Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengulangi desakan agar kerajaan tidak meneruskan jualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada sebuah firma milik BlackRock - syarikat yang terpalit jenayah perang Israel - sambil berkata Perikatan Nasional (PN) sudah menyediakan cadangan balas sebagai jalan keluar kontroversi itu yang telah mengundang kritikan mengenai pendirian Putrajaya terhadap perjuangan Palestin.
Wan Fayhsal turut menggesa Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) agar tidak menjual saham mereka kepada Khazanah Nasional dan BlackRock, dan mengatakan kedua-dua entiti itu akan membeli saham dengan nilai lebih rendah daripada harga pasaran.
Menurutnya, Khazanah atau BlackRock akan membeli saham PNB dan KWAP pada harga RM11 setiap unit sedangkan nilai sebenar saham MAHB dianggarkan sekurang-kurangnya RM16.
"Jika PNB dan KWAP menjual pada harga RM11, pemegang saham ASB dan penjawat awam (yang) ratanya Melayu Islam akan rugi hampir RM1 bilion," katanya, merujuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang dimiliki PNB.
"Dalam erti kata lain, orang Melayu memberi subsidi atau diskaun untuk Khazanah/Blackrock sebanyak RM1 bilion," kata ahli Parlimen Machang itu pada sidang media di Parlimen hari ini.
PNB dan amanah sahamnya ASB, Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Wawasan (ASW) mempunyai 81 juta unit saham dalam MAHB, mewakili kira-kira 5% pegangan.
Manakala KWAP yang menguruskan caruman pencen penjawat awam pula memiliki hampir 120 juta saham ataupun 7% pegangan saham.
Di bawah pelan diumumkan Putrajaya, Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock akan membeli 30% kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB bersama-sama Khazanah dan KWSP, dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ia mencetuskan bantahan disebabkan reputasi BlackRock yang memperkasakan ekonomi Israel dan pelaburannya yang meluas dalam industri senjata AS, di samping keperluan kerajaan membawa masuk entiti asing memiliki kepentingan MAHB yang mencatatkan keuntungan bersih lebih setengah bilion ringgit tahun lepas.
Pada Julai lalu, Wan Fayhsal yang merupakan antara pemimpin PN yang paling lantang membantah rancangan itu digantung enam bulan daripada menghadiri Dewan Rakyat.
Tindakan itu dibuat berdasarkan ucapan beliau di Dewan Rakyat pada 1 Julai, di mana Wan Fayhsal merujuk kiriman tular yang menamakan seorang pegawai KWSP sebagai dalang perjanjian menjual saham MAHB kepada GIP.
Wan Fayhsal hari ini berkata PN bersedia membentangkan "counter proposal" (cadangan balas) di Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara berhubung perkara itu.
"Kita sudah buat analisis teknikal tentang penjualan harga saham ini. Kita boleh bagi 'counter argument' kepada apa yang kerajaan Malaysia sedang buat, apa yang Khazanah sedang tawarkan, apa yang KWSP sedang izinkan dan apa yang perdana menteri biarkan.
"(Ini) sebenarnya merugikan orang-orang Melayu Islam dan rakyat Malaysia," katanya sambil menambah cadangan balas itu turut mengandungi analisis yang lebih baik untuk bantu meningkatkan pendapatan MAHB melalui lapangan-lapangan terbang dalam negara.
Jelas Wan Fayhsal lagi, tindakan menjual saham MAHB tidak perlu kerana entiti itu tidak mengalami kerugian bahkan kini memiliki pegangan tunai sebanyak hampir RM2 bilion.
Tahun lepas, MAHB mencatatkan keuntungan lebih setengah bilion iaitu RM534 juta dan dalam tempoh enam bulan tahun ini syarikat itu sudah menjana keuntungan hampir RM395 juta, peningkatan hampir 90% dari tempoh yang sama pada tahun lepas.
Selain itu, katanya, jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan MAHB juga meningkat 16%.
Wan Fayhsal menyeru pemegang-pemegang saham orang Melayu dalam PNB dan KWAP supaya tidak menjual saham mereka dengan harga yang murah kepada BlackRock untuk menguasai 39 lapangan terbang di Malaysia yang diletakkan di bawah MAHB.
"Jangan jual! Kita harus ingat jika Blackrock memiliki kawalan terhadap MAHB, syarikat penyokong tegar dan penyumbang dana kepada israel ini akan mempunyai kuasa terhadap kesemua 39 lapangan terbang di dalam negara sepanjang 45 tahun akan datang.
"MAHB juga ada pegangan tanah yang besar di KLIA.
"Usahlah kita berkomplot dengan Zionis. Jika kita masih bersama Blackrock, ini bermakna kita secara terang terangan bersama Israel membunuh kanak-kanak dan wanita yang tidak bardosa di Gaza," katanya lagi.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.