- Iklan -
BeritaBaru Terbit

'Saya bapa kepada negara': Anwar pertahan kenyataan 'terima baik' permohonan maaf Najib

Ia di sebalik ledakan serangan di media sosial terhadap reaksi perdana menteri.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim berkata beliau merupakan 'bapa kepada negara'.
Anwar Ibrahim berkata beliau merupakan 'bapa kepada negara'.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan nada marah mempertahankan kenyataannya "menerima baik" permohonan maaf daripada Najib Razak, dan berkata adalah tidak adil bekas pemimpin itu menjadi sasaran dalam skandal 1MDB yang pernah menjadi bahan utama kempen Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional enam tahun lalu.

Anwar berkata reaksinya terhadap permohonan maaf Najib minggu lalu - di mana bekas perdana menteri itu kekal tidak mengaku salah atas transaksi haram bernilai berbilion dolar yang mencetuskan skandal rasuah terbesar di dunia - dilakukan dengan penuh tanggungjawab sebagai pemimpin negara.

"Saya perdana menteri, saya bapa kepada negara,” katanya ketika berucap di Perak semalam.

"Orang cakap macam tu, saya nak buat apa? Saya kata kita terima baiklah. Oh marah! Apa benda ni?

"Ni apa perangai ni? Manusia apa ni?"

Khamis lalu, Najib dalam kenyataan maaf dibacakan anak sulungnya Nizar berkata beliau bertanggungjawab terhadap skandal itu kerana ia berlaku di bawah pengawasannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Beliau bagaimanapun masih enggan mengaku salah mengenai pemindahan keluar wang besar-besaran daripada 1MDB.

"Namun dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk perkara yang saya tidak mulakan atau diketahui secara sedar, adalah tidak adil kepada saya dan saya berharap serta berdoa agar proses keadilan akan memihak kepada saya dan membuktikan saya tidak bersalah," katanya.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari sebelum keputusan mahkamah minggu ini bakal memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam satu lagi kes berkait 1MDB melibatkan pengubahan wang haram dan rasuah.

Anwar sedang berdepan tekanan daripada penyokong Najib, ahli keluarganya serta Umno - parti yang sokongannya memastikan cita-citanya menjadi perdana menteri dicapai pada 2022 - untuk membebaskan bekas pemimpin itu melalui pengampunan diraja, seperti mana yang diberikan kepada Anwar sendiri pada 2018 atas saranan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyelewengkan RM42 juta dana SRC International, cuma diberikan pengampunan separa, iaitu dengan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Keputusan itu disusuli dengan pendedahan bahawa terdapat sebuah "titah tambahan" (adendum) disertakan bersama pengampunan yang diumumkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di mana bekas Yang di-Pertuan Agong itu mahu Najib menjalani baki hukuman sebagai tahanan di rumah.

Najib kini dalam proses merayu keputusan Mahkamah Tinggi Julai lalu yang menolak dakwaan mengenai kewujudan "titah tambahan" diraja itu.

Semalam, Anwar dalam menjawab kritikan terhadapnya sekali lagi melancarkan serangan terhadap musuh politiknya, dengan menuduh mereka mengabaikan pemimpin-pemimpin yang "sakau berbilion ringgit".

"Bila nak serang, serang satu orang.

"Tak adil nak serang satu orang. Yang serang tu, harta yang disakau itu lebih daripada itu."

Antara yang mengkritik Anwar ialah bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), badan utama yang melakukan siasatan sehingga sabitan Najib pada 2022.

Latheefa Koya mempersoalkan perdana menteri dengan berkata bukan tempat mahupun ruang kuasa Anwar untuk menerima baik kenyataan maaf Najib.

"Oleh kerana Najib masih mengaku tidak bersalah, penerimaan Anwar membenarkan jenayah itu. Ia memberanikan mereka yang korup, mempermainkan mahkamah dan melemahkan SPRM.

"Adakah ini mukadimah sebelum membebaskan Najib sebagai tahanan di rumah?" soalnya.

Peguam Rafique Rashid turut senada dan berkata Anwar sebagai perdana menteri seharusnya berpihak kepada jutaan rakyat yang marah dengan skandal 1MDB yang menyebabkan kerugian dan hutang kepada negara, sehingga rakyat terpaksa membayar balik dengan pelbagai cukai baharu.

"Semua orang mempunyai hak untuk memarahi Najib Razak dan semua orang juga ada hak untuk menyatakan kepada kerajaan supaya tidak menerima permohonan maaf tersebut.

"Macam mana perdana menteri boleh dalam tempoh 24 jam boleh kata "Ya betul, kita terima baik". Ini jawapan yang amat tidak bijak lah daripada seorang perdana menteri," kata Rafique kepada MalaysiaNow.

Permohonan maaf Najib dan kenyataan Anwar mencetuskan pelbagai komen di media sosial khususnya dalam kalangan penyokong PH.

"Jika permohonan maafnya diterima dan boleh dimaafkan, kita juga boleh menerima dan memaafkan setiap banduan di negara ini dan membebaskan semua banduan,” tulis Alfred Adaikalaraj.

"Ini tidak lebih dari satu lagi percubaan secara terbuka menipu rakyat Malaysia. Selepas ketandusan semua alasan yang menganggap dirinya suci, dia tetap tidak mahu bertaubat!" kata Ch'ng Kim Hock.

"Kenyataan Datuk Seri secara tidak langsung menunjukkan bahawa Datuk Seri tidak ada kompetensi untuk memimpin negara sehingga boleh di-scam oleh seorang rakyat biasa dan syarikat luar negara. Saya harap Datuk Seri tak payah la nak comeback jadi perdana menteri semula," tulis Muhammad Hazim.

Sindiran pemimpin DAP

Sementara itu, bekas ahli Parlimen DAP Tony Pua, yang berganding bersama timbalan presiden PKR Rafizi Ramli melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap Najib di kemuncak skandal 1MDB, menaikkan hantaran berupa sindiran terhadap permohonan maaf tersebut.

Rafizi Ramli dan Tony Pua, dua pemimpin PH yang menganjurkan siri ceramah di seluruh negara bagi menyerang Najib Razak ketika kemuncak skandal 1MDB.
Rafizi Ramli dan Tony Pua, dua pemimpin PH yang menganjurkan siri ceramah di seluruh negara bagi menyerang Najib Razak ketika kemuncak skandal 1MDB.

"Saya tidak bertanggungjawab memecat timbalan PM saya untuk menutup 1MDB,” kata Pua, merujuk kepada pemecatan Muhyiddin Yassin kerana menuntut penjelasan Najib sejurus selepas skandal itu terbongkar.

"Saya tidak bertanggungjawab memecat peguam negara untuk menutup 1MDB. Saya tidak bertanggungjawab memecat ketua SPRM dan ketua Cawangan Khas untuk menutup 1MDB. Saya tidak bertanggungjawab melantik seorang boneka sebagai pengerusi PAC untuk menutup 1MDB.

"Saya tidak bertanggungjawab dalam berlian 22-karat bernilai AS$27 juta yang dibeli oleh isteri jelita saya (dan berjuta-juta lagi barang kemas dan barang mewah). (Tapi di manakah ia tersembunyi?)" Pua menulis di Facebook, merujuk kepada barang kemas yang menurut Najib dihadiahkan oleh seorang putera UAE kepada isterinya Rosmah Mansor.

Pua menyambung:

"Saya tidak bertanggungjawab mengeluarkan surat jaminan kerajaan RM3 bilion untuk menerbitkan bon untuk 1MDB. Saya tidak bertanggungjawab membayar yuran yang umpama pemerasan kepada Goldman Sachs untuk menerbitkan bon 1MDB.

"Saya tidak bertanggungjawab merunding perjanjian bayaran yang amat berat sebelah kepada syarikat China untuk menutup hutang 1MDB.

"Saya tidak bertanggungjawab menyasarkan dan menganiaya pemberi maklumat 1MDB untuk menutup kes 1MDB,” katanya merujuk kepada tindakan menghentikan siasatan 1MDB.

"Saya sudah membayar harga politik saya. Tidak adil bagi saya untuk mengambil tanggungjawab dari segi undang-undang untuk semua perkara di atas. Saya cuma perlu mengatakan saya minta maaf kerana menjadi PM Malaysia yang paling bodoh dan paling lembap, kerana percaya dengan pihak yang menipu rakyat Malaysia berpuluh bilion ringgit.

"Saya tidak sepatutnya duduk dalam penjara, walaupun saya mendapat manfaat besar daripada kekayaan 1MDB dalam bentuk wang tunai dan barangan. Ia bukan salah saya. Sungguh."

Sementara itu, sebuah portal dikendalikan Claire Rewcastle Brown, wartawan Britain yang turut aktif melaporkan pendedahan 1MDB, mengkritik kenyataan Anwar.

"Ini bukan permohonan maaf, ia hanyalah satu lagi penafian.
Anwar sepatutnya tidak menerimanya atas sebab itu, dan begitu juga mahkamah yang sepatutnya bebas," katanya.