Seorang pemuda berusia 31 tahun yang menyaman Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas tuduhan serangan seksual sekali lagi tampil di mahkamah hari ini, kali ini atas pertuduhan memiliki senjata tiruan di bawah Akta Senjata Api.
Yusoff Rawther, yang sebelum ini menggesa polis menyiasat beberapa individu yang menurutnya memerangkapnya dengan meninggalkan dadah di dalam keretanya, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 36 Akta, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.
"Saya dianiyai oleh orang-orang berkuasa," jawabnya kepada hakim S Mageswary di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, polis menemui dua pistol tiruan "berhampiran kondominium Sanada Kiara" di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Yusoff, ditahan pada 6 September lepas selepas polis mendakwa menemui dua pistol dan 305g ganja di dalam keretanya yang diletakkan di luar Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur, mengikut kertas pertuduhan.
Beliau didakwa seminggu kemudian di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, kesalahan yang tidak boleh dijamin dan membawa kepada hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan.
Dia menafikan pistol dan dadah yang didakwa polis ditemui di dalam keretanya, dan berkata ia diletakkan oleh pihak yang menyimpan dendam dan bermusuhan dengannya.
Peguamnya Rafique Rashid sebelum ini berkata Yusoff memberitahunya bahawa dia tidak bersalah dan bahawa "ini disebabkan orang berkuasa".
Yusoff dan ahli keluarganya telah membuat dua laporan polis dan menamakan beberapa individu yang perlu disiasat. Bagaimanapun, polis masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai status laporan itu.
Pada 14 Julai 2021, Yusoff, yang merupakan bekas pembantu penyelidik Anwar di sebuah pejabat bungalow di Petaling Jaya pada 2018, memfailkan saman mendakwa beliau telah diserang presiden PKR itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang menyaksikan Anwar kembali ke Dewan Rakyat empat tahun selepas disabitkan kesalahan liwat.
Anwar mendakwa Yusoff berbohong berhubung serangan seksual yang berlaku kepadanya.
Yusoff juga telah memfailkan saman sivil terhadap bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menuntut gantirugi kecederaan yang dialami selepas didakwa diserang di pejabat Anwar di Petaling Jaya pada 2018.
Pada Oktober 2022, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, membayar ganti rugi RM200,000 kepada Yusoff susulan saman fitnah berkait kenyataannya mengenai saman terhadap Farhash.