- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Belanjawan 2025: Anwar luaskan cukai SST, perkenal 2 cukai baharu dan tekad hapus subsidi pukal petrol

Kesemua langkah itu diiringi dengan alasan 'warga asing' dan 'golongan kaya' turut menikmati subsidi.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Dengan alasan kadar cukai di Malaysia antara terendah di rantau ini walaupun memberikan beban subsidi tinggi kepada rakyat "yang turut dinikmati golongan kaya dan warga asing", Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menyaksikan dua cukai baharu di samping meluaskan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Alasan dan perbandingan sama turut diberikan Anwar ketika mengumumkan pelan menghapuskan subsidi pukal untuk petrol RON95 akan dilaksanakan pada pertengahan tahun depan.

"Sehingga kini, harga RON95 Malaysia ialah RM2.05 ketimbang negara tetangga seperti Thailand (RM5.85), Indonesia (3.38), Singapura (RM9.02) dan Arab Saudi (RM2.66)," kata Anwar dalam ucapan belanjawan yang ketiga sejak mengambil alih Putrajaya.

Menurutnya, "penyasaran subsidi" akan membawa kepada penjimatan sebanyak RM8 bilion kepada kerajaan.

"Penjimatan yang dicapai daripada ini akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak," katanya.

Anwar mengumumkan cukai SST akan turut diperluaskan kepada perkhidmatan komersial seperti perkhidmatan kewangan yang berasaskan yuran.

Bagaimanapun, sesi libat urus akan diadakan dengan industri terlibat "sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan".

"Perluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025," katanya.

Cukai SST diperkenalkan semula ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan tidak lama selepas pertukaran kerajaan pada 2018.

SST dinaikkan Anwar daripada 6% kepada 8% bermula 1 Mac lepas pada Belanjawan 2024.

Anwar memberi jaminan cukai tersebut tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas, sambil memberikan contoh ikan salmon dan buah avokado sebagai antara "barang premium yang diimport" yang akan dikenakan SST.

Selain itu, Anwar memperkenalkan cukai dividen pada kadar 2% untuk pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025.

"Ikhtiar ini dilaksanakan supaya cukai pendapatan yang dikutip tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji, tetapi turut merangkumi sumbangan pemilik syarikat serta individu dengan milikan harta saham jutaan ringgit," katanya.

Satu lagi cukai yang bakal dikenakan ialah cukai karbon ke atas industri besi, keluli dan tenaga, yang menurut Anwar bertujuan menggalakkan penggunaan "teknologi rendah karbon", di samping hasilnya dimanfaat "untuk membiayai program penyelidikan dan teknologi hijau".

Belanjawan kali ini yang mencecah RM421 bilion merupakan yang tertinggi dalam sejarah.

Ia meliputi RM335 bilion perbelanjaan mengurus, RM86 bilion perbelanjaan pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.