- Iklan -
Berita

'Telah hilang segala roh perjuangan ini': Ahli Parlimen PKR kecewa pentadbiran Anwar

Nukilan Hassan Karim sekali lagi menjadikan beliau satu-satunya pemimpin PH yang mengakui kerajaan sekarang tidak berpegang kepada prinsip perjuangan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim. Gambar:  Facebook
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim. Gambar: Facebook

Ahli Parlimen Pakatan Harapan Hassan Karim sekali lagi meluahkan perasaan kecewa dengan pentadbiran Anwar Ibrahim di sebalik ledakan kritikan terhadap perdana menteri susulan komennya menerima baik permohonan maaf Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Wakil rakyat Pasir Gudang dari PKR itu memuat naik puisi dengan tajuk "Aku kembali menyoal diri", sambil berkata pelbagai "perkara-perkara pelik" sedang berlaku dalam usaha mengekal kuasa.

"Ke arah mana perginya perjuangan ini? Telah hilang segala roh; telah lenyap cita-cita murni," tulis Hassan.

"Tiba-tiba banyak perkara bisa dihalalkan; yang rasuah dilepaskan; kemaafan si kleptokrat dialu-alukan.

"Oh, tanahairku; ada diskaun dan potong harga rupanya; dalam hukuman golongan kayangan; kemudian akan ada tak lama lagi, RUU tahanan rumah akan dibentangkan," tulisnya, merujuk kepada cadangan kerajaan mewujudkan sebuah akta membenarkan banduan menjalankan hukuman di rumah, di sebalik tekanan oleh pemimpin Umno untuk membebaskan Najib.

"Inikah negeri yang aku impikan? Yang bertahun-tahun kita perjuangkan?"

Hantaran itu dimuat naik sehari selepas Anwar mempertahankan tindakannya "menerima baik" kenyataan maaf Najib yang mengundang kecaman pelbagai pihak.

Dalam kenyataan minggu lepas dibacakan anak sulung Najib, Nizar Najib, bekas perdana menteri itu berkata beliau bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB kerana ia berlaku di bawah pengawasannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Bagaimanapun, Najib enggan mengaku salah mengenai pemindahan keluar wang besar-besaran daripada 1MDB.

Anwar sedang berdepan tekanan daripada penyokong Najib, ahli keluarganya serta Umno - parti yang sokongannya memastikan cita-citanya menjadi perdana menteri dicapai pada 2022 - untuk membebaskan bekas pemimpin itu melalui pengampunan diraja, seperti mana yang diberikan kepada Anwar sendiri pada 2018 atas saranan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyelewengkan RM42 juta dana SRC International, cuma diberikan pengampunan separa, iaitu dengan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Keputusan itu disusuli dengan pendedahan bahawa terdapat sebuah "titah tambahan" (adendum) disertakan bersama pengampunan yang diumumkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di mana bekas Yang di-Pertuan Agong itu mahu Najib menjalani baki hukuman sebagai tahanan di rumah.

Semalam, Anwar dalam menjawab kritikan terhadapnya sekali lagi melancarkan serangan terhadap musuh politiknya, dengan menuduh mereka mengabaikan pemimpin-pemimpin yang "sakau berbilion ringgit".

"Bila nak serang, serang satu orang. Tak adil nak serang satu orang. Yang serang tu, harta yang disakau itu lebih daripada itu."

Antara yang mengkritik Anwar ialah bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), badan utama yang melakukan siasatan sehingga sabitan Najib pada 2022.

Latheefa Koya mempersoalkan perdana menteri dengan berkata bukan tempat mahupun ruang kuasa Anwar untuk menerima baik kenyataan maaf Najib.

"Oleh kerana Najib masih mengaku tidak bersalah, penerimaan Anwar membenarkan jenayah itu. Ia memberanikan mereka yang korup, mempermainkan mahkamah dan melemahkan SPRM.

"Adakah ini mukadimah sebelum membebaskan Najib sebagai tahanan di rumah?" soalnya.

Anwar sebaliknya berkata beliau merupakan "bapa kepada negara", dan kenyataannya menunjukkan beliau seorang pemimpin yang bertanggungjawab.