- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Peguam Daim selar polis gagal siasat Anwar berhubung pendedahan Bloomberg

Polis mengulangi taktik sama yang pernah digunakan Najib Razak dalam menghentikan siasatan 1MDB, kata peguam.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh bersama Naimah Khalid selepas membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya pada 30 Sept 2024.
Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh bersama Naimah Khalid selepas membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya pada 30 Sept 2024.

Peguam mewakili Daim Zainuddin membidas polis kerana gagal memulakan siasatan terhadap laporan polis difailkan bekas menteri kewangan itu berhubung dakwaan salah guna kuasa oleh Anwar Ibrahim, berdasarkan laporan Bloomberg yang mendakwa perdana menteri telah menghalang siasatan melibatkan orang kuatnya tetapi mengarahkan siasatan dilancarkan terhadap musuh politik.

Mereka berkata laporan polis sebelum ini jelas meminta polis menyiasat dakwaan bahawa Anwar telah menyalahgunakan kuasa berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Daim, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya.

“Kami kini boleh memaklumkan kepada orang ramai bahawa ini (siasatan terhadap Anwar) tidak berlaku,” menurut kenyataan peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh.

Mereka dimaklumkan polis semalam bahawa aduan Daim sedang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia - undang-undang yang sering digunakan terhadap pengkritik kerajaan - serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu melibatkan kenyataan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam.

“Jelas sekali, tiada siasatan dimulakan terhadap Anwar Ibrahim yang disyaki menyalah guna kuasa seperti yang didedahkan dalam artikel Bloomberg.

"Sebaliknya, penyiasatan ditujukan terhadap Bloomberg dan wartawannya yang mendedahkan salah guna kuasa di peringkat tertinggi di Malaysia," tambah mereka.

Pada 26 September, Bloomberg memetik tiga sumber yang berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pernah memberitahu pegawainya bahawa siasatan terhadap Daim dan Mahathir dilancarkan atas arahan Anwar.

Sumber itu mendakwa, Anwar turut memberitahu Azam supaya tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador berhubung pembelian kontroversi saham dalam sebuah syarikat yang dikaitkan dengan pembangunan sistem imigresen baharu bernilai RM1 bilion.

Pejabat Perdana Menteri dan SPRM telah menafikan dakwaan itu.

Pada 30 Sept, isteri Daim, Naimah Khalid, dalam laporan yang difailkan bagi pihak suaminya, menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan yang terkandung dalam artikel Bloomberg itu.

"Di bawah Perlembagaan Persekutuan kita, seorang perdana menteri tertakluk kepada undang-undang sama seperti orang lain," kata laporan polis itu.

"Penyalahgunaan kuasa sebegini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan peruntukan lain yang berkaitan. Daim bersedia sepenuhnya untuk memberi kenyataan kepada polis jika perlu."

Awal bulan ini, Rajesh mempersoalkan sama ada pihak polis betul-betul serius dalam menyiasat aduan itu selepas Naimah dipanggil untuk disoal siasat.

"Aduan itu kini disiasat seorang inspektor di Sentul. Tetapi aduan yang dibuat ini memerlukan PM disiasat. Bolehkah inspektor menyiasat PM? Tidak mungkin," katanya pada 1 Oktober.

Dalam kenyataan hari ini, peguam menyifatkan siasatan itu sebagai "palsu" dan menuntut penjelasan Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengenai kegagalan polis menyiasat perkara utama laporan polis itu.

"Kegagalan berbuat demikian akan menjadi cemuhan terhadap sistem keadilan jenayah dan kedaulatan undang-undang kita."

Mereka mengingatkan, taktik sama pernah digunakan bekas perdana menteri Najib Razak dalam usaha menutup skandal 1MDB.

"Ia sama dengan taktik yang digunakan Najib Razak apabila skandal 1MDB didedahkan oleh The Wall Street Journal," kata mereka merujuk kepada tindakan Najib itu menamatkan siasatan membabitkan beliau pada 2016.

Peguam turut mengingatkan polis mereka terikat oleh undang-undang untuk "menyiasat setiap laporan secara adil dan bebas".

"Mereka tidak boleh bertindak berat sebelah dan perlu berani walaupun orang yang disiasat ialah perdana menteri sendiri.

"Mengapa polis tidak membuka siasatan salah guna kuasa terhadap PM? Adakah PM kalis undang-undang?"