- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Sempena setahun genosid Gaza, Anwar diingatkan jangan berlembut mengenai Palestin

Penunjuk perasaan yang memperingati ulang tahun pertama permulaan pengeboman Israel di Gaza dihalang berkumpul di luar bangunan kedutaan AS untuk menyerahkan memorandum.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Sekumpulan peserta himpunan mengibarkan bendera Palestin tidak jauh dari Kedutaan AS di Kuala Lumpur hari ini.
Sekumpulan peserta himpunan mengibarkan bendera Palestin tidak jauh dari Kedutaan AS di Kuala Lumpur hari ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa supaya lebih tegas menunjukkan bantahan terhadap sokongan Washington kepada Israel, ketika rakyat Malaysia hari ini berkumpul berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bagi memperingati ulang tahun pertama kempen pengeboman di Gaza yang setakat ini mengorbankan lebih 40,000 orang awam.

Seorang pemimpin mewakili pertubuhan Islam berkata adalah penting bagi Anwar menggunakan setiap peluang untuk menjelaskan kedudukan Malaysia, termasuk semalam ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS Anthony Blinken yang hadir pada Sidang Kemuncak Asean di Laos.

Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, menggesa Anwar supaya tidak berkompromi dengan Gaza walaupun Malaysia mahu meneruskan hubungan perdagangannya dengan AS.

"Kerana AS kini satu-satunya negara penyokong Israel yang besar. Jadi Malaysia kena bagi isyarat itu," katanya, sambil menambah Malaysia harus lebih lantang menentang kekejaman Israel selari dengan kedudukannya sebagai pengerusi Asean mulai tahun depan.

Mohd Azmi Abdul Hamid (tengah, bersongkok) bersama Hishamuddin Rais (kiri) dan aktivis lain menunjukkan memorandum mengutuk bantuan AS kepada Israel. Azmi berkata salinan memorandum itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mohd Azmi Abdul Hamid (tengah, bersongkok) bersama Hishamuddin Rais (kiri) dan aktivis lain menunjukkan memorandum mengutuk bantuan AS kepada Israel. Azmi berkata salinan memorandum itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Kenyataan itu mencerminkan rasa kurang senang semakin meningkat di kalangan kumpulan pro-Palestin tempatan di sebalik persepsi Putrajaya semakin lembut pendiriannya mengenai perang Israel ke atas Gaza, walaupun pada peringkat awal konflik menyaksikan Malaysia lantang mengutuk Washington dan kuasa Barat lain yang membantu rejim Zionis.

Isu paling utama ialah keengganan Anwar untuk membatalkan rancangannya untuk menjual 30% kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings (MAHB) - syarikat milik kerajaan yang menguruskan lapangan terbang di seluruh negara - kepada Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat milik BlackRock, gergasi pelaburan AS yang berdepan tuduhan bersubahat dalam jenayah perang Israel.

Anwar sebelum in berkata kerajaan tidak akan memutuskan hubungan dengan syarikat yang rapat dengan Israel walaupun mengambil dasar menyokong perjuangan Palestin.

"Bagaimana dengan syarikat yang ada operasi di US, Jerman, China tapi ada kaitan dengan Israel? Tak ada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkan kerana akan menjejaskan ekonomi negara," katanya pada Jun lalu, mengundang kecaman pelbagai pihak.

Orang ramai dihalang daripada menghampiri kompleks Kedutaan AS di Jalan Ampang, ketika perhimpunan memperingati satu tahun kempen pengeboman Israel yang mengorbankan lebih 40,000 orang awam Palestin.
Orang ramai dihalang daripada menghampiri kompleks Kedutaan AS di Jalan Ampang, ketika perhimpunan memperingati satu tahun kempen pengeboman Israel yang mengorbankan lebih 40,000 orang awam Palestin.

Tunjuk perasaan hari ini merupakan satu daripada tiga himpunan yang dirancang oleh kumpulan pro-Palestin selama tiga hari berturut-turut untuk memperingati permulaan serangan Israel dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di samping menyatakan solidariti dengan Iran dan Lubnan yang turut diheret ke dalam konflik tersebut.

Sementara itu, penunjuk perasaan gagal menyerahkan memorandum kepada kedutaan AS, yang antara lain mengutuk sokongan Washington terhadap jenayah Israel, selepas mereka tidak dibenarkan menghampiri pintu masuk kedutaan.

Pihak kedutaan juga tidak menghantar wakil untuk menerima memorandum tersebut.

"Kita nyatakan dalam memorandum AS mesti hentikan bekalan senjata, hentikan subahat, dan melaksanakan resolusi Palestin," kata Azmi pada perhimpunan hari ini, yang turut dihadiri parti politik, NGO Islam dan pertubuhan mahasiswa.

Menurutnya, salinan memorandum itu akan diserahkan kepada Anwar dan Kabinet.

Penunjuk perasaan membawa bendera dan sepanduk mengutuk Israel dan AS sambil diperhatikan puluhan anggota polis, kira-kira 100 meter dari Kedutaan AS di Kuala Lumpur.
Penunjuk perasaan membawa bendera dan sepanduk mengutuk Israel dan AS sambil diperhatikan puluhan anggota polis, kira-kira 100 meter dari Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Seperti perhimpunan anti-Israel sebelum ini, pihak polis melarang peserta berkumpul di hadapan kompleks Kedutaan AS, tindakan yang mengundang kecaman peguam Rafique Rashid.

"Kita anggap negara kita merdeka dan berdaulat. Kita anggap negara kita sebagai negara yang melawan Israel, tetapi lihatlah rakyat Malaysia dihalang daripada datang ke negara AS," kata Rafique, yang juga ketua penerangan parti Pejuang, dalam ucapannya kepada peserta himpunan.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia meneruskan boikot terhadap produk dan jenama yang dianggap pro-Israel.