalam serbuan September 11 di sebuah pusat jagaan di Bukit Beruntung, Selangor, berkata dia masih tidak dapat berjumpa anaknya sejak itu.

"Saya, isteri dan anak-anak dibawa ke Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak, Kuala Lumpur selepas serbuan polis pagi 11 September.

"Kami diberitahu anak-anak kami perlu menjalani saringan kesihatan, selepas itu JKM mengambil anak-anak kami.

"Setengah jam kemudian, pegawai datang dan meminta baju anak-anak tanpa mengambil data waris. Mereka tidak mengambil nombor telefon kami, nama kanak-kanak dan sebagainya," katanya.

Ahmad berkata dia sekeluarga ditahan di Klang, Selangor semasa Ops Global oleh pihak polis. 

Seperti Nur, Ahmad berkata selepas dimasukkan di lokap, dia seolah-olah "ditendang seperti bola" kerana tidak tahu di mana anak-anaknya.

"Saudara saya yang anaknya ditahan oleh JKM Johor dibenarkan untuk membuat panggilan video. Tetapi JKM Selangor dan Malaysia masih senyap dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan," katanya.

Ahmad menganggap dakwaan Razarudin bahawa ibu bapa tidak menuntut anak-anak sebagai tuduhan melampau.

"Kita dah buat kerja kita, hubungi IO dan tanya pihak polis apa yang perlu dibuat. Ada wakil kami yang sudah bertemu dengan pihak JKM, namun kami ditendang seperti bola," katanya.

Seorang wanita yang ditahan di Klang pula berkata dia dan ahli GISBHH yang ditahan dipaksa menandatangani sebuah dokumen tanpa diberitahu isi kandungannya.

"Hanya selepas kami tandatangan barulah pegawai polis beritahu kami itu surat penahanan. Dalam surat itu, bahagian sebab penahanan dibiarkan kosong," katanya. 

Dalam pada itu, Nur masih buntu mengenangkan nasib anaknya, dan berkata semakin hilang kepercayaannya kepada pihak berkuasa.

"Ada kawan-kawan yang datang tuntut anak, tapi mereka pula 'ke dalam'," katanya, sambil menjelaskan dia membayar ikan jamin RM3,000 untuk membebaskan adiknya yang ditahan polis.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.