- Iklan -
Berita

Penasihat Amanah sokong RUU mufti supaya Malaysia 'elak jadi Indonesia'

Pendirian itu berlawanan dengan pandangan sebilangan tokoh Islam dan kumpulan hak asasi yang menganggap RUU itu mengundang permazhaban di samping tidak berperlembagaan.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Penasihat Amanah Ahmad Awang mengalu-alukan cadangan mewujudkan akta baharu yang memberikan kuasa luas kepada mufti  Wilayah Persekutuan.
Penasihat Amanah Ahmad Awang mengalu-alukan cadangan mewujudkan akta baharu yang memberikan kuasa luas kepada mufti Wilayah Persekutuan.

Penasihat tertinggi komponen Pakatan Harapan, Amanah, menyatakan beliau bersetuju dengan sebuah rang undang-undang (RUU) kontroversi yang bakal meluaskan kuasa mufti Wilayah Persekutuan, pendirian yang dilihat berlawanan dengan pandangan beberapa tokoh Islam dan kumpulan hak asasi yang membantah undang-undang yang dicadangkan itu.

Dalam menyokong RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 itu, Ahmad Awang turut mempertahankan perkara utama yang menjadi titik perbalahan, iaitu hanya seseorang yang mengikuti pegangan aliran tertentu dalam mazhab Sunnah wal Jamaah sahaja boleh dilantik ke jawatan mufti WP, yang bakal diberikan kuasa meluas yang mengikat umat Islam sekiranya RUU itu diluluskan.

Ahmad, bekas pemimpin PAS yang keluar parti untuk menubuhkan Amanah tidak lama selepas tewas dalam pemilihan presiden pada 2015, berkata RUU itu akan menghalang Malaysia daripada menjadi seperti Indonesia, di mana menurutnya umat Islam berpecah belah disebabkan perbezaan mazhab.

"Sebenarnya di Indonesia sudah sampai satu tahap di masjid itu, solat Jumaat terpaksa buat dua kali (untuk dua aliran berbeza),” kata bekas naib presiden PAS itu dalam wawancara dengan MalaysiaNow baru-baru ini.

Ahmad berkata amalan sama pernah berlaku di Perlis tetapi ia berjaya dihentikan oleh kerajaan negeri.

Rujukannya kepada Perlis tidak mengejutkan, disebabkan mufti negeri itu kini merupakan antara pengkritik paling lantang RUU tersebut.

Baru-baru ini, Mohd Asri Zainul Abidin yang terkenal dengan beberapa pandangannya yang bukan sebahagian daripada ajaran Syafi'i yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara ini, mencabar menteri agama Mohd Na'im Mokhtar untuk berdebat mengenai RUU itu.

Asri turut mempersoalkan sama ada Na'im, yang menjadi pendokong utama RUU itu, mempunyai pemahaman mengenai aliran-aliran Shafi'i yang dinyatakan.

"Jika beliau benar, beliau dahulukan buktikan beliau faham sebelum beliau ingin memaksa rakyat. Jika beliau sendiri tidak mampu, adakah beliau mahu menyesatkan akidah rakyat awam yang akhirnya menyesatkan diri?" kata Asri baru-baru ini.

"Sekarang baru ada satu mufti yang tak bersama, esok kalau ada tiga atau empat?"

RUU itu menyentuh antara lain peranan mufti WP, struktur jawatankuasa fatwa, serta pelbagai jawatankuasa lain seperti falak, penentuan anak bulan dan arah kiblat.

Antara kritikan utama ialah peruntukan bahawa seorang mufti hanya boleh dilantik dari kalangan al-Asyairah dan al-Maturidiyah, dua aliran yang umumnya dianggap arus perdana dalam mazhab Sunnah.

Ahmad menggesa golongan mufti berhenti berbalah mengenai RUU itu, malah berkata keadaan itu menunjukkan kepentingan undang-undang seperti itu untuk menghindari perbezaan pendapat.

"Jadi di sinilah perlunya RUU mufti WP sebelum (perpecahan) merebak. Sekarang baru ada satu mufti yang tak bersama, esok kalau ada tiga atau empat?" soalnya.

Turut kurang setuju dengan RUU itu ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang menggesa ia dikaji semula. Menurutnya, imam mazhab-mazhab utama dalam Islam tidak pernah berhasrat ajaran mereka diisytiharkan sebagai mazhab rasmi.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, keadaan kini berbeza dengan zaman imam-imam tersebut.

"Selepas imam-imam ini mati, pintu ijtihad diisytihar tutup," katanya merujuk kaedah pentafsiran hukum Islam bagi memenuhi keperluan semasa.

"Selepas itu masing-masing hendak keluarkan fatwa masing-masing. Timbul pertembungan, perbalahan dan perdebatan."

Beliau berkata keadaan ini menyebabkan fekah Islam dikanunkan oleh pemerintah Islam terdahulu termasuk kerajaan Uthmaniyyah Turki.

Ahmad turut mempersoalkan kritikan Hadi terhadap RUU itu dengan berkata pemimpin PAS selama ini tidak pernah mempertikaikan memperundang-undangkan mazhab yang digunakan untuk membentuk Akta Keluarga Islam.

Pertembungan Amanah dan Asri?

Pandangan Ahmad menyokong RUU itu berkemungkinan dipersetujui presiden partinya, Mohamad Sabu.

Mohamad, atau Mat Sabu, pernah dituduh menganut Syiah Islam, mazhab yang dilihat bertentangan dengan aliran Salafi yang dilabelkan ke atas Asri.

Pada 2013, Mat Sabu mengancam menyaman timbalan presiden Umno ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi, yang menuduhnya mengancam keselamatan negara kerana berpegang kepada fahaman Syiah.

Pihak berkuasa agama di Malaysia menganggap umat Islam beraliran Syiah sebagai "sesat" melalui keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996.

Tindakan serbuan kerap dilakukan terhadap upacara Syiah seperti sambutan tahunan Asyura bagi memperingati Sayyidina Hussein, cucu Nabi Muhammad yang menjadi ikon mazhab kedua terbesar dalam Islam itu.

Sumber Amanah memberitahu MalaysiaNow, sokongan parti itu terhadap RUU mufti tidak mengejutkan memandangkan ramai pemimpin tertingginya "tidak selesa dengan doktrin Islam dibawa mufti Perlis".

"Mereka melihatnya satu cara untuk mengekang Islam Salafi," kata sumber itu, seorang ahli politik veteran yang terlibat dalam penubuhan parti itu pada 2016.

Ahmad Awang berkata RUU mufti akan memastikan umat Islam negara ini tidak bertelagah seperti di Indonesia.
Ahmad Awang berkata RUU mufti akan memastikan umat Islam negara ini tidak bertelagah seperti di Indonesia.

Sementara itu, Ahmad mengimbas kembali dialognya dengan Muhammad Natsir, ulama terkenal Indonesia yang pernah menyandang jawatan perdana menteri kelima di bawah pentadbiran Sukarno.

"Beliau memberitahu saya bahawa Malaysia beruntung kerana masih mempunyai raja-raja yang menjadi simbol ketua agama. Institusi raja Indonesia sudah tiada, jadi masyarakat bebas untuk berfikiran dan beraliran," katanya.

Dua kumpulan Islam utama di Indonesia ialah Muhammadiyah, yang ajarannya lebih menyerupai Islam Salafi, dan Nahdlatul Ulama, yang bersandarkan aliran Sunnah Wal Jamaah tradisional seperti mana di Malaysia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim rata-rata mengelak daripada mengulas mengenai kontroversi RUU mufti itu, sebaliknya meminta Na'im memberi penjelasan.

Selain daripada aspek akidah, RUU Mufti WP itu turut disifatkan sebagai tidak berperlembagaan.

Peguam Latheefa Koya berkata RUU itu "memperlekeh kedudukan Agong sebagai ketua agama Islam di Malaysia", merujuk Perkara 3(5) dan 34(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Mufti dilantik atas nasihat menteri, dan oleh itu kerajaan persekutuan akan memperoleh kuasa yang luas ke atas setiap aspek amalan agama umat Islam di negara ini sebaik sahaja RUU itu menjadi undang-undang.

"Ini bukan peranan yang dimaksudkan untuk kerajaan persekutuan di bawah perlembagaan kita. Ia bertentangan dengan struktur asas perlembagaan dan oleh itu tidak berperlembagaan," kata bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu

Sementara itu, RUU itu turut dikritik bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang berkata RUU itu berisiko memencilkan umat Islam yang tidak mengikut sesuatu mazhab yang menjadi ikutan pihak berkuasa.

"Bila nak menginstitusikan agama ini, adakah sampai tahap di mana kita sempitkan soal akidah ataupun soal takrifan Ahli Sunnah wal Jama'ah," soal Khairy.

"Kalau ada orang yang tak mengikut ini sepenuhnya maka dia tidak boleh dikira sebagai Muslim di Malaysia atau di Wilayah Persekutuan?"