- Iklan -
Berita

Siapa T15? Masih dalam kajian, kata Anwar

Perdana menteri sebelum ini menggunakan istilah T15 bagi merujuk golongan kaya yang tidak akan mendapat pulangan subsidi.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan memperkenalkan kategori pendapatan isi rumah 'T15' pada Belanjawan 2025, tetapi golongan itu masih belum diperincikan.
Kerajaan memperkenalkan kategori pendapatan isi rumah 'T15' pada Belanjawan 2025, tetapi golongan itu masih belum diperincikan.

Kerajaan masih belum memuktamadkan definisi kumpulan 15% rakyat Malaysia yang tergolong sebagai paling kaya, atau T15, walaupun istilah itu digunakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapan belanjawan pada 18 Oktober lalu.

Langkah Anwar sebelum ini menggunakan istilah tersebut tanpa memperincikan siapa yang tergolong sebagai T15 dikritik pelbagai pihak termasuk pakar ekonomi yang mempersoalkan kurangnya penjelasan mengenai mereka yang tidak lagi mendapat pelbagai subsidi kerajaan seperti untuk petrol RON95, kesihatan dan pendidikan mulai tahun depan.

Anwar hari ini tidak bersetuju dengan julat pendapatan RM13,000 yang dikategorikan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) sebagai T15, menyifatkannya "terlalu rendah".

Beliau turut menafikan ada kecelaruan mengenai tafsiran T15. 

"Kita kata DOSM sekarang menetapkan RM13,000 dan kita fikir agak rendah. Kenapa nak fikirkan naik T15, naik T20, itu sedang dibincangkan.

"Ini kita rujuk kepada jemaah menteri, T15 akan ditingkatkan (dari segi) jumlah pendapatan," katanya menjawab soalan soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Puay Tiong yang ingin tahu definisi T15 dalam soal subsidi bersasar untuk RON95.

Belanjawan 2025 antara lain mengumumkan penyasaran subsidi minyak RON95, yang digunakan oleh majoriti pengguna kenderaan di Malaysia, di mana Anwar berkata 85% rakyat akan kekal menerima subsidi.

Anwar turut berkata subsidi kesihatan dan pendidikan akan ditamatkan beransur-ansur untuk kumpulan berpendapatan 15% teratas.

Pengkritik berkata penggunaan paras pendapatan isi rumah semata-mata tidak menggambarkan keadaan keseluruhan.

Semalam, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata definisi T15 akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan dengan mengambil kira lokaliti individu.