- Iklan -
Berita

Usaha promosi 'Madani' di belakang kenderaan makan diri selepas nombor plat nakal dapat perhatian

Minat tinggi terhadap nombor plat 'MADANI 8481' dan 'MADANI 47' sejak pembidaan dibuka dibuka pada 19 Oktober.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi

Usaha kerajaan mempromosikan slogan politiknya "Madani" dengan memperkenalkan plat nombor pendaftaran istimewa memaparkan perkataan tersebut mungkin telah mendatangkan kesan yang tidak disangka, apabila sekurang-kurangnya dua set nombor menyaksikan minat yang tinggi di kalangan rakyat.

Jabatan Pengangkutan Jalan baru-baru ini membuka bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa Siri "MADANI" dengan harga dari RM100 sehingga RM20,000.

Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10 sudah pun menjadi pemilik nombor plat "MADANI 10", yang diserahkan kepadanya oleh Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sehari selepas bidaan dibuka.

Bagaimanapun, perhatian kini tertumpu pada dua plat, iaitu MADANI 8481 dan MADANI 47, yang menjana minat tinggi dalam kalangan pembida.

Nombor 8481 kerap menjadi pilihan mereka yang meminati nombor kereta istimewa kerana ia seolah-olah mewakili angka yang menyerupai perkataan "BABI".

Angka 47 pula merujuk kepada 47 pertuduhan rasuah yang pernah dikenakan terhadap timbalan Anwar, Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid, presiden Umno yang memainkan peranan penting dalam memastikan Anwar dapat membentuk kerajaan selepas keputusan pilihan raya umum tergantung pada 2022, dihadapkan 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun, pada September tahun lalu, beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), sekali gus menamatkan perbicaraan rasuahnya secara mengejut.

Sejak itu, pengkritik kerap menggunakan nombor "47" dalam pelbagai jenaka internet menyasarkan Zahid.

Bidaan untuk MADANI 47 dibuka pada harga RM2,500.

Ketika laporan ini ditulis, MADANI 8481 mendapat bidaan tertinggi iaitu RM9,999, lebih 24 jam sebelum proses bidaan ditutup pada jam 10 malam esok (23 Oktober).