- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Cadangan gubal akta 'keselamatan online' dibimbangi beri Putrajaya satu lagi alat sekat kandungan

RUU Keselamatan Dalam Talian memberikan SKMM dan Kementerian Komunikasi kuasa luas untuk menyekat kandungan dengan alasan melindungi pengguna internet.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Azalina Othman Said dan Fahmi Fadzil, dua menteri yang aktif mempromosikan RUU Keselamatan Dalam Talian, yang dilihat satu lagi percubaan menyekat kebebasan media disebabkan kuasa mutlak SKMM menurunkan kandungan.
Azalina Othman Said dan Fahmi Fadzil, dua menteri yang aktif mempromosikan RUU Keselamatan Dalam Talian, yang dilihat satu lagi percubaan menyekat kebebasan media disebabkan kuasa mutlak SKMM menurunkan kandungan.

Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 yang dicadangkan Putrajaya mengandungi peruntukan drakonian dengan alasan melindungi pengguna internet daripada bahaya, beberapa pengamal media memberitahu MalaysiaNow selepas menghadiri taklimat kementerian berkaitan baru-baru ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan menteri reformasi undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said – kedua-duanya penyokong kuat RUU itu – menggambarkannya langkah penting dalam memerangi perbuatan buli dalam talian, penipuan dan jenayah siber lain.

Bagaimanapun, pada sebuah mesyuarat anjuran kementerian Azalina baru-baru ini dengan wakil industri media, beberapa kebimbangan dibangkitkan mengenai apa yang dilihat sebagai kuasa luas kerajaan dalam menentukan kandungan yang hendak disekat.

Menurut sumber, keputusan terakhir diletakkan di atas bahu Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), badan pengawal selia internet di sebalik pelbagai penapisan kandungan sejak Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil alih kuasa pada akhir 2022.

Sebanyak 19 perkara yang dicadangkan menjadi garis panduan RUU itu dibentangkan pada mesyuarat itu.

Salah satu daripadanya berkaitan dengan lapan jenis kandungan berbahaya, dikategorikan sebagai "keutamaan" dan "bukan keutamaan".

Lapan jenis kandungan berbahaya termasuk penderaan seksual kanak-kanak, kandungan intim yang dikongsikan tanpa kebenaran, penipuan kewangan (scam), buli, keganasan atau terorisme, mencederakan diri sendiri, ucapan benci dan penjualan dadah berbahaya.

Bagaimanapun, sumber memberitahu MalaysiaNow, Kementerian Komunikasi akan diberikan kuasa menyekat apa-apa kandungan lain yang dirasakan perlu.

"Sebarang kandungan yang tidak disenangi menteri atau SKMM masih boleh menjadi kesalahan, walaupun ia tidak termasuk dalam lapan kategori tersebut," tambah sumber itu.

Azalina sebelum ini memberi jaminan akta yang dicadangkan itu tidak bertujuan menyekat kebebasan bersuara.

"Banyak mana sangat (maklumat) yang kerajaan boleh turunkan? Turun di (platform) A, keluar di (platform) B, C dan lain-lain. Bagaimana anda mengawal 30 juta pengguna? Kerajaan tidak boleh turunkan (maklumat), ia mustahil," katanya.

Kebimbangan terhadap RUU itu tidak mengejutkan, dan menyusul selepas rancangan kontroversi kerajaan untuk melesenkan dan mengawal selia platform media sosial dengan alasan memerangi kandungan membahayakan dalam talian seperti buli siber, penipuan dan ucapan kebencian.

Aktivis hak asasi manusia sebelum ini mengecam rancangan itu, yang dilihat sebahagian daripada usaha berterusan menyekat kritikan orang ramai, di mana beberapa laman web berita dan blog telah disekat, di samping permintaan pihak berkuasa kepada media sosial untuk menurunkan hantaran yang mengkritik kerajaan.

Awal tahun ini, Putrajaya mengaku membuat permintaan melalui SKMM kepada platform seperti TikTok untuk memadamkan video yang tidak disenangi kerajaan.

Platform lain seperti X, YouTube dan Facebook bagaimanapun berulang kali menolak permintaan sama oleh kerajaan disebabkan dasar melindungi kebebasan bersuara.

Pada Jun tahun lalu, MalaysiaNow disekat selama 48 jam tanpa notis, manakala laman web portal berita seperti TV Pertiwi dan Utusan TV masih disekat, begitu juga blog bekas ahli Parlimen Wee Choo Keong.

Tindakan menyekat kandungan media menyebabkan Malaysia jatuh 34 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Akhbar, daripada tempat ke-73 tahun lalu kepada ke-107 tahun ini.

Keputusan di tangan SKMM

Sementara itu, mekanisme melaporkan aduan seperti diperuntukkan dalam draf RUU Keselamatan Dalam Talian, turut menimbulkan kontroversi.

Mekanisme pengaduan termasuk pengguna melaporkan kepada penyedia perkhidmatan, penyedia perkhidmatan mengurus kandungan dan aduan dibuat kepada SKMM, yang kemudiannya mengarahkan secara bertulis kepada penyedia perkhidmatan untuk menyekat kandungan yang dipersoalkan.

Menurut sumber, SKMM bakal diberikan kata putus terakhir dalam menyekat atau menurunkan sesuatu kandungan.

“Sekiranya terdapat percanggahan pendapat antara SKMM dan penyedia perkhidmatan sama ada kandungan tertentu perlu disekat, keputusan SKMM akan mendahului keputusan penyedia perkhidmatan.

"Walaupun penyedia perkhidmatan mengatakan kandungan yang dilaporkan tidak memenuhi kriteria kandungan berbahaya seperti ditakrifkan dalam RUU, ia masih diwajibkan menyekatnya sekiranya diarahkan SKMM," tambah sumber yang sama.

Skop undang-undang yang dicadangkan meliputi tiga jenis penyedia perkhidmatan: penyedia perkhidmatan aplikasi (ASP), penyedia perkhidmatan aplikasi kandungan (CASP) dan penyedia perkhidmatan rangkaian (NSP).

Di Malaysia, antara nama ASP yang biasa disebut ialah Maxis, CelcomDigi dan Telekom Malaysia.

Contoh CASP ialah Media Prima, iFlix dan platform media sosial, manakala Time Dotcom dan Axiata Group ialah contoh NSP.

RUU itu memperuntukkan bahawa sebagai langkah terakhir, sesebuah penyedia perkhidmatan boleh didakwa jika gagal membayar penalti sivil.

Penalti sivil dikenakan ke atas penyedia sekiranya mereka gagal memenuhi kewajipan di bawah akta baharu tersebut untuk mematuhi arahan SKMM.

"Adalah salah untuk menggunakan alasan mencegah kemudaratan dalam talian untuk menggubal RUU yang boleh disalahgunakan dan mengehadkan kebebasan bersuara. Ianya jelas salah," kata sumber itu.