- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Kumpulan Hindu bimbang RUU mufti WP turut beri kesan kepada bukan Islam

13 pertubuhan menyuarakan kebimbangan sama ada beberapa perkara di dalam akta itu selari dengan perlembagaan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Cadangan kerajaan menggubal sebuah mengenai kuasa mufti Wilayah Persekutuan telah menimbulkan kritikan kumpulan Islam dan bukan Islam atas sebab yang berlainan.
Cadangan kerajaan menggubal sebuah mengenai kuasa mufti Wilayah Persekutuan telah menimbulkan kritikan kumpulan Islam dan bukan Islam atas sebab yang berlainan.

Beberapa pertubuhan mewakili penganut Hindu hari ini meminta kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, di sebalik bantahan daripada beberapa tokoh Islam yang meluahkan rasa kurang senang terhadap nada sektarian (permazhaban) akta yang dicadangkan itu.

Gabungan NGO-NGO dan Kuil Hindu Malaysia berkata bantahan mereka tertumpu kepada beberapa fasal dalam RUU itu berkenaan yang dikhuatiri melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Kami telah dan sedang menerima banyak persoalan daripada orang ramai yang risau bahawa terdapat klausa-klausa tertentu yang boleh menyentuh aspek kehidupan semua warga Malaysia walaupun mereka tidak beragama Islam," katanya dalam kenyataan ditandatangani bersama oleh 13 pertubuhan termasuk Malaysia Hindu Sangam (MHS), Malaysia Hindhudharma Maamandram (Maamandram) dan Majlis Belia Hindu Malaysia (HYO).

Ia memetik Seksyen 13(1) mengenai kuasa jawatankuasa fatwa mengeluarkan fatwa yang menyentuh "kepentingan negara".

"Terdapat kekhuatiran bahawa kuasa ini adalah terlalu umum dan boleh mengikat warganegara Malaysia yang bukan beragama Islam.

"Kerisauan ini ditambah kerana Seksyen 11(b) memperuntukkan bahawa fatwa tersebut termaktub sebagai undang-undang persekutuan ('be recognised by any court in respect of all matters stated' dan tidak boleh dicabar di mahkamah di bawah Seksyen 15(3)," kata kumpulan itu, sambil menambah mereka bersedia bekerjasama dengan kerajaan dengan menyertai proses libat urus dan rundingan.

RUU yang dibawa menteri hal ehwal agama Mohd Na'im Mokhtar itu menyentuh antara lain peranan mufti WP, struktur jawatankuasa fatwa, serta pelbagai jawatankuasa lain seperti falak, penentuan anak bulan dan arah kiblat.

Peguam dan aktivis hak asasi menyifatkannya tidak berperlembagaan kerana memberikan kuasa yang luas kepada seorang pegawai yang tidak dipilih untuk mengawasi kehidupan seharian umat Islam, manakala beberapa pemimpin Islam pula menimbulkan kebimbangan mengenai apa yang mereka katakan sebagai takrifan sempit Islam mengikut garis mazhab.

Antara kritikan utama ialah peruntukan bahawa seorang mufti hanya boleh dilantik dari kalangan al-Asyairah dan al-Maturidiyah, dua aliran yang umumnya dianggap arus perdana dalam mazhab Sunnah.

"Bila nak menginstitusikan agama ini, adakah sampai tahap di mana kita sempitkan soal akidah ataupun soal takrifan Ahli Sunnah wal Jama'ah," soal bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin  baru-baru ini.

"Kalau ada orang yang tak mengikut ini sepenuhnya maka dia tidak boleh dikira sebagai Muslim di Malaysia atau di Wilayah Persekutuan?"

Pandangan serupa dikongsi Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang memberi amaran bahawa imam mazhab-mazhab utama dalam Islam tidak pernah berhasrat ajaran mereka diisytiharkan sebagai mazhab rasmi.

Pengkritik paling lantang RUU itu ialah Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, yang selama ini terkenal dengan beberapa pandangannya yang dilihat tidak sehaluan dengan tradisi mazhab Syafi'i seperti diamalkan di Malaysia.

Asri baru-baru ini mencabar Na'im untuk menyatakan sama ada beliau sendiri faham aliran-aliran Syafi'i yang dinyatakan dalam RUU itu.

"Jika beliau benar, beliau dahulukan buktikan beliau faham sebelum beliau ingin memaksa rakyat," kata Asri.

Anwar rata-rata mengelak daripada mengulas mengenai kontroversi RUU itu, sebaliknya meminta Na'im memberi penjelasan.

Selain daripada aspek akidah, RUU Mufti WP itu turut disifatkan sebagai tidak berperlembagaan.

Peguam Latheefa Koya berkata RUU itu "memperlekeh kedudukan Agong sebagai ketua agama Islam di Malaysia", merujuk Perkara 3(5) dan 34(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Mufti dilantik atas nasihat menteri, dan oleh itu kerajaan persekutuan akan memperoleh kuasa yang luas ke atas setiap aspek amalan agama umat Islam di negara ini sebaik sahaja RUU itu menjadi undang-undang.

"Ini bukan peranan yang dimaksudkan untuk kerajaan persekutuan di bawah perlembagaan kita. Ia bertentangan dengan struktur asas perlembagaan dan oleh itu tidak berperlembagaan," kata bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu, yang turut mengecam sikap membisu ahli Parlimen kerajaan dari DAP, Sabah dan Sarawak.