- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Anwar serah kepada polis siasat Bloomberg di sebalik gesaan bersihkan nama dakwaan campur tangan SPRM

Perdana menteri mengelak soalan pembangkang sama ada akan mengambil tindakan undang-undang untuk membersihkan namanya.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim berkata beliau menyerahkan kepada polis menyiasat Bloomberg, bagaimanapun tidak menyebut sama ada tindakan undang-undang akan diambil bagi membersihkan namanya atas dakwaan campur tangan urusan SPRM.
Anwar Ibrahim berkata beliau menyerahkan kepada polis menyiasat Bloomberg, bagaimanapun tidak menyebut sama ada tindakan undang-undang akan diambil bagi membersihkan namanya atas dakwaan campur tangan urusan SPRM.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengelak daripada menjawab soalan sama ada akan mengambil tindakan undang-undang untuk membersihkan namanya berhubung laporan Bloomberg bulan lepas yang mendakwa beliau mencampuri urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mengarahkan siasatan terhadap lawan politik di samping menghalang siasatan terhadap bekas pembantunya.

Sebaliknya, Anwar berkata polis akan menjalankan siasatan terhadap wartawan agensi berita kewangan itu.

Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa polis telah mengambil keterangan daripada Bloomberg dan "individu-individu terkait" pada 1 dan 11 Oktober.

"Saya serahkan kepada polis untuk menyiasat dan peguam negara mengambil tindakan yang sesuai," katanya kepada Dewan Rakyat menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Fadhli bertanya sama ada kerajaan bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg berhubung laporan yang diterbitkan pada 26 September, yang disusuli dengan sebuah laporan polis oleh bekas menteri kewangan Daim Zainuddin menggesa Anwar disiasat atas dakwaan salah guna kuasa.

Soalan itu dibangkitkan di tengah-tengah gesaan yang semakin meningkat supaya Anwar memfailkan saman terhadap Bloomberg, di mana pelbagai pihak mengatakan penafian SPRM dan Pejabat Perdana Menteri tidak meyakinkan untuk menyangkal tuduhan dalam laporan tersebut.

Pada 26 September, Bloomberg memetik tiga sumber yang berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, pernah memberitahu pegawainya bahawa Anwar memberi arahan memulakan siasatan terhadap beberapa musuh politik, termasuk Daim, Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya.

Pada masa sama, laporan itu memetik sumber yang sama sebagai berkata Anwar turut memberitahu Azam supaya tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador berhubung pembelian kontroversi saham dalam sebuah syarikat yang dikaitkan dengan pembangunan sistem imigresen baharu bernilai RM1 bilion.

'Kes apa?'

Anwar hari ini mempersoalkan dakwaan terhadap Farhash dengan berkata syarikat yang dimaksudkan melibatkan Sultan Kelantan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador. Gambar: Facebook

"Isu dia apa? Syarikat apa? kes apa? Saya percaya YB Pasir Mas tahu bahawa yang dikaitkan itu satu syarikat yang melibatkan Tuanku Sultan, tidak melibatkan Farhash," kata Anwar dalam jawapannya.

Ia menerima bantahan Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan, yang memetik Peraturan Mesyuarat melarang penggunaan nama sultan dengan tujuan mempengaruhi Dewan.

Farhash, bekas pengerusi PKR Perak, dilantik pengerusi 7-Eleven Malaysia milik taikun Vincent Tan hanya lima minggu selepas Anwar mengambil alih kerajaan.

Mac lalu, beliau membeli 15.91% pegangan dalam HeiTech Padu melalui syarikatnya Rosetta Partners Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd, firma yang dimiliki bersama Sultan Kelantan, Muhammad V.

Sehari selepas pembelian itu, HeiTech Padu dilanjutkan kontrak menyelia Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bernilai lebih RM13 juta.

Pada 15 April, syarikat itu diberikan kontrak daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM190 juta, disusuli Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mencabar pengkritik melaporkan kepada SPRM.

Tiga hari kemudian, Farhash dilaporkan tidak lagi pemegang saham terbesar Heitech Padu susulan perubahan struktur Mfivesouthsea Sdn Bhd.

Bulan lalu, Heitech sekali lagi menjadi perhatian apabila diberikan satu lagi kontrak JPJ bernilai RM133.73 juta.

Anwar berkata kontrak kepada syarikat itu diluluskan oleh kerajaan yang lalu.

"Tapi saya tak mahu panjangkan kerana ini melibatkan isu-isu bagi saya remeh, melibatkan individu... kerana kebetulan 4-5 tahun dulu dia pernah menjadi staf saya, maka itu dibangkitkan."

Dalam mempertahankan Farhash, Anwar berkata syarikat terbabit kini dimiliki sultan, sambil menambah segala urusan melalui proses tender yang betul.

"Kalau ada pelanggaran, bawa. Kalau ada kes, itu disiasat oleh SPRM dan kalau ada kes, saya langsung tidak menutupnya. Tapi saya tanya, kes apa?

'Bersihkan nama'

Sementara itu, Fadhli berkata adalah penting untuk perdana menteri mengambil tindakan terhadap Bloomberg, sambil mengingatkannya mengenai sabitannya atas salah guna kuasa dua dekad lalu.

Menurut Fadhli, pihak berkuasa sebelum ini telah pun menyiasat wartawan Bloomberg berhubung laporan pada April lalu, yang mendakwa Anwar mengadakan perbincangan dengan taikun untuk membuka kasino kedua Malaysia.

"Ada siasatan tetapi tidak ada pengumuman dan tidak ada tindakan lanjut. Bahkan rakyat melihat, perdana menteri sendiri boleh hadir ke pentas (acara) yang diadakan agensi itu," katanya merujuk kepada penyertaan Anwar dalam sebuah forum anjuran Bloomberg di Qatar tidak lama selepas laporan pertama itu.

Fadhli berkata perdana menteri harus membersihkan namanya secara peribadi dan bukan bertindak mengheret wartawan dan pihak yang menggesa beliau menyaman Bloomberg.

"Saya mohon jawapan yang tegas dan tuntas daripada perdana menteri, tekanan secara peribadi daripada perdana menteri yang saya yakin rakyat akan bersama dengan perdana menteri," katanya.

Awal bulan ini, dua peguam Daim mempersoalkan polis kerana gagal bertindak atas laporan polis beliau terhadap Anwar.

Mereka berkata laporan polis itu jelas meminta polis menyiasat dakwaan bahawa Anwar telah menyalahgunakan kuasa berhubung siasatan SPRM terhadap musuh politiknya.

"Aduan itu kini disiasat seorang inspektor di Sentul. Tetapi aduan yang dibuat ini memerlukan PM disiasat. Bolehkah inspektor menyiasat PM? Tidak mungkin," kata peguam Rajesh Nagarajan pada 1 Oktober.

Difahamkan, polis menyiasat laporan polis Daim di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia - undang-undang yang sering digunakan terhadap pengkritik kerajaan - serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu melibatkan kenyataan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam.