- Iklan -
Berita

Siapakah pemilik nombor plat MADANI 8481 bernilai RM26,666?

'MADANI 8481' mendapat tawaran tertinggi di akhir proses pembidaan lima hari untuk siri plat nombor istimewa itu.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi

Pembidaan plat nombor khas siri "MADANI" berakhir malam tadi dengan harga tertinggi ditawarkan untuk "MADANI 8481", nombor yang dilihat menyindir slogan kerajaan itu yang dipromosikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada akhir pembidaan dalam talian sejak dibuka lima hari lalu, MADANI 8481 menerima bidaan tertinggi iaitu RM26,666, diikuti dua nombor lain yang masing-masing ditudup pada RM17,300 dan RM9,999.

Tawaran terakhir untuk MADANI 8481 berjaya dibuat hanya seminit sebelum proses bidaan ditutup pada jam 10 malam tadi. 

Pada 19 Oktober, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa Siri "MADANI" dengan harga dari RM100 sehingga RM20,000.

Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10 sudah pun menjadi pemilik nombor plat "MADANI 10", yang diserahkan kepadanya oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke sehari selepas bidaan dibuka.

Bagaimanapun, perhatian segera beralih kepada dua plat, MADANI 8481 dan MADANI 47.

Nombor 8481 kerap menjadi pilihan mereka yang meminati nombor kereta istimewa kerana ia seolah-olah mewakili angka yang menyerupai perkataan "BABI".

Angka 47 pula merujuk kepada 47 pertuduhan rasuah yang pernah dikenakan terhadap timbalan Anwar, Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid, presiden Umno yang memainkan peranan penting dalam memastikan Anwar dapat membentuk kerajaan selepas keputusan pilihan raya umum tergantung pada 2022, dihadapkan 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun, pada September tahun lalu, beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), sekali gus menamatkan perbicaraan rasuahnya secara mengejut.

Sejak itu, pengkritik kerap menggunakan nombor "47" dalam pelbagai jenaka internet menyasarkan Zahid.

MalaysiaNow masih belum dapat mengenal pasti pemilik plat "MADANI 8481".

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli dijangka mengumumkan keputusan proses bidaan hari ini.