- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Jangan bantutkan pemikir Islam, kata Khairy persoal RUU mufti

Bekas ketua Pemuda Umno itu mengingatkan kerajaan tentang bahaya mengenepikan tradisi ilmu yang pelbagai dalam Islam.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.

Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyertai kritikan yang semakin meningkat terhadap langkah kerajaan membutirkan peranan dan kuasa mufti di Wilayah Persekutuan melalui sebuah akta baharu yang telah dipersoalkan tokoh agama dan kumpulan hak asasi manusia.

Sebelum ini, peguam dan aktivis hak asasi menyifatkan Rang Undang-undang Mufti Wilayah Persekutuan 2024 sebagai tidak berperlembagaan kerana memberikan kuasa meluas kepada seorang pegawai yang tidak dipilih untuk mengawasi kehidupan seharian umat Islam.

Tokoh agama pula bimbang mengenai apa yang disifatkan mereka takrifan sempit Islam mengikut garis mazhab.

RUU yang dibawa menteri hal ehwal agama Mohd Na'im Mokhtar itu menyentuh antara lain peranan mufti WP, struktur jawatankuasa fatwa, serta pelbagai jawatankuasa lain seperti falak, penentuan anak bulan dan arah kiblat.

Antara kritikan utama ialah peruntukan bahawa seorang mufti hanya boleh dilantik dari kalangan al-Asyairah dan al-Maturidiyah, dua aliran yang umumnya dianggap arus perdana dalam mazhab Sunnah.

Khairy berkata RUU itu berisiko memencilkan umat Islam yang tidak mengikut sesuatu mazhab yang menjadi ikutan pihak berkuasa.

"Bila nak menginstitusikan agama ini, adakah sampai tahap di mana kita sempitkan soal akidah ataupun soal takrifan Ahli Sunnah wal Jama'ah," soal Khairy dalam podcast Keluar Sekejap baru-baru ini.

"Kalau ada orang yang tak mengikut ini sepenuhnya maka dia tidak boleh dikira sebagai Muslim di Malaysia atau di Wilayah Persekutuan?"

Khairy mempersoalkan sama ada birokrasi Islam kini mencapai tahap "di mana kita mempunyai takrifan sempit tentang siapa kita sebagai penganut Islam".

"Saya rasa soalan sempit macam teologi ni tidak sepatutnya menjadi tumpuan kerajaan pada hari ini sebab tak ada masalah pun selama ini. Kalau ada satu tarikat atau ada satu kumpulan yang memang jelas melanggar akidah kita setuju, ambil tindakan sebab kita adalah negara di mana tafsiran pihak berkuasa adalah (berdasarkan) Sunnah wal Jamaah, mazhab Syafi'i," kata Khairy.

Menurutnya, menyempitkan lagi takrifan mazhab Shafi'i akan membataskan pemikiran ulama Islam Malaysia.

"(Ia) juga mungkin akan sekat pembangunan pemikir-pemikir Islam daripada Malaysia, yang boleh menyumbang lebih besar masa ini, sebab mereka hanya mahu melihat satu aliran sahaja, satu sahaja worldview, satu sahaja tradisi."

Khairy mengingatkan Deklarasi Amman 2004, dokumen ditandatangani 200 sarjana Islam dari 50 negara, yang menyeru tolak ansur dan penamatan sentimen permazhaban.

Dokumen tersebut turut disokong beberapa ahli politik Malaysia termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Antara pengkritik paling lantang RUU itu ialah Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, yang selama ini terkenal dengan beberapa pandangannya yang dilihat tidak sehaluan dengan tradisi mazhab Syafi'i seperti diamalkan di Malaysia.

Dalam serangan tajam terhadap Na'im baru-baru ini, Asri mencabar menteri agama itu menyatakan sama ada beliau sendiri faham aliran-aliran Shafi'i yang dinyatakan dalam RUU itu.

"Jika beliau benar, beliau dahulukan buktikan beliau faham sebelum beliau ingin memaksa rakyat. Jika beliau sendiri tidak mampu, adakah beliau mahu menyesatkan akidah rakyat awam yang akhirnya menyesatkan diri?"

Asri memberi amaran bahawa RUU itu bakal menyebabkan tuduhan kafir-mengkafir antara kumpulan Islam, di samping akan membawa kepada pelbagai cadangan lain.

"Atau mungkin selepas ini akan dicadangkan dimasukkan ke dalam kad pengenalan, Agama: Islam Ashairah Maturidiyyah Junaid dan Ghazali. 

"Apa yang saya lihat, ini isu sektarian yang disumbat kepada kerajaan Madani," tambahnya.

Anwar rata-rata mengelak daripada mengulas mengenai kontroversi RUU itu, sebaliknya meminta Na'im memberi penjelasan.

Perlembagaan

Selain daripada aspek akidah, RUU Mufti WP itu turut disifatkan sebagai tidak berperlembagaan.

Peguam Latheefa Koya berkata RUU itu "memperlekeh kedudukan Agong sebagai ketua agama Islam di Malaysia", merujuk Perkara 3(5) dan 34(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Mufti dilantik atas nasihat menteri, dan oleh itu kerajaan persekutuan akan memperoleh kuasa yang luas ke atas setiap aspek amalan agama umat Islam di negara ini sebaik sahaja RUU itu menjadi undang-undang.

"Ini bukan peranan yang dimaksudkan untuk kerajaan persekutuan di bawah perlembagaan kita. Ia bertentangan dengan struktur asas perlembagaan dan oleh itu tidak berperlembagaan," kata bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu.

Beliau berkata RUU tersebut juga memberikan kuasa meluas yang belum pernah berlaku sebelum ini, di mana fatwa oleh mufti WP mengikat setiap orang Islam.

"Tiada pengecualian atau syarat," katanya, sambil menambah undang-undang Islam di WP pada masa ini mengecualikan fatwa dalam hal peribadi, kepercayaan dan pandangan.