- Iklan -
Berita

DNAA Zahid: Peguam negara ditanya status 'siasatan mendalam' yang dijanjikan

Ia selepas perdana menteri diasak oleh sebuah rangkaian berita AS baru-baru ini berhubung pelepasan pertuduhan kepada timbalannya.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang memainkan peranan penting dalam memastikan pemimpin PKR itu membentuk kerajaan selepas keputusan tergantung pilihan raya 2022.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang memainkan peranan penting dalam memastikan pemimpin PKR itu membentuk kerajaan selepas keputusan tergantung pilihan raya 2022.

Seorang peguam menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara tampil menjelaskan status "siasatan terperinci, mendalam dan menyeluruh" yang dijanjikan lebih setahun lalu dalam tindakan mereka menggugurkan sementara 47 pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Rafique Rashid berkata walaupun sudah lebih setahun berlalu Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam pertuduhan membabitkan Yayasan Akalbudi, pihak berkuasa termasuk peguam negara masih "senyap" dan "bisu".

"Peguam negara patut jawab sekarang. PM negara kita ditanya media antarabangsa dan PM gugup," katanya merujuk wawancara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan wartawan terkenal berpangkalan di Amerika Syarikat, Mehdi Hasan baru-baru ini.

Anwar yang diasak mengenai DNAA kepada Zahid mempertahankan keputusan itu sambil mendakwa beliau tidak langsung mencampuri urusan peguam negara.

Ketika diberitahu peguam negara di bawah lantikan beliau, Anwar menjawab: "Ya, tetapi ia keputusan bebas oleh peguam negara."

Rafique berkata hal itu memberikan imej yang buruk kepada Malaysia. 

"Di peringkat dunia, PM kata Malaysia lawan rasuah, tapi timbalannya sendiri dilepaskan kes walaupun selepas dipanggil bela diri."

Rafique mengingatkan 11 hujah yang disenaraikan Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar pada September tahun lalu.

Antaranya, dikatakan keterangan saksi perlu diteliti oleh pihak pendakwaan dan penyiasat, di samping SPRM yang mahukan siasatan lanjut yang lebih "terperinci, mendalam dan menyeluruh" dilakukan.

Senarai alasan itu turut menyentuh dakwaan Zahid bahawa beliau mangsa pendakwaan terpilih (selective prosecution) oleh pentadbiran sebelum ini, dan menggesa pendakwaan dan SPRM menyiasat tuduhan tersebut.

Zahid dihadapkan 47 pertuduhan: 12 pecah amanah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Antara pertuduhan CBT ialah beliau didakwa menjelaskan hutang kad kreditnya menggunakan Yayasan Akalbudi melalui 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016.

Bagaimanapun pada 4 September tahun lalu, Dusuki, yang baru sebulan dilantik menggantikan peguam pendakwa Raja Rozela Raja Toran yang secara tiba-tiba membuat keputusan "bersara awal", memaklumkan kepada mahkamah mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadap Zahid. 

Pada 27 Jun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Badan Peguam mencabar keputusan memberhentikan perbicaraan Zahid. Perkara itu kini dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan.