- Iklan -
Berita

Tiada Covid tapi hutang negara meningkat di bawah Anwar, bajet pembangunan tak naik, kata Hamzah

Ketua pembangkang turut membangkitkan kadar baharu gaji minimum yang dikhuatiri membebankan perniagaan kecil dan sederhana.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Hamzah Zainudin berucap membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Hamzah Zainudin berucap membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin hari ini mempersoalkan jumlah hutang negara yang meningkat hampir RM200 bilion sejak Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan persekutuan.

Beliau berkata ia menunjukkan kerajaan menambah liabiliti negara kira-kira RM90 bilion setahun sejak dua tahun lalu. 

Menurutnya, ia berlaku walaupun negara tidak lagi dalam krisis kesihatan seperti pandemik Covid-19. 

"Realitinya hutang negara (kini) tertinggi dalam sejarah iaitu RM1.17 trilion pada tahun lepas meningkat RM92.9 bilion atau 8.6% berbanding dengan RM1.08 bilion pada 2022," kata Hamzah ketika ucapan perbahasan Belanjawan 2025 yang dibentangkan Anwar pada Jumaat lalu. 

"Bermakna kadar hutang negara berbanding KDNK (keluaran dalam negara kasar) sudah mencapai 64.3% pada tahun 2023 berbanding hanya 60.2% pada tahun 2022." 

Hamzah berkata kerajaan tidak mengeluarkan belanja yang mencukupi untuk masa depan negara, termasuklah perbelanjaan pembangunan yang masih sama seperti yang diperuntukkan pada 2024. 

Sebaliknya, kerajaan berbelanja untuk membayar faedah pinjaman berjumlah RM55 bilion berbanding perbelanjaan untuk subsidi dan bantuan kepada rakyat bernilai RM53 bilion. 

Katanya, ini menunjukkan kerajaan lebih memperuntukkan wang untuk bayar hutang daripada disalurkan kepada bantuan subsidi dan sosial. 

Hamzah berkata kedudukan liabiliti persekutuan pada akhir tahun 2023 juga menunjukkan peningkatan nisbah liabiliti persekutuan kepada KDNK mencapai pada 81.8% berbanding 70% pada tahun 2022. 

Menurutnya, data dan fakta mengenainya terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara. 

Gaji minima

Hamzah turut membangkitkan keputusan kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 berkuatkuasa 1 Februari tahun depan. 

Katanya, ia perlu diperhalusi bagi mengelakkan menjadi beban kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS), yang menurutnya meliputi lebih 90% perniagaan.

Katanya, penguatkuasaan e-invois bagi setiap transaksi perniagaan juga membebankan pemilik perniagaan. 

Jelasnya, PKS akan berdepan kesukaran mengeluarkan wang untuk beralih kepada e-invois, pada masa sama menyelaraskan gaji minimum yang lebih tinggi untuk pekerja.

"Bukan saya tak bersetuju. Saya setuju. Cuma, cuba tengok dulu sektor yang mana, ketika waktu yang mana kepada sektor-sektor ini (sesuai) dinaikkan gaji minimanya," katanya sambil mengingatkan tentang masalah yang pernah timbul ketika kerajaan terdahulu menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500. 

Kenyataan Hamzah disokong wakil rakyat kerajaan dari Barisan Nasional, M Saravanan, yang meminta penguatkuasaan gaji minimum dikaji semula secara terperinci.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata penguatkuasaan terburu-buru akan mendedahkan kepada risiko pengangguran dan pemberhentian pekerja kerana majikan tidak mampu atau mahu mengurangkan kos perniagaan. 

"Bagaimana mereka akan mengatasi? Salah satu cara majikan mengatasi masalah ini adalah dengan mengurangkan tenaga kerja."

Belanjawan dibentangkan Anwar memberikan tempoh kuatkuasa gaji minimum RM1,700 yang lebih lama kepada majikan dengan bilangan pekerja lima orang atau kurang, iaitu pada 1 Ogos 2025.

Sementara itu, Hamzah turut menegur kerajaan agar tidak terlalu fokus dengan data-data ekonomi sehingga mengenepikan realiti yang dihadapi rakyat khususnya dalam isu kos sara hidup. 

Jelasnya, rakyat tidak mahu tahu dan tidak begitu memahami data-data seperti peratusan inflasi sebaliknya ternanti-nanti pengumuman mengenai subsidi terhadap bahan asas termasuklah beras, tepung dan bahan api yang boleh meringankan beban harian mereka. 

"Realitinya rakyat di bawah sana berdepan dengan kos sara hidup yang lebih tinggi.

"Jangan zalimi rakyat di bawah sana. Jangan bangga dengan angka tapi santun rakyat. 

"Jangan kira apa bangsa sekalipun agama sekalipun bahkan penyokong ataupun pembangkang."